Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Thursday, December 14, 2006

UMNO Dari Perspektif Generasi Muda Melayu

Dr Novandri Hasan Basri

Pemuda adalah generasi yang digolongkan di dalam usia 18 hingga 40 tahun. Jika dibandingkan dengan usia parti UMNO, Pemuda dilihat sebagai golongan yang tidak mempunyai banyak pengalaman suka duka kehidupan.

Walau bagaimana pun, kita mesti menghadapi kitaran hidup yang nyata. Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti, kekosongan generasi dewasa Melayu yang mula-mula mengharungi perit getir kelemahan politik dan kedaifan orang Melayu zaman dahulu, akan diisi oleh generasi Melayu baru yang masih muda dari segi pengalamannya.

Kebanyakan pengalaman generasi muda lebih bersifat teori, berdasarkan kepada buku-buku sejarah, tanpa terpahat bekas-bekas luka perjuangan seperti generasi Melayu sebelum kita. Malah hari ini, sejarah bangsa dan negara biasanya dipelajari, semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan, tanpa sebenarnya menjiwai dan mendalami ertikata sejarah itu sendiri!

Sungguh pun begitu, evolusi parti UMNO sungguh menakjubkan dan menggetarkan perasaan ini, terutama sekali di awal penubuhannya. Kita mungkin tidak mampu merasai bahangnya tetapi cuba bayangkan apabila 41 buah pertubuhan terbesar bangsa Melayu yang mewakili berbagai kepentingan, dapat dihimpunkan dan berjaya mengadakan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (Se Malaya) di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Atmosfera di masa itu tentu sangat hangat dibakar oleh api semangat perjuangan orang Melayu yang berada di Kelab tersebut. Ia seterusnya telah mencetuskan bibit-bibit penyatuan dan perpaduan, hinggalah terbentuknya Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau pun UMNO.

Penyatuan pertubuhan-pertubuhan Melayu pada tahun 1946 itu terasa begitu mustahil untuk direalisasikan tetapi ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan dan sepatutnya menjadi kayu pengukur kepada orang Melayu hari ini.

Hakikinya, seluruh bangsa Melayu mampu bersatu jika kita dapat memprioritikan agama dan bangsa sebagai nafas utama di dalam berpolitik di alaf baru ini!

Secara ilmiah dan logik, kesemua objektif utama kewujudan UMNO adalah aspirasi dan semangat UMNO yang sungguh menarik untuk kita fahami dan perjuangkan. Secara amnya, aspirasi UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik pembangkang lain.

Kebanyakan parti politik yang lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut resmi lalang di mana pendiriannya terhoyong hayang mengikut rentak manusia dan politik di ketika itu. Dunia tahu bahawa parti Pas merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh penjajah Inggeris dengan natijah memecah-belahkan bangsa Melayu. Parti Keadilan pula mempunyai natijah penubuhan parti yang lahir dari perasaan kecewa dan tidak puas hati.

Persoalannya sekarang, apakah perasaan-perasaan negatif di dalam kepimpinan parti-parti tersebut dapat menyediakan landasan kukuh kepada perjuangan agama dan bangsa yang bersih lagi suci seperti perjuangan parti UMNO?

Malangnya, ideologi fanatisme dan idolisme yang mewarnai kefahaman politik sesetengah orang Melayu hari ini telah menyebabkan semangat tulin UMNO dikaburi dan tidak menjadi kriteria terpenting di dalam memilih parti politik! Padahal, jika kita teliti dan fahami, aspirasi UMNO merangkumi segala aspek kehidupan manusia, samada agama, ekonomi, pendidikan, perhubungan kaum dan sebagainya.

Tidak pernah wujud ideologi sekularisme di dalam kamus UMNO, seperti yang digembar-gemburkan oleh parti pembangkang. Realitinya, UMNO adalah parti Islam terbesar di Malaysia ini.

Fakta-fakta di atas perlulah difahami dengan mendalam oleh kita, generasi muda Melayu. Realitinya, kita boleh keliru, lebih-lebih lagi di zaman ICT dan dunia yang serba pantas hari ini. Terlalu banyak putar belit, khabar angin dan informasi politik yang mudah kita baca, dengar dan ucapkan, sehinggakan kita boleh terperangkap di antara realiti dan dongengan!

Oleh kerana itu, sebagai seorang Melayu yang berilmu, kita dituntut untuk mengkaji ‘wajah’ politik serta senario manusia dan kita mesti bijak membezakan di antara fakta dengan fitnah. Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri dan berlogik kepada segala persoalan politik bangsa Melayu hari ini.

Jika kita selidiki, cara yang terbaik untuk mengelakkan kekeliruan sedemikian rupa ialah berpegang kepada sumber-sumber yang mampu mengemukakan bukti-bukti yang ‘legitimate’ lagi sahih.

Kita juga perlu berpaksikan kepada pihak yang mempunyai rekod-rekod hasil kerja keseluruhan yang paling hampir konsisten dan terbukti keefesiennya. Maka dengan ini diharapkan semoga kita akan sentiasa berada di dalam kebenaran dan bersatu padu menghidupkan kembali perjuangan bangsa Melayu.

Thursday, October 19, 2006

Kemalangan Jalanraya : Dari Perspektif Ilmiah

Dr Novandri Hasan Basri

Slogan ‘Pandu cermat jiwa selamat’ dan ‘malang tidak berbau’ mempunyai intipati pengertian yang sangat jelas. Kita semua tahu dan setuju bahawa memandu laju, tidak berhemah, tidak bertimbangrasa, fizikal pemandu yang letih atau mengantuk, faktor cuaca, kondisi jalanraya dan kenderaan merupakan respons-respons yang lumrah kita berikan kepada isu kemalangan dan kematian di jalanraya.

Realitinya, masalah kemalangan di jalanraya adalah masalah global di mana penduduk dunia berkongsi nilai peratusan penyebab kemalangan yang hampir sama : 85% - faktor pemandu, 5% - faktor mesin, 10% - faktor persekitaran.

Jika kita layari internet, terdapat halaman-halaman web yang mempunyai topik pengkhususan mengenai kemalangan jalanraya. Halaman-halaman web ini amat berinformatif, membincangkan pelbagai perspektif kemalangan di jalanraya, mitos dan faktanya, persepsi masyarakat dan pihak berkuasa, segi psikologi dan sosialnya, hipotesis, penyelidikan serta pembentangan kertas kerja yang amat komprehensif. Di antaranya ialah www.drivers.com , www.apa.org , www.jpj.gov.my , www.jpjsabah.gov.my , www.trinity.edu dan www.visualexpert.com.

Halaman web JPJ Sabah www.jpjsabah.gov.my telah menggariskan konsep pemandu berhemat yang bermaksud pemanduan yang dilakukan oleh seseorang pemandu yang mempunyai pengetahuan tentang peraturan-peraturan lalulintas, kemahiran yang tinggi dalam aspek pemanduan, sikap yang betul ketika memandu serta sentiasa bersedia dengan mengenalpasti, menganalisa, membuat keputusan dan bertindak terhadap halangan yang sama ada disebabkan oleh pengguna jalalanraya atau halangan semulajadi yang wujud.

Apakah sebenarnya faktor-faktor psikososial dan intrinsik manusia yang mendorong kita melakukan kesalahan lalulintas serta berlakunya kemalangan di jalanraya?

Menurut Marc Green & John Senders dalam kajian mereka yang bertajuk ‘Human Error in Road Accident’ (www.visualexpert.com) mengatakan bahawa jawapannya terletak kepada limitasi semulajadi pemprosesan informasi manusia (inherent limitation human information processing) di mana manusia bergantung kepada 3 fungsi mental yang tak sempurna (imperferct): persepsual (perceptual), tumpuan (attention) dan memori. Kegagalan untuk menggunakan fungsi-fungsi mental tersebut serta ketidaksempurnaan manusia akan menyebabkan berlakunya kemalangan.

Kajian juga mengatakan bahawa terdapat 3 sebab asas yang menyebabkan berlakunya kemalangan. Pertama, kesilapan persepsual (perceptual error) dan salahpertimbangan persepsual (perceptual misjudgement).

Kesilapan persepsual ialah apabila stimuli-stimuli kritikal di jalanraya adalah di bawah threshold deria penglihatan seseorang pemandu, contohnya akibat lampu malap, cuaca buruk atau silauan. Salahpertimbangan persepsual ialah apabila pemandu gagal menilai jarak dan kelajuan kenderaan yang lain atau menilai darjah belokan kenderaannya.

Kedua, hilang tumpuan atau kegagalan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya, sungguh pun pemandu berjaya mengesan stimuli-stimuli kritikal semasa memandu. Contohnya menggunakan telefon bimbit atau mengantuk.

Terdapat juga kes di mana pemandu mengatakan bahawa mereka ‘tidak nampak’ kenderaan yang lain. ‘Inattentional blindness’ ini berlaku apabila stimuli-stimuli terletak di luar skop tengah penglihatan (centre visual field) seseorang pemandu. (Mack & Rock, 1998)

Ketiga, kemalangan boleh berlaku apabila pemandu gagal untuk memilih respons yang betul walau pun beliau telah berjaya memproses informasi serta stimuli di jalan raya. Atau pun, pemandu mungkin telah memilih keputusan yang betul tetapi beliau gagal untuk melaksanakannya.

Tingkah laku dan personaliti seseorang pemandu juga memainkan peranan di dalam berlakunya sesuatu kemalangan. (I.M McNally & M.Stone, Universiti Central Lancashire, UK). Kajian mengatakan bahawa pemandu yang berpersonaliti jenis-A (Type-A Behaviour Pattern (TABP)) mempunyai risiko yang amat tinggi.

Individu ini menunjukkan 3 karakter yang tertentu iaitu kompetetif, mahu lekas dan cepat marah atau senang tercabar. (Chesney, Frautschi & Rosenman, 1985; Friedman & Rosenman, 1974; Jenkins, 1976). Golongan ini berkemungkinan besar memanifestasikan 3 karakter mereka di jalanraya disebabkan oleh rangsangan yang mereka terima seperti kesesakan jalanraya atau keagresifan pemandu yang lain.

Secara sedar atau tidak, terdapat beberapa persepsi ‘palsu’ masyarakat dan pengguna jalanraya,

1. Meningkatan tahap laju di jalanraya adalah kos efektif dan sesuai dengan kemajuan teknologi kenderaan masa kini.
Realitinya, persepsi ini tidak berapa benar. Ilmu fizik (law of physics) mengatakan bahawa tenaga impak yang diterima oleh pemandu dan penumpang kenderaan semasa perlanggaran, meningkat secara non-linear dengan kelajuan kenderaan itu. Maksudnya, lagi laju sesebuah kenderaan itu, lagi tinggi risiko berlakunya kecederaan teruk atau maut semasa kemalangan. (www.usw.com).

Dari konteks sosioekonomi negara ini, meningkatkan tahap laju di jalanraya hanyalah akan memuaskan hati segolongan pengguna jalanraya sahaja tapi akan memudaratkan pengguna jalanraya lain. Pemindaan undang-undang lalulintas yang menguntungkan hanya satu pihak ini perlu diperbetulkan dengan segera. Kita perlu ingat bahawa usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan kehilangan jiwa di jalanraya ini memerlukan sokongan dari semua pihak, yang berkenderaan besar dan kecil.

2. Remaja dan orang muda mesti berani.
Persepsi umum mengatakan bahawa remaja dan orang muda mesti berani menghadapi segala cabaran. Sukan-sukan lasak atau seni mempertahankan diri memerlukan remaja dan orang muda yang berani. Kalau tidak berani, mereka akan dianggap lembik, tidak gagah, tidak macho atau tidak ‘jantan’. Persepsi masyarakat keseluruhan ini ada kebenarannya tetapi malangnya, kegagalan untuk mengasingkan sikap berani semasa bersukan dengan berani di jalanraya, boleh mendatangkan musibah!

Ramai di antara mereka akan berlagak berani semasa memandu kereta atau menunggang motosikal. Golongan muda juga mempunyai rangsangan tinggi untuk mencari sensasi (sensation seeking) dengan memandu secara bahaya atau menunggang motosikal dengan laju (I.M McNally & M.Stone, Universiti Central Lancashire, UK).

Dengan cara itu, mereka akan dipandang sebagai ‘jantan’ dan berani oleh rakan-rakan sebaya mereka.

Realitinya, gaya hidup yang berisiko tinggi ini mesti dicegah sama sekali. Percayalah, perlumbaan haram tidak akan menjadi jika tidak ada yang menonton aksi mereka dan tidak memperdulikan mereka langsung!

3. Kengerian dan kegelisahan yang di rasa akan menginsafkan kita semua.

Kita gerun dan sedih dengan pelbagai peristiwa kemalangan demi kemalangan yang kita baca dan lihat di media-media. Tetapi satu fakta yang amat nyata ialah bahang kegelisahan dan komitmen yang kita rasai sejak 4 minggu yang lalu, hanyalah akan bertahan untuk sementara waktu sahaja.

Masanya akan tiba apabila kita semua kembali komplesen serta relaks sehinggalah ke musim ‘kemalangan - balik kampung’ yang akan datang. Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan di mana secara relatifnya, lebih kerap dan signifikan di masa-masa hari perayaan akan berkurangan selepas perayaan tersebut.

Kajian mengatakan bahawa terdapat fenomena ‘the theory of games’ di mana berlaku di antara pemandu dan pihak berkuasa (www.drivers.com). Sikap pemandu banyak berubah serta bertambah baik, setiap kali hadirnya pihak berkuasa dan juga peningkatan tahap penguatkuasaan undang-undang lalulintas. Berkurangnya pemandu yang melakukan kesalahan akan menyebabkan bebanan pihak berkuasa turut berkurang.

Maka dengan itu bilangan pihak berkuasa yang terlibat akan juga dikurangkan dan disalurkan kepada isu-isu lain yang memerlukan kakitangan tambahan. Apabila ini berlaku, tahap penguatkuasaan undang-undang lalulintas akan menjadi rendah kembali dan pihak pemandu akan mengulangi segala sikap negatif mereka di jalanraya. Kitaran tidak stabil ini terus berlaku. (Bjornskau & Elvik, 1992)

Makanya, untuk memastikan kesalahan-kesalahan dan sikap negatif di jalanraya dapat dibendung dengan jayanya, intensiti penguatkuasaan undang-undang lalulintas mesti sentiasa berada di tahap yang maksima.

Halaman web JPJ Sabah (www.jpjsabah.gov.my) mempunyai topik ‘Kurikulum Pendidikan Pemandu’ (KPP) yang perlu kita teliti dan praktikkan. Di antara lain, ianya menerangkan definasi Konsep Pemanduan Berhemat, langkah mencegah berlakunya kemalangan dan pemandu sempurna.

Selain daripada itu kurikulum ini turut menyentuh pengurusan ketegangan ‘stress management’ di mana ianya sangat relevan kepada pemandu yang berpesonaliti jenis-A (Type-A behavioural pattern).

Untuk pengetahuan semua, terdapat satu ‘standard formula’ untuk mencegah kemalangan :
D - Define (Mengenalpasti bahaya)
A - Analyse (Menganalisa)
D - Decide (Membuat keputusan)
A - Act (Bertindak)


Kesimpulannya, jika berdasarkan kepada segala fakta di atas, apa yang diperlukan sekarang sebenarnya ialah untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan undang-undang lalulintas. Bilangan pihak berkuasa yang terlibat secara langsung di jalanraya mesti cukup setiap masa supaya kehadiran mereka itu sentiasa dirasai oleh pengguna jalanraya. Kitaran ‘the theory of games’ seperti yang saya terangkan pada awal artikel ini, mesti dibendung.

Penggunaan kamera di simpang-simpang dan untuk merekodkan kelajuan sesebuah kenderaan perlu ditambah. Tetapi kajian dari pihak Royal Automobile Club Foundation (RACF) di England mengatakan bahawa walau pun kamera-kamera ini praktikal digunakan tapi kehadiran pihak berkuasa masih amat diperlukan setiap waktu kerana pemandu yang mempunyai rekod jenayah, agresif, khayal kerana arak atau dadah, mengantuk, tidak berlesen, memotong dengan bahaya atau yang menggunakan telefon bimbit tidak dapat dirakam oleh kamera-kamera yang sedia ada.

Malah, satu laporan yang disiarkan di jurnal perubatan The Lancet pada 20 Jun 2003 mengatakan bahawa tiket saman mampu mengurangkan kemalangan dan kehilangan jiwa! Kajian itu telah dilakukan oleh Dr Robert Tibshirani dari Fakulti Perubatan Unversiti Stanford.

Beliau mengatakan bahawa tiket saman akan meninggalkan impak yang sangat mendalam dan tersemat di fikiran pemandu-pemandu, untuk sekurang-kurangnya berberapa minggu. Impak ini akan menyebabkan seseorang pemandu itu lebih berhati-hati dan lebih berhemat.

Jika kita layari halaman web www.jpj.gov.my , Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) mempunyai satu sistem baik yang dinamakan Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalanraya atau KEJARA. Ianya adalah sistem pemberian mata demerit kepada pemandu-pemandu kenderaan yang telah disabitkan kesalahan samada melalui bayaran kompaun (polis atau JPJ) atau denda (mahkamah) bagi kesalahan laluilintas. Buat masa ini, sistem KEJARA ini ditujukan khas kepada pemandu-pemandu kenderaan yang memiliki lesen memandu CDL dan Lesen Memandu Percubaan.

Selain daripada itu, sistem ini juga mempunyai kursus pemulihan kepada pemandu yang digantung lesennya. Malah, KEJARA turut memperuntukkan pemberian bonus kepada pemandu-pemandu CDL yang mendapat mata demerit yang kurang daripada 15 mata, jika tidak melakukan apa-apa kesalahan lalulintas selama tempaoh 24 bulan berturut-turut. Secara keseluruhannya sistem KEJARA ini amat baik sekali dan wajar dipertimbangkan serta diperluaskan kepada seluruh pemandu kenderaan.

Satu kajian komprehensif juga sedang dijalankan di UK untuk mengkaji keefektifan sistem ‘External Vehicle Speed Control’ (EVSC), satu sistem yang akan menghadkan kelajuan maksima semua kenderaan di negara tersebut.

Keputusan awal kajian ini menganggarkankan bahawa sistem ini dapat mengurangkan jumlah kemalangan sebanyak 35%! (www.drivers.com). Saya dapati bahawa nilai peratusan hasil dari kajian ini sangat signifikan dan sistem EVSC ini patut diambil kira dengan serius oleh pihak berkuasa negara ini.

Penguatkuasaan undang-undang untuk menghadkan kelajuan kenderaan berat juga perlu di percepatkan. Alasan tidak kos efektif tidak boleh dijadikan sandaran apabila kita membincangkan harga nyawa seseorang pengguna jalanraya!

Apakah perlunya berlaku lagi kes 12 orang penumpang bas ekspres yang terbunuh di kilometer 63, Jalan Lipis-Merapoh atau seorang kanak-kanak kecil yang terputus kepalanya di sebabkan oleh sebuah lori?

Seperkara lagi, kita tentu masih ingat dengan pengakuan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMSM) pada tahun 2004. Beliau mengakui bahawa terdapat pemandu bas yang bekerja sehingga melebihi 24 jam atau 35 jam tanpa rehat semata-mata mahu mendapat pendapatan lebih.

Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat juga pengusaha syarikat bas yang memaksa pemandu masing-masing memandu tanpa pemandu gantian, terutamanya bagi perjalanan jarak jauh.

Ada pihak yang mendedahkan tentang kesukaran untuk mendapat barang ganti serta kelemahan kotak hitam yang di pasang di kenderaan-kenderaan berat. Segala isu ini mesti ditangani dengan segera. Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan dengan seberapa cepat yang mungkin sebelum tibanya musim-musim perayaan yang lain.

Persoalannya, apakah kita telah bersedia? Atau, apakah kita baru hendak tersedar semula?

Friday, September 22, 2006

Lee Kuan Yew Mesti Minta Maaf

Dr Novandri Hasan Basri

Penulis ingin merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri yang juga negarawan Singapura, Lee Kuan Yew di dalam satu forum sempena mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura pada 15hb September 2006. (Reuters, Utusan Malaysia 16hb September 2006)

Di forum tersebut, Lee Kuan Yew telah berkata bahawa kedua-dua negara jiran Singapura iaitu Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan penduduk Cina di negara masing-masing! Tambahnya lagi, orang Cina di negara-negara ini telah dipinggirkan secara sistematik kerana mereka berjaya dan rajin!

Kita pasti akan kecewa dan marah dengan tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Singapura itu mengenai negara kita. Persoalannya, siapalah beliau yang berani menconteng arang ke muka kita ini? Apakah kerana kita telah bersetuju untuk tidak meneruskan projek jambatan di Selat Tebrau maka kini beliau menganggap bahawa rakyat Malaysia berada di bawah telunjuk beliau dan begitu senang dieksploitasikan menjadi satu ugutan kepada rakyat Singapura agar terus menyokong parti PAP?

Yang pastinya, Lee Kuan Yew telah mengguris hati dan tidak menghormati kita dan Malaysia. Beliau telah merendah-rendahkan martabat kita semua terutamanya kaum Cina di Malaysia dengan dakwaan sengkel beliau itu. Padahal, hakikatnya kaum Cina di Malaysia turut bersama-sama berkongsi kemakmuran negara dan mempunyai ruang yang sangat luas di dalam semua sektor yang sedia ada di Malaysia. Dan tidak ada definasi ‘systematically marginalized’ di dalam fikiran kita dan juga kerajaan yang memerintah Malaysia.

Ironinya, bukankah beliau yang sebenarnya menggunapakai istilah tersebut di dalam meminggirkan kaum bukan Cina di dalam hariki ketenteraan negara beliau? Bukankah beliau yang cuba memadam pergorbanan dan kewujudan kaum Melayu di dalam sejarah negara Temasik?

Maka di sini saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin kaum Cina seperti parti MCA, parti Gerakan, Suqui, Dong Jiao Zong, suratkhabar-suratkhabar berbahasa Cina dan persatuan-persatuan Cina bukan kerajaan agar bersama-sama menyuarakan rasa kecewa kita terhadap fitnah yang dilontarkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Inilah masanya rakyat Cina di Malaysia bangkit untuk mempertahankan maruah negara yang kita cintai ini daripada diperbudak-budakkan oleh negara jiran kita! Dan jika kita turut kecewa, pastinya di sepanjang minggu ini, ramai pemimpin kaum Cina akan tampil ke hadapan dan menyuarakan rasa kecewa mereka serta membidas sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. Pastinya kita semua akan menolak tohmahan bahawa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik seperti yang didakwa oleh Lee Kuan Yew.

Pokoknya, kita mahu Lee Kuan Yew memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia di atas ketelanjuran belaiu itu dan kita berharap agar beliau tidak lagi mengulangi kenyataan sempit itu! Dan juga kita berharap agar beliau tidak mengaitkan masalah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan orang Cina Singapura dengan rakyat Malaysia dan negara jiran mereka yang lain.

Nampaknya kenyataan beliau itu seperti mahu menakut-nakutkan rakyat Singapura dan beliau berharap tuduhan murahan itu akan memastikan rakyat Singapura terus menyokong parti PAP.

Friday, September 15, 2006

Jangan Wariskan Isu Melayu Pulau Pinang Kepada Genarasi Berikutnya

Dr Novandri Hasan Basri

Semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Dato’ Ghani Othman, Menteri Besar Johor Darul Takzim pada 10hb September 2006, Pemuda UMNO Bukit Gelugor telah menerangkan kepada perwakilan mengenai usul penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di dalam mesyuarat tersebut, Pemuda UMNO Bukit Gelugor telah mengemukakan beberapa statistik dan fakta yang menjuruskan kepada ketidakupayaan beberapa potfolio di bawah beliau di dalam menyamaratakan hak di antara kaum-kaum di Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau. Di antaranya:-

1.
Pengerusi Jawatankuasa Perancang Bandar dan Desa
2. Pengerusi PDC
3. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Perdagangan Antarabangsa


Sebagai contoh, Pemuda UMNO Bukit Gelugor bimbang kerana tidak ada kesungguhan untuk membendung kepincangan pengagihan perumahan di bahagian pulau. Realitinya, bekalan perumahan semasa di Pulau Pinang lebih tertumpu kepada rumah kos sederhana dan tinggi.

Daripada unit-unit yang telah sedia ada dan komited, lebih kurang 60% adalah perumahan kos sederhana dan kos tinggi. (Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang).

Dan jika kita membandingkan peratus penduduk Bumiputera Pulau Pinang sebanyak 41.3% sebagai ukuran kadar pencapaian, harta milik bumiputera jauh lebih rendah daripada itu!

PEMILIKAN HARTA KEDIAMAN ORANG MELAYU

KEDIAMAN* PERATUS*
RUMAH TERES 18.2 %
RUMAH BERKEMBAR 20.7%
KONDOMINIUM 4%
FLAT 16.6%

*
Alasan yang kita terima adalah kerajaan negeri hanya mampu menegur pemaju-pemaju perumahan. Makanya, jika teguran kerajaan negeri itu seperti menyiram air di daun keladi dan tidak dapat menyedarkan mereka betapa penting wujudnya interaksi dan pengimbangan kaum di sesebuah kawasan perumahan, teguran itu perlu ditukar menjadi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh pemaju-pemaju perumahan.

Makanya, Pemuda Bukit Gelugor menyeru agar kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan lebih tegas. Kita juga berharap pihak penyelarasan Penyertaan Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri:-

1. menilai semula pelepasan kuota bumiputera untuk unit perumahan/komersial kepada bukan bumiputera yang selama ini digunapakai di Pulau Pinang.

Realitinya, tidak ada pengorbanan yang signifikan daripada pemaju-pemaju perumahan untuk menebus kembali maruah dan kerelaan orang bumiputera Pulau Pinang memberi kuota/hak mereka kepada orang lain.

Persoalannya,

1.
apakah kuota orang Bumiputera Pulau Pinang begitu senang bertukar-tangan dengan hanya mengiklankan projek perumahan itu sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali di dalam akhbar utama berbahasa Malaysia dalam tempoh enam bulan yang berkuat kuasa mulai daripada iklan yang pertama?
2. Apakah harga orang bumiputera adalah semurah harga 5-10% sumbangan pemaju-pemaju perumahan kepada pihak penyelarasan bumiputera Pulau Pinang?


Yang menyedihkan ialah jika kita berpandukan kepada petunjuk semasa di Pulau Pinang, hak Bumiputera memang senang diperkotak-katik dan dijual-beli!

Realitinya, Pemuda UMNO dan keseluruhan generasi muda Melayu Pulau Pinang bakal mewarisi satu isu yang sangat berat. Yang amat membimbangkan kita ialah tanah di bahagian pulau semakin berkurangan tetapi tidak ada kelihatan langkah-langkah yang konkrit untuk menyelesaikannya.

Majoriti perumahan tetap tertumpu kepada kos sederhana dan tinggi manakala penukaran kuota bumiputera begitu senang dan terus diamalkan. Dikhuatiri di masa hadapan, sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan kerana tanah-tanah dan unit-unit rumah/komersial telah dimiliki secara total dan sah oleh kaum lain.

Kita juga bimbang akan berlakunya:-

ketidakseimbangan polarisasi kaum yang signifikan di kawasan-kawasan perumahan kelak dan ini akan menyumbang kepada masa contact sesama kaum yang sangat terhad.

Realitinya, sejak hari ini pun kaum-kaum di Pulau Pinang sudah mula kurang berinteraksi sesama sendiri. Contohnya, sejak dari peringkat kanak-kanak lagi sudah berlaku segregasi kaum melalui pelbagai aliran sekolah.

Di peringkat muda pula, segregasi wujud akibat pelbagai institusi pengajian tinggi swasta yang dimonopoli oleh sesebuah kaum sahaja. Begitu juga di alam pekerjaan di mana kebanyakan tempat kerja tidak menampakkan peratusan kaum-kaum yang sama rata.

Dan jika ditambah dengan ketidakseimbangan polarisasi kaum di kawasan-kawasan perumahan, maka ianya bakal membantutkan usaha-usaha murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang saling memahami, tolong menolong dan mesra di antara satu sama lain.

Pemuda Bukit Gelugor juga telah mencadangkan:-

2. perlaksanaan kuota kaum di hariki pengurusan tertinggi di sektor perindustrian di Pulau Pinang.
Diskrepansi yang berlaku hari ini sungguh mengejutkan tetapi tidak ada langkah-langkah signifikan yang dilakukan, kononnya konsep penyamarataan peratus kaum-kaum akan menyebabkan pelabur-pelabur asing lari. Padahal pada hakikatnya, jumlah pelaburan asing terus meningkat setiap tahun dan ini membuktikan bahawa dasar-dasar ekonomi untuk bumiptera diterima oleh pelabur asing.

Kita juga berpendapat bahawa jika perlaksaana kuota dapat dilaksanakan di sektor perindustrian, ianya dapat

menyediakan jumlah orang Melayu berpendapatan tinggi yang ramai di dalam masa yang singkat.
Mereka ini pula bakal mempunyai kuasa membeli yang kuat serta mampu membeli unit-unit rumah / komersial di bahagian pulau.

Selain daripada itu, kita mencadangkan agar:-

3. Konsortium Bumiputera yang bakal dibentuk untuk Koridor Pembangunan Wilayah Utara dapat menyumbangkan 5-10% keuntungan mereka kepada bumiputera Pulau Pinang.

Sumbangan ini dapat digunakan untuk meningkatkan lagi usaha membaik pulih perniagaan orang Melayu dan juga membeli unit-unit rumah/komersial yang dikuotakan untuk bumiputera.

Kesimpulannya, kita berharap agar isu orang Melayu di Pulau Pinang dapat diselesaikan dengan segera di masa orang Melayu masih lagi ada kuasa politik dan memimpin negara ini. Dan jangan bebankan generasi Melayu berikutnya dengan isu ini lagi.

Thursday, August 31, 2006

Kembalikan Kehangatan Isu Melayu Pulau Pinang

Dr Novandri Hasan Basri

Saya ingin merujuk kepada dengan kenyataan saudara Khairy Jamaludin, Naib Pemuda UMNO Malaysia yang mengatakan bahawa Pemuda UMNO negeri Pulau Pinang sedang melakukan beberapa kajian berkaitan dengan permasalahan orang Melayu di Pulau Pinang ini. (Utusan Malaysia, 19hb Ogos 2006)

Kenyataan di atas amat menarik untuk kita teliti, lebih-lebih lagi di ketika ini di mana isu permasalahan orang Melayu di Pulau Pinang seperti tidak hangat lagi diperkatakan. Kemalapan isu ini seperti mengulangi episod-episod malapnya segala rintihan orang Melayu di Pulau Pinang seperti yang tercatat di suratkhabar perdana pada tahun 1999, 2002 dan 2003.

Lantaran itu, kita menyambut baik usaha yang sedang dijalankan oleh Pemuda UMNO negeri Pulau Pinang itu. Realitinya, sebarang rasa ketidakseimbangan atau ketidakpuashatian amat perlu dikuantitikan dan diterjemahkan kepada matematik serta statistik dan mampu dijadikan bukti yang sah serta dapat menepis sesiapa saja daripada ‘manis kata di mulut sahaja.’

Dan jika intonasi Pemuda UMNO negeri yang begitu lantang menyuarakan pendirian mereka tidak beberapa lama dulu, pastinya kajian-kajian tersebut akan mempamerkan pelbagai kelemahan pengurusan, data serta statistik perbandingan yang menjurus kepada kebenaran pendirian mereka.

Semestinya pendekatan untuk menyuarakan kebenaran pendirian Pemuda negeri juga nanti akan menggunakan saluran perbincangan yang betul seperti yang disarankan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. (Utusan Malaysia, 23hb Ogos 2006)

Dalam masa yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah berkata bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk melihat kajian dan cadangan bagi menyelesaikan perkara berbangkit. Beliau menambah, kerajaan negeri akan berbincang dan membuat keputusan selepas melihat cadangan Pemuda UMNO negeri. . (Utusan Malaysia, 23hb Ogos 2006)

Sikap terbuka seperti yang dijanjikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang amat dialu-alukan.

Janji beliau tersebut sekurang-kurangnya telah menjawab salah satu daripada persoalan Pemuda UMNO negeri iaitu dakwaan mereka mengenai ketidak prihatian Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membantu menyelesaikan permasalahan orang Melayu. Dengan janji beliau itu juga, sekarang telah nampak jelas bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang akan lebih transparen dan boleh diajak berunding.

Walaubagaimana pun, di dalam usaha Pemuda Negeri menjalankan kajian mereka, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga perlu menyediakan segala statistik perbandingan sosioekonomi kaum-kaum di negeri ini. Begitu juga dengan segala hasil usaha dan perancangan beliau selama ini di dalam menangani permasalahan orang Melayu Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau.

Tentunya kerajaan negeri telah pun mempunyai data-data tersebut. Contohnya, Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (DRSTPP) merupakan salah satu daripada data yang diusahakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kajian untuk DRSNPP telah dimulakan pada bulan November 2002, tahun di mana terdapat pemimpin UMNO negeri yang telah menyuarakan pandangan beliau mengenai permasalahan Melayu di Pulau Pinang. (Melayu P. Pinang terpinggir -- Nasib seperti Melayu Singapura jika kerajaan negeri amal sikap tidak peduli, Utusan Malaysia, 25hb Ogos 2002)

Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (DRSTPP) merupakan satu draf pembangunan fizikal Pulau Pinang yang akan digunakan oleh kerajaan negeri bagi malaksana dan menyediakan kemudahan prasarana kepada rakyat sehingga tahun 2020. (Utusan Malaysia, 24hb Ogos 2006).

Selain daripada itu, perlaksanaan pembangunan kerajaan negeri itu turut melibatkan penggabungan perancangan pembangunan dua pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selaras dengan Akta Perancangan dan Desa 1976 (Akta 171).

Satu persoalan, berapa ramaikah pemimpin dan orang Melayu di Pulau Pinang yang benar-benar faham mengenai DRSTPP atau pun berminat untuk menghadiri sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pendengaran Awam?

Saya pasti bahawa beberapa pindaan dan perbincangan tertutup telah pun diadakan di antara pemimpin-pemimpin negeri termasuk juga UMNO negeri. Makanya, ini juga menunjukkan bahawa Pemuda UMNO negeri boleh mendapatkan akses kepada data-data hasil kajian DRSNPP yang dapat digunapakai untuk menerangkan permasalahan orang Melayu dengan lebih tepat lagi.

Begitu juga dengan perbandingan yang boleh dilakukan di antara DRSNPP dengan Rancangan Struktur MPPP yang diwartakan pada tahun 1987 dan Rancangan Struktur MPSP yang diwartakan pada tahun 1990.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengatakan bahawa semakan laporan draf akan dibuka kepada orang ramai bermula 29hb Ogos hingga 1hb September di tingkat 3 KOMTAR dan di Dewan Bandaran MPPP bermula 4hb hingga 30hb September 2006. Manakala sesi pendengaran awam akan diadakan pada 4 hingga 8 September 2006 di Dewan Bandaran MPPP dan 11 hingga 15 September 2006 di Bangunan MPSP dari pukul 9 pagi hingga 12.30 tengahari.

Tarikh-tarikh tersebut perlu diwar-warkan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang terutamanya orang Melayu. Walau pun ianya merupakan satu draf yang berjela-jela panjangnya dan tidak merangkumi segala perincian dan sudut holistiknya di Pulau Pinang tetapi penyertaan dan timbal-balas daripada orang Melayu amat diperlukan serta diwartakan menjadi salah satu asas kepada penambahbaikkan pembangunan fizikal negeri Pulau Pinang.

Dalam masa yang sama, kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang mesti sedar bahawa kesan negatif jangka panjang yang mungkin tidak dapat diperbetulkan lagi akan berlaku jika usaha membaikpulih ketidakseimbangan sosioekonomi orang Melayu di Pulau Pinang tidak ditangani dengan segera.

Pemangku Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Kamarudin Ngah pernah berkata bahawa jurang sosial antara masyarakat Melayu, Cina dan India menjadi semakin luas di Pulau Pinang akibat tumpuan pembangunan ekonomi yang tidak seimbang. Kata beliau lagi, jika dibiarkan, keadaan itu boleh membawa implikasi negatif kerana corak hidup kaum-kaum utama di negeri ini akan bersifat lebih eksklusif ekoran tiadanya pergaulan secara majmuk. (Utusan Malaysia, 25 Ogos 2002)

Dalam erti kata yang lain, kek ekonomi negeri Pulau Pinang perlu dinikmati diantara kaum-kaum dengan adil dan saksama. Peniaga-peniaga bukan bumiputera yang telah lama bertapak dan berkembang di negeri ini perlu membuka rantaian perniagaan mereka kepada orang Melayu. Dewan Perniagaan bukan Melayu pula perlu menasihati rakan-rakan perniagaan masing-masing agar bersikap lebih terbuka dan berganding bahu dengan peniaga-peniaga Melayu.

Perubahan sikap peniaga-peniaga bukan Melayu boleh berlaku jika mereka menyedari pengorbanan orang Melayu di Pulau Pinang. 30% kuota perumahan hak bumiputera di Pulau Pinang dikorban dan direlakan bertukar ganti kepada orang bukan Melayu.

Sesuatu projek atau perniagaan milik orang Melayu contohnya, tidak akan dapat lari daripada menggunakan khidmat perniagaan orang bukan Melayu di Pulau Pinang ini. Akan tetapi, projek atau pun perniagaan milik orang bukan Melayu tidak semestinya akan mempunyai khidmat orang Melayu di dalam rantaian perniagaan mereka.

Gambaran negatif yang mengatakan bahawa perlaksanaan kuota kaum terutamanya kepada bumiputera di sektor perindustrian di Pulau Pinang akan mengurangkan pelaburan asing juga perlu di atasi dengan segera. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Iindustri, Datuk Seri Rafidah baru-baru ini mengatakan bahawa jumlah pelaburan asing terus meningkat setiap tahun, kira-kira RM250 bilion mengalir masuk bagi sektor perkilangan sahaja sepanjang tempoh Pelan Induk Perindustrian Kedua telah membuktikan bahawa dasar-dasar ekonomi untuk bumiptera diterima oleh pelabur asing. (Utusan Malaysia, 24 Ogos 2006)

Dan sebagai negeri yang mempunyai banyak kawasan perindutrian, jawatan-jawatan tinggi di kilang-kilang pastinya dapat menyediakan kuasa membeli kepada si penjawatnya. Malangnya, jawatan-jawatan tersebut lebih didominasikan oleh sesuatu kaum sahaja. Dan dengan sokongan pelaburan yang berbilion-bilion ringgit dan prospek industri yang cemerlang, maka tidak hairanlah apabila orang bukan Melayu mampu membeli hartanah yang mahal di Pulau Pinang ini, jauh lebih baik daripada kaum-kaum lain.

Alangkah baiknya jika Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat mengkaji isu ketidakseimbangan kaum di dalam jawatan-jawatan pengurusan tertinggi sesuatu industri di Pulau Pinang. Yang pastinya, kementerian tersebut mempunyai segala maklumat mengenai struktur pengurusan dan jumlah kakitangan-kakitangan sesuatu kilang yang berdaftar di negeri ini. (http://www.miti.gov.my)

Mungkin yang perlu dilakukan ialah hanya dengan mengubahsuai isi kandungan borang-borang seperti ICA 1 (97), CSD1 dan ICA(C)/JA-8 dengan memasukkan kolum pecahan kaum-kaum di bahagian ‘Guna Tenaga’ (Man Power) dan ‘Kategori Pekerjaan’ (Work Category).

Dan jika benarlah pelabur-pelabur asing tidak mempunyai masalah mengenai dasar-dasar bumiputera dan jika kaum bukan Melayu bersungguh-sungguh untuk menyamaratakan kemakmuran negara, data-data diskripensi pengagihan jawatan tertinggi yang berat sebelah dan didominasikan oleh sesuatu kaum itu akan tentu kita dapat perbetulkan dengan segera, tanpa sebarang kesulitan.

Pokoknya, kesamarataan di dalam sosioekonomi kaum-kaum merupakan elemen paling penting dalam menjamin kemakmuran dan kestabilan negeri Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau.

Sunday, August 27, 2006

Memahami Artikel 11

ARAHAN Perdana Menteri kepada empat negeri Ahad lalu supaya mengambil langkah segera menggunakan kuasa di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam di kalangan umat Islam mendapat reaksi yang cukup positif daripada pelbagai pihak.

Empat negeri berkenaan – Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak – dilaporkan sedang berusaha mempercepatkan proses penggubalan undangundang berkenaan melalui dewan perundangan masingmasing. Reaksi empat negeri itu adalah langkah yang sangat wajar kerana pada dasarnya, tiada apa-apa halangan atau alasan bagi negeri-negeri itu untuk tidak melaksanakan kuasa yang diturunkan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan itu.

Alasan bahawa undang-undang itu dirasakan tidak perlu sebelum ini kerana tiada kontroversi agama adalah dalih yang cukup lemah dan boleh dikatakan tidak mengambil kira perkembangan dan realiti semasa.

Kita tahu apa yang berlaku tetapi kita tidak pernah mahu menyatakannya secara terbuka kerana menganggapnya sebagai satu isu yang sangat sensitif dan boleh mengguris hati banyak pihak, dan kerana itu kita mengambil sikap berdiam saja.
Itulah sebabnya para pemimpin pertubuhan Islam dan pengamal undang-undang, antara pihak yang cukup memahami apa yang berlaku, menarik nafas lega terhadap sikap dan arahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu
.

“Kenyataan ini sangat bertepatan dengan keprihatinan yang sedang dizahirkan oleh umat Islam di Malaysia,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad.

*Resolusi
Malah lebih kurang seminggu sebelum arahan Perdana Menteri itu, Seminar Kebangsaan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam resolusinya turut membuat gesaan yang sama kepada Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Itulah juga salah satu ketetapan yang dicapai dalam Forum Syariah dan Cabaran Semasa di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu.

Tetapi ada dua perkara yang sememangnya kita sedia maklum – menggubal undang-undang satu hal, menguatkuasakannya adalah satu hal yang lain pula.

Sekiranya maksud Artikel 11(4) itu dilihat bertujuan untuk melindungi keharmonian masyarakat berbilang kaum yang identitinya bertunjang daripada agama, apakah hasrat dan matlamatnya dapat tercapai sekiranya ia tidak dikuatkuasakan?

“Adalah malang jika peruntukan undang-undang yang sedia ada tidak dimanfaatkan dan digunakan sedangkan terdapat keperluan untuk demikian,” kata Yusri.

Dalam kenyataannya kepada media Isnin lepas, ABIM menyokong penuh arahan Perdana Menteri kepada empat negeri itu dan turut menggesa semua negeri yang sudah mempunyai undang-undang sekatan dan kawalan pengembangan agama bukan Islam itu untuk mengambil langkah-langkah penguatkuasaan dengan segera.

Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang tekun membuat kajian mengenai kebebasan beragama membuat pemerhatian bahawa setakat ini hanya Pahang saja yang pernah menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Kes itu dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2002.

Dalam kes PP lwn Krishnan a/l Muthu itu, mangsa – seorang wanita Melayu – telah berkenalan dan bercinta selama tujuh tahun dengan tertuduh yang sudah pun beristeri. Apabila mangsa tidak mempunyai tempat tinggal, beliau memohon kepada tertuduh dan isteri untuk tinggal bersama. Semasa tinggal dengan tertuduh dan isterinya itu, mangsa pernah diugut supaya keluar dari agama Islam dan memeluk agama Hindu. Mangsa juga pernah disuruh bersumpah dengan kuil Hindu dan dilarang mendirikan solat.

Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 kemudian disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman denda RM1,500 dan penjara 20 hari.

“Ini merupakan kes pertama yang didakwa di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam di Malaysia yang diputuskan di Mahkamah Majistret Temerloh,” tulisnya dalam satu makalah yang diterbitkan dalam buku Mahkamah Syariah di Malaysia: Pencapaian dan Cabaran (2005).

Selain menguatkuasakan undang-undang yang di sesetengah negeri sudah wujud sejak 25 tahun yang lalu, satu perkara lagi yang mesti diberikan perhatian ialah usaha-usaha mendidik orang ramai dan khususnya pihak berkuasa bagi meningkat kesedaran terhadap undang- undang berkenaan.

Bagi tujuan perbincangan ini, mari kita lihat secara ringkas Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor, 1988.

Kita mesti tahu bahawa ia bukan satu undang-undang syariah sebaliknya undang-undang sivil. Enakmen berkenaan memperuntukkan kesalahan jenayah di bawah undang-undang itu dibicarakan di hadapan majistret. Kesemua kesalahan dan kes di bawah enakmen berkenaan juga dianggap sebagai kesalahan dan kes boleh tangkap (seizable) yang mana seseorang yang disyaki melakukan kesalahan boleh ditangkap tanpa waran.

*Kesalahan
Kita juga mesti tahu perlakuan-perlakuan yang ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah mengikut undang-undang itu. Ada lima kategori kesalahan yang terkandung dalam enakmen Selangor yang mula berkuat kuasa pada 28 Jun 1988 itu.

Di bawah Seksyen 4, adalah satu kesalahan sekiranya seseorang memujuk, mempengaruhi atau menghasut seorang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam, menjadi pengikut agama bukan Islam atau meninggalkan atau membelakangi agama Islam.

Perbuatan-perbuatan itu tetap dianggap sebagai satu kesalahan walaupun orang Islam itu tidak terpengaruh dengan perlakuan tertuduh. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 5 pula memberikan perlindungan kepada umat Islam di bawah 18 tahun daripada diajar, atau terlibat dalam kegiatan mana-mana agama bukan Islam, baik yang bersifat keagamaan mahupun tidak. Hukumannya sama seperti hukuman di bawah Seksyen 4.

Seksyen 6 pula menjadikan satu kesalahan sekiranya seseorang itu mengakibatkan seorang yang beragama Islam terpaksa mendengar syarahan agama bukan Islam. Jika sabit kesalahan, hukumannya ialah penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 7 melarang penghantaran apa-apa penerbitan atau iklan mengenai agama bukan Islam yang tidak diminta oleh si penerima. Bagaimanapun, ia tetap menjadi kesalahan sekiranya permohonan oleh si penerima itu adalah disebabkan oleh perbuatan tertuduh. Jika sabit kesalahan, hukumannya ialah penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Ini bermakna kalau hal-hal yang kecil seperti menyebarkan risalah pun menjadi satu kesalahan, terlibat dalam proses penukaran agama seseorang yang beragama Islam tentulah lebih lagi, terang dan nyata salahnya.

Seksyen 8 pula melarang penyebaran apa-apa penerbitan mengenai agama bukan Islam secara sedar kepada orang Islam di tempat awam. Seksyen 9 seterusnya melarang seseorang daripada menggunakan perkataanperkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam.

Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil, Khalifah dan Sheikh serta lafaz-lafaz zikrullah termasuklah Insya-Allah dan Masya-Allah. Jika sabit kesalahan di bawah dua seksyen ini, seseorang itu boleh didenda tidak lebih RM1,000.
Apakah yang dikatakan “agama bukan Islam”?

Seksyen 2(1) enakmen berkenaan mengatakan bahawa agama bukan Islam bermaksud agama atau fahaman Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Yahudi atau apa-apa bentuk kepercayaan yang berasal daripada agama-agama tersebut.

Ini termasuklah apa-apa kredo, ideologi, falsafah atau amalan yang bersifat pemujaan semangat atau kuasa luar biasa. Ini termasuklah juga apa-apa kepercayaan yang membawa kepada pencapaian kesedaran kerohanian yang tidak diiktiraf oleh Islam.

Kalau kita meneliti takrifan itu dengan mendalam, ia juga membawa maksud apa-apa ajaran yang bertentangan dengan mazhab Ahli Sunah waljamaah yang diterima pakai sebagai kepercayaan dan amalan umat Islam di negara ini.

Ini bermakna bahawa enakmen yang digubal mengikut kuasa Artikel 11(4) itu boleh terpakai dalam pengembangan agama Islam itu sendiri, misalnya ajaran Syiah atau apa-apa ajaran yang disifatkan menyeleweng daripada mazhab yang empat.

Peguam Pawancheek Marican dalam satu tulisannya yang mengupas dengan panjang lebar mengenai Artikel 11(4) membuat pemerhatian bahawa takrifan itu mencakupi kepercayaan pagan dan animisme, serta apa-apa kepercayaan dan amalan yang tidak diakui oleh Islam.

“Ini tentunya merangkumi ajaran Ayah Pin, ketua pertubuhan haram yang dikenali sebagai Kerajaan Langit di Terengganu yang mendapat liputan meluas oleh akhbar dan majalah, dalam dan luar negara,” tulisnya.

Maknanya inilah juga undang-undang yang boleh dipakai bagi membendung pengembangan ajaran-ajaran sesat yang difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, dan bukannya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kita tentu masih ingat ekoran serangan ke atas perkampungan ‘Kerajaan Langit’ di Hulu Besut, Terengganu pada pertengahan Julai setahun yang lalu, banyak pihak termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mendesak kerajaan supaya menahan Ayah Pin di bawah ISA.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar pula kemudian membuat kenyataan bahawa Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad boleh ditahan di bawah ISA, tertakluk kepada arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Semua desakan itu kemudiannya reda apabila Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (ketika itu), Datuk Noh Omar menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan menggunakan ISA untuk menahan Ayah Pin. Walaupun beliau mengatakan peruntukan undang-undang sedia ada masih mampu untuk membendung kegiatan itu, Noh tidak bercakap mengenai enakmen yang digubal di bawah Artikel 11(4) sebaliknya Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa enakmen sekatan dan pengembangan agama bukan Islam itu hampir tidak diketahui kewujudannya bukan saja di kalangan orang awam, malah termasuk di kalangan pihak berkuasa. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa dalam semua perbincangan mengenai ajaran sesat di media selama ini, kita hampir tidak pernah mendengar soal enakmen sekatan dan pengembangan agama-agama bukan Islam itu dibangkitkan oleh manamana pihak.

Inilah masalah yang lebih besar kita hadapi sebenarnya – ada undang-undang tetapi tidak dilaksanakan. Kita tidak merujuk kepada enakmen sekatan dan pengembangan agama-agama bukan Islam sebaliknya cepat menyebut tentang ISA.

Dengan hormat, gesaan dan desakan supaya Ayah Pin dan mana-mana pengikut ajaran sesat ditahan di bawah ISA khususnya yang dilontarkan oleh pihak berkuasa dari satu sisi dibuat dengan tidak mengambil kira atau lebih tepat, tidak memahami kedudukan undang-undang yang telah diterima pakai dan diputuskan oleh mahkamah.

Dalam kes Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lwn Jamaludin @ Yeshua Jamaludin bin Othman, Mahkamah Agung (ketika itu) memutuskan bahawa ISA tidak boleh digunakan bagi membendung kegiatan penyebaran agama Kristian di kalangan orang Melayu. Menurut mahkamah, kebebasan seseorang individu untuk menganut dan mengamalkan agamanya yang dilindungi oleh Perlembagaan tidak boleh dihalang melalui ISA.

Dalam kes itu, Jamaludin yang telah keluar Islam dan berjaya mengkristiankan enam orang Melayu telah ditahan di bawah ISA dalam Operasi Lalang pada Oktober 1987. Mahkamah Tinggi kemudian membebaskan paderi Melayu itu atas alasan beliau mempunyai hak untuk menganut agamanya seperti yang dijamin melalui Artikel 11(1).

*Kebebasan
Bagaimanapun keputusan kes itu bukanlah bermakna kebebasan beragama di bawah Artikel 11(1) itu merupakan satu kebebasan yang mutlak. Kebebasan itu masih terikat kepada Artikel 11(5) iaitu hendaklah tidak berlawan dengan mana-mana undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak.

Kedudukan ini diakui oleh mahkamah dalam kes Ahmad Yani b. Ismail & anor v Ketua Polis Negara & 3 others, ketika mana ia menolak permohonan habeas corpus dua pengikut Jemaah Islamiah (JI) yang ditahan di bawah ISA. Dalam kes itu, Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusoff menegaskan, kuasa yang diberikan kepada Parlimen dan dewan-dewan undang negeri untuk menggubal undang-undang menyekat penyebaran agama bukan Islam melalui Artikel 11(4) itu jelas menunjukkan bahawa hak yang diberikan di bawah Artikel 11(1) itu bukanlah sesuatu yang mutlak.

Setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang mempersoalkan kewajaran arahan Perdana Menteri kepada empat negeri itu. Itulah yang sewajarnya kerana peruntukan dalam Perlembagaan itu telah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu ketika mereka menggubal Perlembagaan – dokumen yang menjadi peta dan kompas yang menentukan hala tuju perjalanan negara ini.

Ini bukanlah perkara yang boleh diungkit-ungkitkan lagi oleh kita sebagai generasi yang mewarisi hasrat dan cita-cita para leluhur yang tentunya telah mengambil kira kesannya, iaitu demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara yang berkekalan.
Kuasa yang diberikan oleh Artikel 11(4) itu juga adalah antara peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sebenarnya meletakkan Islam pada tempat yang sewajarnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara. Ini kedudukan yang juga tidak harus dipersoalkan.

Dalam hal ini, apa yang diputuskan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas (ketika itu) dalam kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan itu hanya meletakkan Islam setakat hal ehwal ibadat dan diberi tempat semasa majlis-majlis rasmi adalah sesuatu yang apabila sampai masanya nanti tidak dapat tidak tentu akan disemak semula.


Oleh: NOOR AZAM SHAIRI (27 Ogos 2006) Utusan Malaysia

Sunday, June 04, 2006

Zionis Dan Sandiwaranya

Dr Novandri Hasan Basri

Pihak Zionis Israel mahu kekejaman mereka dilihat sebagai ‘act of defence’ dan mereka memperalatkan Resolusi 1559 anjuran Bangsa-bangsa Bersatu untuk melancarkan serangan.

Resolusi 1559 diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2hb September 2004 yang di antara lain menetapkan ‘pengunduran tentera-tentera asing daripada bumi Lebanon’ dan ‘pelucutan serta perletakkan senjata semua militia di Lebanon’ Oleh kerana masih wujud militia Hizbullah dan militia yang lain, maka tindakan pihak Zionis dihalalkan.

Akibat daripada sandiwara Israel tersebut, dunia telah dikelirukan. Yang paling mengaibkan sekali, dua pemimpin negara kuasa terbesar dunia turut melaung-laungkan kronologi songsang ini. Yang terpampang di dalam suratkhabar harian di dunia hari ini ialah rakyat Lebanon dan Palestin yang mengundang bala.

Akibatnya, segala malapetaka yang menimpa rakyat Lebanon dan Palestin serta pencerobohan tentera Israel berlaku seolah-olah disebabkan oleh rakyat itu sendiri. Padahal jika kita perhatikan fakta-fakta sejarah, segala kesengsaraan rakyat Lebanon dan Palestin telah dimulakan oleh rejim Zionis itu sendiri.

Realitinya, kita sedang menantikan suatu jenis tindakan yang efektif, segera dan mungkin radikal untuk mengatasi masalah di Timur Tengah itu. Diantaranya:-

1. Suatu jenis mekanisme patut dibentuk untuk berada di tengah-tengah dua negara yang bertelingkah ini. Mekanisme ini akan dipertanggungjawab untuk memastikan tiada lagi pencerobohan dan pembunuhan di antara mereka. Hanya selepas itu, kedua-dua pihak patut bersua-muka dan berbincang untuk bersama-sama mengatasi isu mereka.

Contoh terbaik ialah Resolusi 425 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa penggunduran Israel dan juga pembentukan Pasukan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lebanon pada tahun 1978.


2. ‘Kuasa rakyat’ penduduk dunia perlu dilaung-laungkan di dalam satu suara yang bersatu padu. Protes dan tunjuk perasaan perlu melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, usia, agama dan bangsa.

Ada baiknya jika pemimpin-pemimpin politik di negara ini dapat mengenepikan perbezaan politik mereka buat seketika dan bersatu tenaga serta hati di dalam menggerakkan suara rakyat Malaysia.

Realitinya, kita sendiri yang terlebih dahulu perlu bersatu padu dan mantap sebelum kita melaung-laungkan kerjasama di antara negara-negara Islam dan seluruh dunia.

Tun Dr Mahathir pernah berkata ‘In any struggle, in any war, nothing is more important than concerted and co-ordinated action. A degree of discipline is all that is needed.’ Saya pasti bahawa rakyat sedang menanti-nantikan saat dan ketika berlakunya penyatuan suara serta tindakan di antara parti-parti politik di negara ini.

3. Mengimbangi kuasa Amerika Syarikat dengan mengurangkan pergantungan ekonomi dunia kepada negara tersebut. Kaedah unortodoks atau radikal yang pernah diusulkan ialah menggunakan matawang lain seperti ‘dinar OIC’ atau pun Euro sebagai alternatif kepada dollar Amerika terutamanya perdagangan minyak yang di monopoli oleh negara-negara di bawah OIC.

Seperkara lagi, kita, terutamanya generasi muda, perlu betul-betul faham mengenai kronologi krisis Palestin-Israel-Lebanon yang berlaku di Timur Tengah ini. Terdapat isu-isu yang berlaku turut disebabkan oleh perpecahan sesama umat Islam itu sendiri! Malah terdapat perancangan dan tindakan ketenteraan yang tidak memikirkan kesan buruknya terhadap bangsa dan generasi seterusnya di dalam jangka masa panjang.

Semasa Persidangan OIC tahun 2003, Tun Dr Mahathir pernah berkata, ‘There must be a way. And we can only find a way if we stop to think, to assess our weaknesses and our strengths, to plan, to strategise and then to counter-attack.’ Pandangan Tun Dr Mahathir amat benar. Berhenti atau berundur bukan bermakna umat di Lebanon mengaku kalah atau lemah tetapi untuk menuruti strategi Nabi Muhammad s.a.w. yang ‘berundur’ apabila dicemuh dan diugut semasa Islam hanya sebagai pihak minoriti, baru bertapak dan ‘lemah’.

Strategi baginda bukannya bererti pengecut tetapi menunjukkan kebijaksaan baginda yang berfikir untuk jangka masa panjang. Buktinya, penganut agama Islam bertambah ramai dan dapat disatu padukan di bawah kepimpinan baginda manakala kuasa dan kekuatan ekonomi serta ketenteraan umat Islam semakin disegani serta dihormati.

Kita tentu bertanya, krisis di Lebanon sedang berlaku dan pembunuhan rakyat tidak berdosa terus berleluasa, dimanakah logiknya strategi ‘berundur’?

Jawapannya terletak di bahu pemimpin-pemimpin Lebanon dan negara-negara Islam yang lain. Mereka perlu kembali kepada yang asas. Atmosfera politik umat Islam perlu teratur terlebih dahulu serta wujudnya tolak ansur sesama pemimpin. Pertelagahan serta perebutan kuasa sesama mereka perlu ditangani segera dan mereka perlu memfokusan usaha mereka ke arah menilai kelemahan-kelemahan yang sedia ada serta memperbaikinya.

Seperkara lagi, jika strategi ‘berundur’ dipersetujui dan digunapakai sejak ianya dicadangkan dulu, pertumpahan darah di Lebanon mungkin dapat dielakkan.

Friday, May 05, 2006

Pengglobalisasian : Impak Kepada Generasi Muda

Dr Novandri Hasan Basri

Kita percaya kepada globalisasi tetapi kita menentang sekeras-kerasnya kepada konsep keseragaman hegemoni dan kepatuhan membuta tuli. Kita percaya bahawa kekayaan kebendaan cukup untuk dinikmati oleh semua tetapi kita juga menentang penguasaan wang dalam semua hal dan di seluruh pelosok dunia.

Dalam bukunya yang bertajuk A New Deal For Asia , Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatakan bahawa fajar Era Maklumat kini sudah menyingsing dan dalam dunia tanpa sempadan yang datang bersama, tidak ada negara yang boleh mengasingkan dirinya. Katanya lagi, cabaran untuk belia abad ke 21 ialah untuk menyesuaikan diri terhadap Abad Dunia sambil mengekalkan sesetengah daripada perbezaan bangsa dan kepercayaan yang akan mengekalkan dunia ini suatu tempat yang kekal menarik.

Persoalannya, apakah kita generasi muda, benar-benar faham mengenai bentuk dan dinamik abad ke 21 serta era dunia tanpa sempadan ini? Apakah kita mampu mengatasi cabaran ini?

Secara ringkas, penglobalisasian adalah arena ‘survival of the fittest’. Hanya syarikat, bangsa atau pun negara yang terbaik, dapat merasai kenikmatan dan kesenangan yang bakal diterima. Hanya bangsa yang benar-benar bersedia yang akan dapat menyambung kerelevanan, menentu hala tuju dan maruah mereka sendiri di dalam dunia ini.

Kita, generasi muda, perlu sedar bahawa globalisasi bukannya satu mimpi tetapi ianya satu realiti dan sedang giat diaktifkan oleh pihak-pihak yang mampu untuk bersaing di dalam pasaran dan sempadan yang terbuka, hari ini dan di masa hadapan!

Kita mesti sedar bahawa generasi kita inilah yang bakal berdepan dan mengharungi era ini. Mahu tak mahu, kita terpaksa menerima kedatangannya! Tambahan pula, cetusan idea, daya kreativiti dan populasi manusia semakin bertambah menyebabkan dunia ini di rasakan semakin kecil.

Sebenarnya, kita kurang mengenali dan membau agenda-agenda tersembunyi pengglobalisasian ini. Syukur Alhamdulillah kerana pemimpin-pemimpin kita berjaya memangkin dan membantu meningkatkan pengertian kita mengenainya, sehingga mampu difahami oleh kebanyakan rakyat biasa di negara ini.

Sedihnya, jika konsep penglobalisasian tidak diubah, bangsa lain di dunia ini akan merempat dan dipinggirkan. Maka akan berlaku diskripensi kemewahan dan kemiskinan yang lebih menyeluruh, global dan bukan sahaja tertakluk di dalam sesebuah negara itu sahaja!

Dalam konteks bangsa Melayu pula, kemiskinan harta benda, pelajaran atau pun ekonomi bangsa ini tidak akan lagi dibandingkan dengan kaum-kaum majmuk di Malaysia ini sahaja tetapi dengan bangsa-bangsa gergasi lain di seluruh dunia ini! Jika bangsa Melayu, yang di ketahui lemah dan rendah prestasinya berbanding dengan kaum-kaum lain di tanah air sendiri,

. Di manakah letaknya bangsa Melayu di persada dunia ?
. Daripada beratus-ratus bangsa di dunia ini, apakah bangsa Melayu dapat duduk selesa dan kagum dengan kemajuan diri sendiri?
. Apakah bangsa Melayu boleh bertahan daripada dipijak oleh kaki-kaki bangsa gergasi di dunia ini?

Pastinya, gerun rasa hati apabila kita mula membuat perbandingan seperti di atas. Tetapi perlu diingat bahawa kita bernasib baik kerana kita masih diberi peluang untuk melengkapkan diri untuk menghadapi era tanpa sempadan kelak. Kita masih mempunyai masa tapi kita mesti akui bahawa masa bukannya menyebelahi kita. Ini adalah kerana, sebenarnya kita terikat dengan satu rangka masa yang ditetapkan oleh kuasa-kuasa besar di dunia.

