Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Tuesday, February 07, 2006

Mencari Tradisi Baru Pemikiran Pelajar Melayu

Dr Novandri Hasan Basri

Di antara sebab pelajar-pelajar Melayu kurang terserlah di dalam pelajaran ialah segan bertanya, kurang motivasi, pengurusan masa yang lemah, malas dan senang mengalah. Malah kelemahan pelajar-pelajar Melayu di dalam memahami bahasa Inggeris juga merupakan satu faktor penting, memandangkan banyak buku ilmiah yang berbahasa Inggeris.

Faktor lemah berbahasa Inggeris juga merupakan salah satu punca mereka gagal mendapatkan pekerjaan dan mengganggur.

Persoalannya sekarang ialah, apakah kita akan membiarkan sahaja kepincangan ini diulangi pada setiap pelajar Melayu?

Realitinya, pelajar-pelajar Melayu tidak boleh dibiarkan bersendirian lagi untuk mencuba-cuba mencari formula sendiri di dalam menghadapi pelajaran mereka. Formula sendiri yang selama ini dipakai oleh pelajar-pelajar Melayu ternyata kurang efektif. Kaedah untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar Melayu bukanlah dengan mengubah rangka sistem pelajaran secara mendadak dan menyeluruh.

Ini adalah kerana, jika benar terdapat kepincangan di dalam rangka tersebut, ianya tentu menyebabkan penghasilan pelajar-pelajar tidak berkualiti yang sama banyak dari semua kaum, Melayu dan bukan Melayu. Tetapi tidak dan terbukti bahawa lebih ramai pelajar Melayu yang terlibat.

Kaedahnya perlu lebih berani, radikal dan mempunyai elemen desakan yang berterusan. Ketika kegawatan ekonomi baru-baru ini, kita diperkenalkan dengan satu kaedah ‘unorthodox’ iaitu kawalan matawang.


Di dalam bukunya A New Deal For Asia di bawah tajuk ‘Langkah Ekstrim untuk Keadaan Ekstrim’, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerangkan pendekatan ekstrim iaitu kawalan matawang negara yang ternyata telah berjaya menyerap impak ledakan kemelesatan ekonomi tahun 1998.

Dr Mahathir telah mengenengahkan hujah Dr Paul Krugman , seorang tokoh ekonomi terkenal yang mengatakan bahawa “langkah-langkah ekstrim mungkin diperlukan untuk keadaan-keadaan ekstrim”.

Jika kita teliti, hujah Dr Paul Krugman boleh di kaitkan dan di guna pakai di dalam membantu menyelelesaikan masalah kepincangan pelajar-pelajar Melayu. Formulanya mestilah lain dari pada lain atau pun mungkin ‘ekstrim’. Walau pun hujah beliau itu menerangkan satu konsep ekonomi, tetapi perlaksanaanya dan hasil daripada keradikalan yang dibuktikan oleh negara Malaysia di dalam menangani kemelesetan ekonomi tahun 1998, membuatkan kita bertanya,


· apakah sudah tiba masanya, masalah pelajar-pelajar Melayu perlu ditangani dengan satu formula yang ‘radikal’ dan ‘ekstrim’ juga? Atau pun,
· apakah kita akan membiarkan sahaja pelajar-pelajar Melayu terus terhumbang-hambing di dalam pelajaran mereka dengan teknik pembelajaran yang orthodoks dan lumrah?


Perlaksanaan ‘ekstrim’ ini adalah dengan ‘menanam’ satu jenis program ke dalam pelajar-pelajar Melayu atau pun mengubal suatu undang-undang agar mereka semua dapat fokus, rajin, proaktif dan berkemampuan untuk belajar dengan cara bijak.

Perlaksanaan radikal ini adalah memberikan tekanan yang bersifat positif dan memprogramkan pelajar-pelajar Melayu agar sentiasa fokus, rajin, proaktif dan belajar dengan cara betul. Maksud ