Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Wednesday, September 28, 2005

Pemimpin Kanan DAP Mesti Minta Maaf

Dr Novandri Hasan Basri

Setelah membaca artikel ‘Real Fighters for Merdeka’ dan kenyataan akhbar Ronnie Liu Tian Khiew mengenai artikel beliau, penulis berpendapat bahawa beliau seperti peribahasa Melayu iaitu lidah bercabang.

Sebenarnya, Setiausaha Biro Antarabangsa parti DAP itu cuba menulis satu artikel yang agak ringkas. Tetapi sungguh malang, disebabkan oleh kegagalan beliau untuk menyusun ayat-ayat di dalam bahasa Inggeris, beberapa isi kandungannya telah menimbulkan kekeliruan, tidak etikal dan tidak profesional malah telah mengundang interpretasi tidak sihat kepada kita terutamanya golongan muda yang kononnya, beliau cuba sedarkan.

Maka, adalah baiknya jika kita meneliti dulu artikel tersebut untuk mendapat gambaran yang lebih jelas serta tepat dan membuat kesimpulan berdasarkan isi kandungannya.

Pertama, beliau mengatakan bahawa ‘buku sejarah yang dipelajari di sekolah tidak mengambarkan sejarah Malaya (sekarang Malaysia) yang sebenarnya.’

Interpretasi spontan yang akan kita fikirkan ialah

  1. Siapakah Ronnie Liu Tian Khiew ?
  2. Apakah kredibiliti beliau untuk menolak arus pemahaman sejarah rakyat Malaysia hari ini?
  3. Apakah beliau ahli bijak pandai di dalam ilmu sejarah?
  4. Apakah beliau terlibat secara langsung di era pra-merdeka, melancarkan tunjuk perasaan menentang Malayan Union dan mengikut Tunku Abdul Rahman ke London di dalam proses memerdekakan negara ini?

Jika artikel beliau tersebut hanya berlandaskan jawatan beliau sebagai Setiausaha Biro Antarabangsa DAP dan bukannya berdasarkan kajian bijak pandai dalam ilmu sejarah, Ronnie Liu telah melakukan satu kesilapan yang besar.

Ironisnya, di dalam keterangan media beliau, Ronie Liu telah mencadangkan Buku Sejarah Tingkatan 5 (Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka) sebagai bahan rujukan, padahal beliau telah memperlekeh-lekehkan buku Sejarah di sekolah! Tidakkah ini yang dimaksudkan dengan peribahasa orang Melayu iaitu lidah bercabang ?

Kedua, beliau mengatakan bahawa ‘berlainan dengan apa yang mereka pelajari dalam buku teks itu, pemimpin-pemimpin UMNO bukan pejuang kemerdekaaan yang sebenarnya’. (terjemahan, contrary to what they learned from the textbooks, UMNO leaders were not the real fighters for Independence).

Maka, walau pun beliau tidak menyebutkan bahawa Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Merdeka, tetapi teks di atas secara tidak langsung mempamerkan niat memperlekehkan Tunku Abdul Rahman, Bapa Merdeka kita, sebagai pejuang kemerdekaan.

Dalam kenyataan media seterusnya, Ronie Liu mengatakan bahawa beliau menerima Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Merdeka.

Maka, jika berlandaskan kepada kedua-dua kenyataan tersebut, Setiausaha Biro Antarabangsa parti DAP itu menerima Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Merdeka tetapi Tunku bukanlah pejuang kemerdekaan yang sebenarnya !

Cuba kita fikirkan, di manakah letaknya rasional pemikiran Ronnie Liu
itu iaitu Tunku Abdul Rahman adalah Bapa Merdeka tapi bukan pejuang kemerdekaan sebenarnya ? Apakah pemimpin yang melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak 7 kali di Stadium Merdeka pada tanggal 31hb Ogos 1957 yang disertakan tangis tanda kesyukuran rakyat Persekutuan Malaya, bukan seorang pejuang kemerdekaan yang sebenarnya?

Dalam konteks di atas, Saudara Khairy Jamaluddin memang benar apabila beliau mengatakan bahawa Ronie Liu telah menolak Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Merdeka. Realitinya, penafian Ronie Liu ke atas seorang pejuang kemerdekaan yang juga merupakan pemimpin UMNO bernama Tunku Abdul Rahman secara tidak langsung telah menafikan Tunku sebagai Bapa Merdeka.

Ketiga, beliau telah mengambil satu ayat daripada The Times (August 31, 1957), ‘Malayan nationalism had not been born out of conflict and there was not a single Malayan Minister who ever spent a day in prison for sedition.’