Maksudnya, kita tidak mampu untuk mengikut rentak (pace) kita sendiri. Kita tidak mampu untuk barjalan dengan lemah longlai seperti hari ini tetapi rentak (pace) kemajuan ekonomi, pelajaran dan perpaduan bangsa dan negara perlu lebih bersemangat dan disegerakan.

Realitinya, bahang globalisasi telah mulai dirasakan hari ini. Generasi yang bakal mengharungi era ini pula adalah kita sendiri, generasi muda dan generasi pelajar-pelajar pada hari ini!

Semestinya kita telah mula melengkapkan diri dengan belajar dan berusaha memiliki budaya mampu saing global, di samping mengukuhkan pegangan agama, tradisi dan budaya nasional. Bukannya dengan menyempitkan pemikiran kita kepada sesuatu ideologi yang tidak praktikal dan tidak berpijak di bumi yang nyata, atau pun dengan cara mudah yang lain iaitu dengan menyalahkan orang lain dan generasi sebelum kita!

Yang nyatanya, bangsa dan negara ini mesti bekerja keras, mempelbagai dan meningkatkan segala kemahiran hidup untuk bersaing kelak.

Generasi muda mesti benar-benar sedar!

Saturday, April 15, 2006

Buli & Masaalah Disiplin Pelajar : Perspektif Ilmiah

Dr Novandri Hasan Basri

· Kenapakah berlakunya kepincangan pemikiran pelajar-pelajar ini?
· Dimanakah salahnya pendekatan kita selama ini ?
· Tidak adakah suatu mekanisme yang wujud untuk menyalurkan rangsangan emosi negatif pelajar-pelajar ini agar dapat dikurangkan atau kepada sesuatu yang lebih berfaedah dan masuk akal ?
· Apakah kerana kes-kes yang berlaku ini isolated dan hanya melibatkan segelintir pelajar, maka segala usaha yang dijalankan untuk membenterasnya masih lagi di dalam peringkat perancangan demi perancangan ?
· Sampai bilakah berlakunya segala masalah disiplin pelajar-pelajar ini ?

Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Pattterson (1982; Patterson et al 1989) yang menerangkan bahawa
anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal di dalam keluarga yang dianggapkan sebagai breeding grounds kepada tingkah laku anti-sosial dan hostile. Keluarga ini selalunya beratmosferakan coercive home environment di mana anak-anak berinteraksi dengan ibubapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik anti-sosial yang lain.

Tekanan yang berterusan ini akan mengakibatkan anak-anak ini, secara tidak langsung, terpaksa mempelajari teknik-teknik tersebut untuk terus survive di dalam keluarga mereka. Anak-anak akan mulai berani menentang ibubapa dan keluarga sendiri untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh mereka.. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti.

Rentetan permasalahan anak-anak ini bertambah signifikan apabila di bangku sekolah. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan juga lemah di dalam pelajaran di kalangan anak-anak ini. Akibatnya anak-anak ini sering dihukum dan gagal di dalam peperiksaan yang seterusnya akan menyebabkan ibubapa berasa malu, bertambah berang ataupun terus tawar hati. Sikap ini pula akan menyebabkan mereka tidak lagi berminat untuk mengawal atau mengambil kisah hal ehwal dan segala aktiviti anak-anak mereka.

Jadi persoalannya sekarang ialah, jika ibubapa bertanggungjawab mencorakkan perangai dan tingkah laku anak-anak, kenapakah masalah disiplin pelajar-pelajar tertumpu di suasana dan persekitaran sekolah? Ini adalah kerana, jika diamati dengan teliti, subjek-subjek yang terlibat, masa contact, tindakan dan tindakbalas subjek itu dirangsang oleh sesuatu atau situasi tertentu di sekolah itu.


Peristiwa-peristiwa seperti buli, peras ugut, ponteng sekolah ataupun gangsterisme sebenarnya mempunyai sumber provokasi (provocation) yang bermula atau tertumpu di masa sekolah itu dan bukannya di rumah pelajar-pelajar.


Peranan Sekolah

Feldman & Weinberger (1994) di dalam buku di atas menerangkan bahawa penampilan sikap negatif yang persisten oleh pelajar-pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah ini, akan menyebabkan beberapa respon negatif, tanpa disedari, oleh masyarakat sekolah.

· Pelajar-pelajar lain yang lebih pandai akan menjauhi diri daripada mereka.

· Pelajar-pelajar ini juga akan kerap dikritik dan tidak diambil berat oleh guru-guru.

· Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di dalam kelompok pelajar-pelajar yang sama taraf akademiknya dan secara relatifnya juga bermasalah dan mempunyai sikap anti-sosial.


Penolakkan masyarakat sekolah tersebut akan menyebabkan skop pergaulan mereka terbatas kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam matapelajaran dan bermasalah sama seperti mereka. Sesetengah daripada mereka membentuk geng-geng ataupun deviant cliques.


Kumpulan ini akan menjerumuskan mereka kepada peningkatan sikap-sikap agresif, anti-sosial, tidak mementingkan pelajaran dan terjebak di dalam aktiviti-aktiviti yang berbau jenayah (Thomas Dishion & Associates, 1991).

Kajian tersebut bertepatan dengan senario kita hari ini. Biasanya unsur-unsur negatif yang besar magnitudnya seperti buli, peras ugut, hooliganisme, gangsterisme dan membakar sekolah melibatkan penyertaan lebih daripada satu pelajar.

Terdapat juga golongan pelajar yang memencilkan diri, hilang pegangan role model mereka iaitu ibubapa dan guru dan sebagainya. Sikap destruktif ini akan menyebabkan mereka sangat senang terpengaruh dengan anasir-anasir kurang sihat di kalangan masyarakat. Mereka yang selama ini hilang tempat mengadu dan kasih sayang, merasakan bahawa dengan mengikuti anasir-anasir ini, mereka akan dapat lari ataupun melupakan segala masalah mereka.

Kitaran Hidup

Jika kita amati dengan teliti, terdapat satu kitaran lengkap tindakan dan tindakbalas yang terjadi di antara pelajar-pelajar bermasalah ini dan orang dewasa iaitu ibubapa dan guru. Kitaran ini telah diutarakan oleh. Doherty & Mynatt di dalam buku mereka yang bertajuk Understanding Human Behaviour (1998). Ianya di istilahkan sebagai Positive Feedback Loop.


Istilah ini menerangkan fenomena ‘rangsang - merangsang’ dan ‘ganda-mengganda’ yang sering bergolak di antara jiwa pelajar bermasalah ini dan persekitaran sosial mereka.

Jika di rumah pelajar bermasalah ini, ahli-ahli keluarga mempunyai masalah dengan sikap masing-masing. Apabila anak-anak ini sering melakukan kesalahan ataupun gagal di dalam peperiksaan, ibubapa akan menjadi lebih malu, lebih marah ataupun lebih tawar hati. Ini akan mengakibatkan tindakbalas anak-anak terhadap ibubapa akan digandakan juga.

Begitulah seterusnya fenomena ‘ganda-mengganda’ dan ‘rangsang-merangsang’ yang persisten di antara anak-anak dan ibubapa, Jika fenomena ini kekal dan berterusan, maka akan terjadilah peristiwa-peristiwa seperti lari dari rumah, berpeleseran, bohsia, bergaduh dan sebagainya.

Begitu juga yang terjadi di sekolah, di mana penolakkan masyarakat sekolah akan menggandakan sikap hostile dan benci mereka terhadap masyarakat sekolah. Penentangan berlebihan pelajar-pelajar ini akan menyebabkan guru-guru terpaksa melaksanakan hukuman yang lebih berat ataupun mengalah dengan membiarkan sahaja mereka ini.

Begitulah seterusnya senario ‘ganda-mengganda’ dan ‘rangsang-merangsang’ yang persisten di antara pelajar-pelajar dan masyarakat sekolah . Jika senario ini kekal dan berterusan, akan menyusullah kejadian-kejadian tidak sihat seperti bakar sekolah, peras ugut dan sebagainya.

Dulu Lain Sekarang Lain

Di dalam perbincangan isu masalah disiplin pelajar ini, saya rasa elok juga kita membincangkan perbezaan ketara di antara zaman sekarang dengan zaman bapa dan datuk kita dulu.

·
Dahulu masyarakat memandang tinggi guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru.

·
Dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi.. Ibubapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang. Mereka berjaya bertindak sebagai ‘penyerap’ kepada permasalahan anak-anak mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama, sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat penting..

Justeru itu, jika dibandingkan dahulu dengan sekarang, banyak yang berubah. Di zaman sekarang, berlaku perubahan dari segi keperluan fizikal dan mental masyarakat.

· Sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang
lebih tinggi. Orang dewasa ini telahpun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur formal ilmu sahaja. Sebab itulah guru-guru dan pihak sekolah mempunyai masalah kes saman dan kurangnya penglibatan ibubapa di sekolah.


· Institusi sekolah hari ini juga dirasakan tidak istimewa dan eksklusif lagi. Sebagai contoh, sekarang ini telah wujud kelas-kelas tuisyen yang mempunyai tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai masa untuk memberikan penumpuan yang bersifat individual, berkesan dan berjaya membantu pelajar-pelajar di dalam peperiksaan mereka. Perkembangan yang telah bertapak lama ini menunjukkan seolah-olah guru-guru tidak berupaya lagi untuk mengajar dengan berkesan di sekolah


· Sekarang, ibubapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengetahui hal ehwal emosi dan pelajaran anak-anak mereka. Ataupun, mungkinkah ibubapa berpura-pura tidak ada masa untuk mengetahui pelajaran anak-anak mereka kerana ego dan takut dicop kurang pandai apabila ditanya oleh mereka? Ataupun, mungkinkah ibubapa tidak mempunyai tahap kesabaran mengajar seperti ahli-ahli profesional yang bergelar guru ini?


Penyelesaian

Patterson (1982; Patterson et. al 1989) mengatakan bahawa sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif ini tidak mungkin boleh dipulihkan jika mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.


Malah jika kepincangan ini berterusan sehingga ke peringkat dewasa, segala kaedah membetulkan sikap pelajar ketika itu terasa mustahil dilaksanakan kerana ianya juga perlu membetulkan mind sets masyarakat sekeliling yang terlalu ramai dan bebas. Ketika itu para pelajar akan berdepan dengan pelbagai jenis dan karakter masyarakat yang selama ini telah mendukung persepsi kukuh tetapi serong terhadap mereka

Perlu ditekankan juga, bahawa masa contact sosial pelajar-pelajar di dalam sekolah adalah yang kedua lamanya selepas di rumah. Masa contact ini dan kajian-kajian di atas jelas menunjukkan betapa mustahaknya peranan sekolah.


Peranan institusi sekolah ini adalah setaraf dengan peranan institusi kekeluargaan di dalam membentuk mental dan rohani pelajar-pelajar. Malah atmosfera di dalam sekolah akan menentukan kesudahan corak jiwa pelajar di peringkat remaja ini .

Disebabkan itulah segala usaha perlu disegerakan di masa pelajar-pelajar berada di institusi yang kecil dan terkawal ini iaitu di sekolah. Kita perlukan suatu kaedah pencegahan untuk memastikan nilai-nilai negatif ini dapat dibendung daripada terlepas dari kawalan kita. Di samping itu, perlu diwujudkan satu tindakan susulan untuk menghilang atau mengurangkan masalah sebenar pelajar-pelajar.

Justeru itu, pihak-pihak berkuasa perlu lebih proaktif dan bersegera di dalam menangani masalah ini. Sistem-sistem pendidikan sekarang mestilah dikemaskinikan agar lebih fleksibel dan sesuai dengan orde masyarakat hari ini dan masa hadapan.


Hukuman

Buku Developmental Psychology: Childhood & Adolescence (4th edition, 1996) telah menggariskan beberapa cara pencegahan untuk permasalahan di atas. Di antaranya ialah:-

·
Penumpuan lebih dan membantu pembelajaran pelajar bermasalah ini agar setanding dengan pelajar-pelajar lain di sekolah. Bukannya dengan mengkritik atau menyisihkan mereka.

· Mengadakan suatu stimulus yang dapat menimbulkan rasa minat dan berguna mereka di sekolah.

· Mendekati dan memahami mereka secara ikhlas dan mendalam. Guru-guru keseluruhannya hendaklah juga mengajar mereka sikap-sikap yang baik agar mereka dapat berinteraksi kembali dengan pelajar-pelajar keseluruhannya. Bukannya dengan membebankan masalah pelajar-pelajar kepada guru disiplin atau unit kaunseling sahaja.

· Membantu ibubapa mempelajari teknik pengurusan anak yang lebih efektif.

Kaedah di atas amat perlu diutamakan di dalam pengubahsuaian sistem institusi sekolah. Biarpun hasil perlaksanaannya mengambil masa yang lama tetapi ianya lebih kekal dan berjaya mengurangkan respon negatif dan masalah sebenar pelajar ini (Mynatt & Doherty, 1998).

