CLICK ! LAPORAN KONTROVERSI & SENSASI!

ARTIKEL TERKINI DR MIM

BLOG Dr MiM

Sunday, January 01, 2006

Utamakan Bangsa Bukannya Parti

Dr Novandri Hasan Basri

MANUSIA merancang, Tuhan menentukan. Tatkala bangsa Melayu begitu optimis yang tarikh 19 Februari 2001 akan tercatat sebagai satu lagi tarikh keramat untuk orang Melayu, sekali lagi kita dikecewakan. Tetapi entah kenapa, perasaan kecewa kali ini tidak disertai dengan perasaan marah atau kesal yang amat sangat.

Mungkin ramai di antara kita, bangsa Melayu, yang telah arif dan dapat membaca gerak-geri parti-parti politik Melayu sehinggakan tindakan yang dilakukan oleh Pas ini dapat di agak dengan begitu mudah sekali.

Jadi apabila kenyataan diumumkan oleh Datuk Fadzil Noor pada 18 Februari 2001, kita tidak merasa terkejut langsung. Malah ia ternyata menyetujui anggapan kita selama ini bahawa parti-parti Melayu masih tidak mampu untuk berkompromi sesama sendiri, biarpun topiknya begitu jelas mengenai bangsa mereka itu sendiri!

Biarpun begitu, bagi majoriti bangsa Melayu yang tiada kuasa politik dan hanya mampu mengharap dan berdoa sahaja, ayat penangguhan yang digunakan untuk menerangkan kegagalan perjumpaan UMNO dan Pas ini seakan-akan memberi suatu nafas baru, biarpun sedikit, untuk kita berasa optimis bahawasanya orang Melayu akan bersatu juga akhirnya.

Pada pendapat saya, jika sesuatu kerja boleh di tangguh, ini bermakna kerja tersebut tidak tertakluk kepada sebarang masa. Kerja itu boleh disiapkan bila-bila masa sahaja sama ada sebulan, setahun, sepuluh tahun ataupun seratus tahun! Kerja boleh juga ditangguh dengan harapan ia dilupakan dan basi ataupun untuk melengah-lengahkan masa supaya beban masalah kerja ini disandarkan kepada orang-selepas mereka pula.

Tapi lazimnya, sesuatu kerja mempunyai matlamat tertentu. Biasanya, matlamat mempunyai titik fokus, titik penyudah dan tertakluk kepada jangka masa yang tertentu. Matlamat juga menuntut satu komitmen daripada mereka yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kerja mereka ini.

Komitmen biasanya diukur dengan kecekapan, keupayaan dan ketangkasan seseorang untuk menjalankan kerja tersebut. Tetapi yang terpenting sekali ialah hasil terakhir daripada sesuatu kerja itu.

Jika dibandingkan dengan atmosfera orang Melayu hari ini, di manakah sebenarnya elemen desakan yang mampu untuk membuka hati seluruh orang Melayu untuk bersatu padu, secara suka rela mahupun terpaksa?
1. Apakah ada Malayan Union kedua? Apakah ada tentera-tentera asing yang mahu menjajah negara kita?
2. Apakah benar bahawa kelemahan bangsa Melayu di dalam pelajaran, ekonomi dan sebagainya banyak disebabkan oleh perpecahan politik Melayu?

Realitinya, apakah benar-benar wujud kerisauan dan keinsafan yang amat sangat di dalam hati setiap orang Melayu? Jawapannya tidak. Tidak semua yang risau dan insaf. Maka dengan itu, sesuatu niat yang sebegitu murni seperti perpaduan bangsa Melayu ini boleh ditangguh dan disertakan pula dengan syarat-syaratnya.

Jika inilah situasinya dan juga berdasarkan kepada klimaks negara dan dunia sekarang, nampaknya kita tidak akan berhasil untuk menyaksikan perpaduan bangsa Melayu dalam masa yang terdekat ini. Hari ini, tidak ada anasir-anasir yang begitu nyata dan besar kesan destruktifnya kepada orang Melayu dan juga negara ini.

Hari ini juga, tiada berlaku satu ancaman besar yang merobek kesenangan, kedaulatan dan ketuanan bangsa Melayu dan negara ini. Oleh kerana itu, bangsa Melayu kembali selesa.

Hari ini, orang Melayu masih mampu untuk memimpin negara. Kita mempunyai seorang Perdana Menteri Melayu yang bergeliga dan berupaya untuk membawa negara ini ke tahap yang lebih baik. Perhubungan baik terjalin di antara kaum-kaum majmuk di negara ini. Oleh kerana itu, bangsa Melayu kembali selesa.

Pergolakan yang bertitik tolak kepada 17 tuntutan Suqiu telah reda dan nampaknya tidak disokong oleh kaum-kaum bukan Melayu. Ini menunjukkan bahawa kaum-kaum bukan Melayu telah mengiktiraf hak-hak istimewa bangsa Melayu. Oleh kerana itu, orang Melayu kembali selesa.

Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan rancangan ekonomi negara masa akan datang masih mengambil kira hak-hak keistimewaan kita. Pokoknya, orang Melayu mempunyai masa untuk memperbaiki dan memperlengkapkan diri.

Dari segi ekonomi pula, negara kita semakin maju dan rakyat semakin senang. Oleh kerana itu, bangsa Melayu kembali selesa. Tahap keselesaan yang dialami oleh bangsa Melayu inilah yang menyebabkan berlakunya penangguhan dalam perpaduan bangsa Melayu. Pokoknya, tiada terdesak untuk mereka menyegerakan niat ini.

Kita perlu sedar bahawa perpaduan Melayu memerlukan satu anjakan paradigma bangsa Melayu itu sendiri. Anjakan sebegini rupa memerlukan penyertaan setiap orang Melayu dan setiap parti politiknya.

Jika hanya sebilangan sahaja bangsa Melayu yang insaf, anjakan tidak akan pernah berhasil. Masalahnya ialah kita tidak boleh menunggu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada bangsa Melayu dan negara ini, barulah kita tergesa-gesa untuk menganjakkan diri. Ini adalah kerana, kita perlu spontan dan bersahaja untuk merapatkan kembali jurang kebencian dan permusuhan sesama Melayu. Sikap spontan dan bersahaja memerlukan masa.

Sesuatu kaedah perpaduan seperti musyawarah tidak akan berhasil jika kedua-dua pihak tidak mesra dan selesa dalam perjumpaan tersebut. Kemesraan memerlukan sikap yang spontan dan topik perbualan tidak mengejutkan. Keselesaan pula memerlukan keakraban. Keakraban terjalin jika dapat berjumpa berulang kali, tidak berprotokol dan dalam suasana yang bersahaja.

Persoalannya sekarang ialah?
1.Apakah bangsa Melayu mempunyai masa?
2.Apakah perlu terhantuk, baru tergadah? Apakah kita terlampau selesa? Pada pendapat saya, jika hari ini kita selesa dan mempunyai masa, sebaiknya kita selesaikan sesuatu niat atau kerja yang mulia pada hari ini juga. Kita mungkin sibuk atau pun sakit pada esok hari.

Perpaduan Melayu pula tidak memerlukan elemen desakan. Ia sepatutnya lahir sendiri dari dalam jiwa setiap orang Melayu yang beragama Islam. Islam mengajar kita untuk maaf-memaafi sesama insan dan menyegerakan sesuatu yang mulia.

Mungkin kita terlupa bahawa sebenarnya parti-parti politik adalah seperti pakaian kita sahaja dan bukannya kulit yang menyaluti tubuh kita.

Parti-parti politik hanyalah ibarat satu kenderaan yang dicipta oleh manusia untuk mempermudahkan perjalanan sesebuah bangsa dan negara, tidak lebih daripada itu. Kita adalah tuan kepada kenderaan tersebut dan bukan sebaliknya.

Paksi bangsa Melayu adalah pada agama, bangsa dan negara, bukan parti politiknya!


FB PRU-13

ARTIKEL MIM TOP MINGGU INI.

RECOMMENDED