Seterusnya beliau mengatakan bahawa ‘seseorang mungkin boleh mempertikaikan (one may even argue) bahawa pemimpin-pemimpin Perikatan bukanlah sebenarnya mereka yang sanggup berkorban untuk mencapai kemerdekaan.’

Tambah beliau lagi, ‘di sebelah yang lain, ramai pejuang kemerdekaan yang sebenarnya (real), telah dimasukkan ke dalam penjara.’

Interpretasi spontan dan ilmiah kepada ketiga-tiga ayat di atas ialah beliau telah menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin Perikatan termasuk Menteri-menteri tidak sanggup untuk berkorban dan bukanlah pejuang kebebasan yang sebenarnya kerana mereka tidak pernah dimasukkan ke dalam penjara!

Di manakah rasionalnya kenyataan Setiausaha Biro Antarabangsa parti DAP tersebut?

Sungguh pun beliau berselindung di sebalik ayat ‘one may even argue’, beliau sepatutnya berhujah untuk menangkis keraguan tersebut. Jika benarlah niat beliau mahu generasi muda faham sejarah negara ini, adalah tidak etikal untuk melemparkan saja satu isu yang kontroversial dan berat tanpa ada usaha untuk menerangkan atau memperbetulkan kontroversi tersebut. Itu bukan ilmu namanya tetapi kenyataan yang menyesatkan.

Beliau juga berkata ‘Perlu dinyatakan bahawa tanpa perjuangan dan pergorbanan oleh pejuang-pejuang kebebasan tersebut dan tekanan yang meningkat oleh Parti Komunis Malaya (MCP) yang diketuai oleh Chin Peng (seperti yang diakui oleh Tan Sri Rahim Noor, IGP semasa majlis tandatangan keamanan dengan MCP), pihak British tidak akan mungkin mahu (would certainly not willing) bekerjasama dan berunding dengan pemimpin-pemimpin Perikatan untuk mengadakan ‘Kemerdekaan tanpa pertumpahan darah’.’

Jika diperhalusi kenyataan di atas, jika pejuang-pejuang kemerdekaan yang dimaksudkan oleh Ronie Liu adalah pemimpin-pemimpim PKMM dan API yang dipenjarakan atau pun mereka yang menyertai parti Parti Komunis Malaya (MCP), maka beliau telah membuat keterangan yang membuta tuli dan merbahaya.

Dalam ertikata lain, beliau mendakwa bahawa persetujuan pihak British untuk mengadakan rundingan memerdekakan negara ini dengan parti Perikatan adalah hanya di sebabkan oleh 2 faktor iaitu pergorbanan ahli-ahli PKMM, API dan mereka yang bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (MCP) dan juga kerana peningkatan tekanan oleh MCP yang diketuai oleh Chin Peng.

Jika itu maksud yang cuba disampaikan, Setiausaha Biro Antarabangsa parti DAP itu telah menyimpang lebih jauh lagi. Kali ini, beliau telah mengikitiraf mereka yang berkomplot dengan parti MCP sebagai pejuang kemerdekaan. Secara tidak langsung, beliau menganggap bahawa MCP merupakan kumpulan orang yang patut juga dikatakan pejuang kemerdekaan termasuklah ketuanya, Chin Peng!

Satu soalan, apakah beliau masih mahu mengatakan bahawa Komunis Malaya atau pun mereka yang berkomplot dengan komunis itu sebagai pejuang kemerdekaan apabila mereka membunuh 23 orang termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah di Balai Polis Bukit Kepong pada 24hb Februari 1950 ?

Akhir kata, saya menyeru kepada Setiausaha Biro Antarabangsa parti DAP itu supaya memohon maaf serta memperbetulkan segala kesilapan yang telah beliau lakukan. Tetapi harapan saya ini tidak ada kena mengena dengan jawatan beliau sebagai pemimpin parti pembangkang tetapi atas dasar kita sebagai rakyat Malaysia yang sangat cintakan negara ini.

Seperti yang beliau katakan di dalam kenyataan akhbar, lakukanlah untuk kesejahteraan Malaysia dalam semangat yang Muhibah dan Merdeka. Dan sempena bulan kemerdekaan ini, masih tidak lewat untuk Setiausaha Biro Antarabangsa DAP itu mengakui kesilapan beliau daripada terus menerus menarik benang yang basah.

Dengan mengakui kesilapan sendiri, Ronie Liu Tian Kiew dapat memerdekakan diri daripada belenggu kepentingan politik melebihi kepentingan negara.

ARTIKEL TOP MINGGU INI.