·
Pendekatan sistem hukuman (punishment) sekarang, mesti diubah dan dianjakkan kepada memfokuskan usaha-usaha murni bagi mengisi kekosongan jiwa pelajar-pelajar malang ini. Kaedah hukuman atau punishment yang dipraktikkan selama ini seperti merotan, gantung sekolah dan lain-lain sebenarnya akan menghasilkan respon yang dikehendaki dengan cepat tetapi ianya bersifat sementara dan kerap tidak berjaya menyelesaikan masalah sebenar pelajar ini. Sayangnya, walaupun kaedah ini sudah tidak sesuai lagi sekarang, ianya terus menjadi pilihan utama. Ia adalah disebabkan oleh desakan sistem yang inginkan respon yang cepat dan juga oleh persepsi fixed ideas masyarakat sendiri.

· Guru-guru pula perlu lebih tangkas mengesan perubahan sikap pelajar, mengenalpasti masalah, prihatian dan membantu menyelesaikan masalah pelajar mereka. Guru-guru perlu mengenengahkan sikap-sikap lain yang ada di dalam peribadi pelajar-pelajar ini. Pelajar-pelajar bermasalah ini pasti mempunyai sikap-sikap murni yang boleh diterima umum tetapi selama ini terpendam akibat dibayangi oleh sikap anti-sosial yang terlalu dominan di dalam personaliti mereka ataupun yang terbantut disebabkan persepsi negatif masyarakat ke atas mereka. Sikap-sikap murni ini perlu dikembangkan agar ianya dapat menguasai kembali jiwa mereka.

Pendekatan Lain

·
Pengasingan pelajar-pelajar di dalam kelas-kelas yang berdasarkan kepada kepandaian dan merit kini perlu dikaji semula. Kelas sepatutnya mempunyai pelajar-pelajar yang dipilih secara rawak. Dengan cara ini akan berkuranglah terbentuknya geng-geng jahat seperti sekarang ini. Dalam masa yang sama guru-guru akan dapat mengajar dengan lebih saksama dan semangat sihat seperti berlumba-lumba untuk mencari ilmu akan tercapai di antara pelajar-pelajar..

·
Saya rasa perlu juga dislotkan masa ‘perjumpaan dengan guru kelas’ di dalam jadual waktu sekolah sekarang.. Masa ini bukan untuk mengajar dan belajar tetapi satu slot khas untuk pelajar-pelajar menanyakan masalah mereka agar dapat dikongsi bersama guru-guru. Cara ini amat baik kerana ianya akan menimbulkan rasa minat dan bergantung pelajar-pelajar kepada guru . Bila masalah disiplin pelajar terjadi, guru-guru diberikan keistimewaan untuk berjumpa dan berbincang dengan ibubapa pelajar tersebut, di slot masa ‘perjumpaan dengan guru kelas’ tersebut.

·
Guru-guru juga perlu diringankan tugas mereka. Saya rasa perlu ditubuhkan satu organisasi profesional lain yang bertanggungjawab untuk menyediakan mode-mode rangka pelajaran yang canggih dan menarik, menyediakan dan memeriksa kertas peperiksaan . Dengan cara ini, teknik pengajaran guru-guru akan menjadi tersusun, menarik dan dikagumi oleh pelajar-pelajar dan ibubapa. Di samping itu, guru-guru akan mempunyai lebih masa bersama-sama pelajar untuk mengulangkaji pelajaran .

·
Sekolah-sekolah perlu berkonsepkan mini universiti. Peperiksaan di sekolah perlu meniru sistem Cummulative Grading Points Average (CGPA) di mana setiap markah yang diperolehi daripada setiap ujian, projek, persatuan dan peperiksaan akan menyumbang kepada markah akhir pelajar tersebut. Sistem ini akan memaksa pelajar-pelajar lebih aktif di dalam aktiviti sekolah dan juga belajar dengan lebih konsisten.

·
Jika diamati dengan teliti, guru-guru kelas yang juga mengajar matapelajaran tertentu, terpaksa ‘berpindah-randah’ di antara kelas-kelas untuk mengajar subjek tersebut. Saya rasa mungkin telah tiba masanya untuk kita menterbalikkan senario ini. Jadi konsep mencari ilmu yang ditekankan selama ini bukan setakat hadir di sekolah sahaja, tetapi juga berusaha mencari guru-guru mereka. Kelas-kelas yang dahulunya diberikan nama seperti 3 Biru, 3 Hijau dan sebagainya, perlu dispesifikkan kepada setiap mata pelajaran, contohnya Makmal Bahasa Malaysia, Makmal Matematik dan sebagainya. Guru-guru yang mengajar subjek-subjek tersebut akan diberi penghormatan untuk menggunakan kelas tersebut sebagai bilik utama mereka dan bukannya meja-meja kecil seperti di bilik guru sekarang. Bilik guru ini nanti boleh digunakan sebagai bilik rehat eksklusif untuk mereka yang lengkap dengan peralatan media dan komputer bagi meningkatkan professionalisme dan motivasi mereka.

· Di masa yang sama, perlu diadakan badan profesional yang lain yang dapat memberikan kaunseling dan berupaya menyelesaikan masalah keluarga pelajar-pelajar tersebut. Ibubapa akan diberi tunjuk ajar dan semangat baru untuk memimpin keluarga mereka dengan lebih efektif.

Kesimpulan

Saya percaya yang kita tidak dapat menyalahkan satu pihak sahaja di dalam hal ini tetapi saya pasti kesalahannya adalah terletak di bahu semua orang dewasa yang selama ini leka, tidak prihatin dan sensitif. Orang dewasa bersalah kerana gagal memanipulasikan sistem keluarga, pelajaran, sekolah dan masyarakat untuk kebaikan pelajar-pelajar ini. Akibatnya, pelajar-pelajar ini yang terpaksa menanggung kekecewaan dan kesengsaraan sendirian, semata-mata angkara kesilapan orang dewasa itu sendiri!

Kita mesti sedar bahawa negara kita masih di dalam tahap negara membangun lagi. Kita masih lagi berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan dan kerelevanan negara kita di dunia ini. Untuk itu, penggemblengan usaha diperlukan dari setiap rakyat Malaysia. Kita tidak mampu untuk membazirkan tenaga rakyat sendiri walaupun hanya satu, biarpun ianya seorang manusia yang bergelar pelajar bermasalah.

Tuesday, February 07, 2006

Mencari Tradisi Baru Pemikiran Pelajar Melayu

Dr Novandri Hasan Basri

Di antara sebab pelajar-pelajar Melayu kurang terserlah di dalam pelajaran ialah segan bertanya, kurang motivasi, pengurusan masa yang lemah, malas dan senang mengalah. Malah kelemahan pelajar-pelajar Melayu di dalam memahami bahasa Inggeris juga merupakan satu faktor penting, memandangkan banyak buku ilmiah yang berbahasa Inggeris.

Faktor lemah berbahasa Inggeris juga merupakan salah satu punca mereka gagal mendapatkan pekerjaan dan mengganggur.

Persoalannya sekarang ialah, apakah kita akan membiarkan sahaja kepincangan ini diulangi pada setiap pelajar Melayu?

Realitinya, pelajar-pelajar Melayu tidak boleh dibiarkan bersendirian lagi untuk mencuba-cuba mencari formula sendiri di dalam menghadapi pelajaran mereka. Formula sendiri yang selama ini dipakai oleh pelajar-pelajar Melayu ternyata kurang efektif. Kaedah untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar Melayu bukanlah dengan mengubah rangka sistem pelajaran secara mendadak dan menyeluruh.

Ini adalah kerana, jika benar terdapat kepincangan di dalam rangka tersebut, ianya tentu menyebabkan penghasilan pelajar-pelajar tidak berkualiti yang sama banyak dari semua kaum, Melayu dan bukan Melayu. Tetapi tidak dan terbukti bahawa lebih ramai pelajar Melayu yang terlibat.

Kaedahnya perlu lebih berani, radikal dan mempunyai elemen desakan yang berterusan. Ketika kegawatan ekonomi baru-baru ini, kita diperkenalkan dengan satu kaedah ‘unorthodox’ iaitu kawalan matawang.


Di dalam bukunya A New Deal For Asia di bawah tajuk ‘Langkah Ekstrim untuk Keadaan Ekstrim’, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerangkan pendekatan ekstrim iaitu kawalan matawang negara yang ternyata telah berjaya menyerap impak ledakan kemelesatan ekonomi tahun 1998.

Dr Mahathir telah mengenengahkan hujah Dr Paul Krugman , seorang tokoh ekonomi terkenal yang mengatakan bahawa “langkah-langkah ekstrim mungkin diperlukan untuk keadaan-keadaan ekstrim”.

Jika kita teliti, hujah Dr Paul Krugman boleh di kaitkan dan di guna pakai di dalam membantu menyelelesaikan masalah kepincangan pelajar-pelajar Melayu. Formulanya mestilah lain dari pada lain atau pun mungkin ‘ekstrim’. Walau pun hujah beliau itu menerangkan satu konsep ekonomi, tetapi perlaksanaanya dan hasil daripada keradikalan yang dibuktikan oleh negara Malaysia di dalam menangani kemelesetan ekonomi tahun 1998, membuatkan kita bertanya,


· apakah sudah tiba masanya, masalah pelajar-pelajar Melayu perlu ditangani dengan satu formula yang ‘radikal’ dan ‘ekstrim’ juga? Atau pun,
· apakah kita akan membiarkan sahaja pelajar-pelajar Melayu terus terhumbang-hambing di dalam pelajaran mereka dengan teknik pembelajaran yang orthodoks dan lumrah?


Perlaksanaan ‘ekstrim’ ini adalah dengan ‘menanam’ satu jenis program ke dalam pelajar-pelajar Melayu atau pun mengubal suatu undang-undang agar mereka semua dapat fokus, rajin, proaktif dan berkemampuan untuk belajar dengan cara bijak.

Perlaksanaan radikal ini adalah memberikan tekanan yang bersifat positif dan memprogramkan pelajar-pelajar Melayu agar sentiasa fokus, rajin, proaktif dan belajar dengan cara betul. Maksud ‘memprogamkan’ ialah

· menyediakan teknik pembelajaran yang praktikal lagi sistematik, dimana teknik ini mesti diguna pakai oleh setiap pelajar Melayu
· mengawal masa belajar mereka
· memberikan nasihat secara berterusan.

Dalam erti kata yang lain, pelajar-pelajar Melayu perlu ditekan untuk berjaya secara total dan menyeluruh, selaras dengan definasi anjakan paradigma itu sendiri! Pelajar-pelajar Melayu mungkin merungut kerana kurang ‘bebas’ tetapi jika ianya mampu menghadirkan elemen desakan, rajin dan pemfokusan yang berterusan, mereka juga yang akan mendapat nikmatnya.

Realitinya, ketiadaan faktor-faktor intrinsik inilah yang membantutkan pelajar-pelajar Melayu selama ini. Maka tekanan positif seperti diterangkan di atas perlu dipergiatkan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Realitinya, jika kita ambil remeh pelajaran dan pencapaian akademik, kita mungkin akan susah nanti. Tetapi jika kita berjaya di dalam pelajaran, perjalanan hidup kita akan menjadi lebih mudah, insyaallah. Dalam masa yang sama, diharapkan pertubuhan-pertubuhan pelajar Melayu akan terus peka di dalam tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pemimpin pelajar.

Mereka bukan sahaja diberi tanggungjawab untuk memimpin tetapi di tuntut untuk menjadi contoh terbaik kepada pelajar-pelajar lain. Pencapaian akademik mereka perlulah yang terbaik juga.

Pokoknya, bimbinglah pelajar-pelajar ini secara berterusan. Kawal gerak geri mereka dan tiupkanlah semangat tidak mengaku kalah dan ingin berjaya ke dalam benak fikiran mereka. Tiada gunanya kita begitu lantang untuk mempertahankan hak kita sedangkan kita sendiri tidak insaf dan tidak berusaha secara berterusan untuk memastikan anak-anak muda kita kuat dan gigih

Kesimpulannya, tiada guna kita mengkaji dan terus mengkaji untuk mencari faktor sebenar kepada kelemahan pelajar-pelajar muda kita. Realitinya, semua jawapan jelas terpampang di depan mata kita. Apa yang diperlukan sekarang ialah melaksanakan segala perancangan biar radikal atau unorthordoks sekali pun, asalkan generasi muda kita berjaya dan dipandang tinggi oleh rakan-rakan mereka yang lain!



Monday, January 02, 2006

Falsafah Bangsa Cina Perlu Dikongsi Bersama

Dr Novandri Hasan Basri

Perhimpunan Agung MCA ke-52 baru-baru ini telah mengundang beberapa interpretasi serta analisis politik yang menarik untuk kita ketahui. Pertama sekali, isu rasuah politik tidak ada kedengaran, baik daripada pihak yang menang mahu pun yang kalah. Senario ini sangat menarik jika kita membuat perbandingan dengan parti UMNO yang telah selesai menjalankan pemilihan pemimpin baru pada tahun 2004.

Apakah formula parti MCA sehinggakan rasuah politik begitu janggal dan tidak mencemari Perhimpunan Agung MCA? Apakah mekanisme atau sistem pencalonan MCA ‘kalis rasuah politik’?

Keberkesanan sistem pemilihan pemimpin tertinggi di dalam MCA untuk menangani rasuah politik perlu diselidiki oleh parti UMNO memandangkan parti UMNO masih terus dibelenggu dengan gejala buruk itu. Realitinya, tidak banyak yang dapat kita bezakan di antara sistem pemilihan pemimpin MCA dan UMNO. Kedua-dua parti mengalami proses liberalisme dan demokrasi yang sama intipatinya.

Kita tentu tahu bahawa sejarah telah memahatkan beberapa peristiwa hitam akibat pemilihan kepimpinan tertinggi di dalam UMNO. Perpecahan di dalam parti terjadi apabila berlakunya pertandingan di peringkat Presiden UMNO pada tahun 1987. Akibatnya, UMNO telah diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

Pembatalan pendaftaran parti UMNO oleh Pendaftar Pertubuhan merupakan satu tragedi pilu yang mesti diingatkan selalu kepada seluruh kaum Melayu terutamanya generasi muda hari ini. Realitinya, survival kaum Melayu di negara ini hanya bergantung kepada kekuatan politik kita.

Dalam masa yang sama, beberapa enakmen di dalam perlembangan UMNO terpaksa digubal untuk memantau perubahan atmosfera politik ahli-ahli UMNO. Walau pun begitu, rasuah politik tetap berlaku dan yang paling merunsingkan kita ialah gejala ini telah lama berlaku di dalam UMNO sehinggakan beberapa persoalan penting masih tidak terjawab iaitu,
· Apakah mungkin terdapat pemimpin-pemimpin yang berkhidmat hari ini pernah menggunapakai rasuah politik di sepanjang karier mereka?
· Di manakah letaknya kredibiliti mereka untuk melaung-laungkan anti-rasuah politik padahal mereka pernah melakukannya, suatu ketika dulu?

Kerunsingan kita mengenai rasuah politik menimbulkan satu pertanyaan, apakah ahli-ahli parti MCA sebenarnya telah mencapai tahap politik matang di mana pemilihan kepimpinan hanya bersandarkan kepada track record, nilai dan merit prestasi seseorang pemimpin dan bukannya berapa banyak wang yang mereka berikan kepada perwakilan?

Walau pun begitu, Perhimpunan Agung MCA turut mengundang satu lagi perkara asas iaitu apakah kesemua mesej, saranan, pandangan, nasihat, ketidakpuashatian atau pun peringatan yang diluahkan oleh wakil-wakil yang berucap semasa Perhimpunan tersebut telah disampaikan kepada bangsa-bangsa lain di negara ini?

Ketika media-media cetak bahasa Cina rancak menyiarkan teks-teks ucapan, komentar wakil-wakil yang berucap serta memberikan penganalisaan politik yang pastinya memberi pendedahan yang luas kepada pembaca-pembaca berbangsa Cina, bangsa-bangsa lain hanya mendapat sedikit sahaja penerangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan melalui media-media cetak bahasa ibunda masing-masing.

Jika kita perhatikan, walau pun Perhimpunan Agung MCA dijalankan secara terbuka tetapi sebenarnya ianya ‘tertutup’ kerana hanya mereka yang memahami bahasa Mandarin ataupun Kantonis sahaja yang dapat mengikuti perbahasan di dalam Perhimpunan tersebut. Akibatnya, kita, bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain tidak mengerti pemikiran ahli-ahli MCA.

Penulis bukan curiga kepada ahli-ahli MCA tetapi adalah merugikan jika kita tidak dapat berkongsi ilmu, idea dan falsafah pemikiran bangsa Cina di negara ini di mana kita sendiri akui berjaya di dalam bidang ekonomi dan pendidikan mereka. Malah, ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang sentiasa menasihati kita, bangsa Melayu, supaya mempelajari kejayaan bangsa Cina.

Pastinya, ahli-ahli MCA telah membincangkan aspek-aspek ekonomi dan pendidikan secara mendalam tetapi kita, bangsa Melayu, hanya mendapat ringkasannya sahaja di dalam media-media cetak bahasa kita. Kita pun hanya mendapat sedikit maklumbalas tentang perbincangan hangat mengenai resolusi Wanita dan Pemuda MCA padahal ianya turut melibatkan dasar affirmative action, kontrak sosial dan kepentingan bangsa-bangsa lain di negara ini.

Di kesempatan ini penulis mencadangkan kepada media-media cetak bahasa Melayu supaya mengadakan Kolum Analisis yang menyiarkan intipati media-media cetak bahasa lain agar kita sama-sama memahami pemikiran, hala tuju dan strategi bangsa-bangsa lain di Malaysia ini.

Dengan cara ini, kita akan dapat merapatkan serta menjalinkan perhubungan ilmu dan falsafah yang lebih berkesan dengan bangsa-bangsa lain. Yang pastinya mereka begitu senang memahami isu-isu bangsa Melayu kerana mereka faham bahasa kita!

Sunday, January 01, 2006

Utamakan Bangsa Bukannya Parti

Dr Novandri Hasan Basri

MANUSIA merancang, Tuhan menentukan. Tatkala bangsa Melayu begitu optimis yang tarikh 19 Februari 2001 akan tercatat sebagai satu lagi tarikh keramat untuk orang Melayu, sekali lagi kita dikecewakan. Tetapi entah kenapa, perasaan kecewa kali ini tidak disertai dengan perasaan marah atau kesal yang amat sangat.

Mungkin ramai di antara kita, bangsa Melayu, yang telah arif dan dapat membaca gerak-geri parti-parti politik Melayu sehinggakan tindakan yang dilakukan oleh Pas ini dapat di agak dengan begitu mudah sekali.

Jadi apabila kenyataan diumumkan oleh Datuk Fadzil Noor pada 18 Februari 2001, kita tidak merasa terkejut langsung. Malah ia ternyata menyetujui anggapan kita selama ini bahawa parti-parti Melayu masih tidak mampu untuk berkompromi sesama sendiri, biarpun topiknya begitu jelas mengenai bangsa mereka itu sendiri!

Biarpun begitu, bagi majoriti bangsa Melayu yang tiada kuasa politik dan hanya mampu mengharap dan berdoa sahaja, ayat penangguhan yang digunakan untuk menerangkan kegagalan perjumpaan UMNO dan Pas ini seakan-akan memberi suatu nafas baru, biarpun sedikit, untuk kita berasa optimis bahawasanya orang Melayu akan bersatu juga akhirnya.

Pada pendapat saya, jika sesuatu kerja boleh di tangguh, ini bermakna kerja tersebut tidak tertakluk kepada sebarang masa. Kerja itu boleh disiapkan bila-bila masa sahaja sama ada sebulan, setahun, sepuluh tahun ataupun seratus tahun! Kerja boleh juga ditangguh dengan harapan ia dilupakan dan basi ataupun untuk melengah-lengahkan masa supaya beban masalah kerja ini disandarkan kepada orang-selepas mereka pula.

Tapi lazimnya, sesuatu kerja mempunyai matlamat tertentu. Biasanya, matlamat mempunyai titik fokus, titik penyudah dan tertakluk kepada jangka masa yang tertentu. Matlamat juga menuntut satu komitmen daripada mereka yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kerja mereka ini.

Komitmen biasanya diukur dengan kecekapan, keupayaan dan ketangkasan seseorang untuk menjalankan kerja tersebut. Tetapi yang terpenting sekali ialah hasil terakhir daripada sesuatu kerja itu.

Jika dibandingkan dengan atmosfera orang Melayu hari ini, di manakah sebenarnya elemen desakan yang mampu untuk membuka hati seluruh orang Melayu untuk bersatu padu, secara suka rela mahupun terpaksa?
1. Apakah ada Malayan Union kedua? Apakah ada tentera-tentera asing yang mahu menjajah negara kita?
2. Apakah benar bahawa kelemahan bangsa Melayu di dalam pelajaran, ekonomi dan sebagainya banyak disebabkan oleh perpecahan politik Melayu?

Realitinya, apakah benar-benar wujud kerisauan dan keinsafan yang amat sangat di dalam hati setiap orang Melayu? Jawapannya tidak. Tidak semua yang risau dan insaf. Maka dengan itu, sesuatu niat yang sebegitu murni seperti perpaduan bangsa Melayu ini boleh ditangguh dan disertakan pula dengan syarat-syaratnya.

Jika inilah situasinya dan juga berdasarkan kepada klimaks negara dan dunia sekarang, nampaknya kita tidak akan berhasil untuk menyaksikan perpaduan bangsa Melayu dalam masa yang terdekat ini. Hari ini, tidak ada anasir-anasir yang begitu nyata dan besar kesan destruktifnya kepada orang Melayu dan juga negara ini.

Hari ini juga, tiada berlaku satu ancaman besar yang merobek kesenangan, kedaulatan dan ketuanan bangsa Melayu dan negara ini. Oleh kerana itu, bangsa Melayu kembali selesa.

Hari ini, orang Melayu masih mampu untuk memimpin negara. Kita mempunyai seorang Perdana Menteri Melayu yang bergeliga dan berupaya untuk membawa negara ini ke tahap yang lebih baik. Perhubungan baik terjalin di antara kaum-kaum majmuk di negara ini. Oleh kerana itu, bangsa Melayu kembali selesa.

Pergolakan yang bertitik tolak kepada 17 tuntutan Suqiu telah reda dan nampaknya tidak disokong oleh kaum-kaum bukan Melayu. Ini menunjukkan bahawa kaum-kaum bukan Melayu telah mengiktiraf hak-hak istimewa bangsa Melayu. Oleh kerana itu, orang Melayu kembali selesa.

Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan rancangan ekonomi negara masa akan datang masih mengambil kira hak-hak keistimewaan kita. Pokoknya, orang Melayu mempunyai masa untuk memperbaiki dan memperlengkapkan diri.

Dari segi ekonomi pula, negara kita semakin maju dan rakyat semakin senang. Oleh kerana itu, bangsa Melayu kembali selesa. Tahap keselesaan yang dialami oleh bangsa Melayu inilah yang menyebabkan berlakunya penangguhan dalam perpaduan bangsa Melayu. Pokoknya, tiada terdesak untuk mereka menyegerakan niat ini.

Kita perlu sedar bahawa perpaduan Melayu memerlukan satu anjakan paradigma bangsa Melayu itu sendiri. Anjakan sebegini rupa memerlukan penyertaan setiap orang Melayu dan setiap parti politiknya.

Jika hanya sebilangan sahaja bangsa Melayu yang insaf, anjakan tidak akan pernah berhasil. Masalahnya ialah kita tidak boleh menunggu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada bangsa Melayu dan negara ini, barulah kita tergesa-gesa untuk menganjakkan diri. Ini adalah kerana, kita perlu spontan dan bersahaja untuk merapatkan kembali jurang kebencian dan permusuhan sesama Melayu. Sikap spontan dan bersahaja memerlukan masa.

Sesuatu kaedah perpaduan seperti musyawarah tidak akan berhasil jika kedua-dua pihak tidak mesra dan selesa dalam perjumpaan tersebut. Kemesraan memerlukan sikap yang spontan dan topik perbualan tidak mengejutkan. Keselesaan pula memerlukan keakraban. Keakraban terjalin jika dapat berjumpa berulang kali, tidak berprotokol dan dalam suasana yang bersahaja.

Persoalannya sekarang ialah?
1.Apakah bangsa Melayu mempunyai masa?
2.Apakah perlu terhantuk, baru tergadah? Apakah kita terlampau selesa? Pada pendapat saya, jika hari ini kita selesa dan mempunyai masa, sebaiknya kita selesaikan sesuatu niat atau kerja yang mulia pada hari ini juga. Kita mungkin sibuk atau pun sakit pada esok hari.

Perpaduan Melayu pula tidak memerlukan elemen desakan. Ia sepatutnya lahir sendiri dari dalam jiwa setiap orang Melayu yang beragama Islam. Islam mengajar kita untuk maaf-memaafi sesama insan dan menyegerakan sesuatu yang mulia.

Mungkin kita terlupa bahawa sebenarnya parti-parti politik adalah seperti pakaian kita sahaja dan bukannya kulit yang menyaluti tubuh kita.

Parti-parti politik hanyalah ibarat satu kenderaan yang dicipta oleh manusia untuk mempermudahkan perjalanan sesebuah bangsa dan negara, tidak lebih daripada itu. Kita adalah tuan kepada kenderaan tersebut dan bukan sebaliknya.

Paksi bangsa Melayu adalah pada agama, bangsa dan negara, bukan parti politiknya!


ARTIKEL TOP MINGGU INI.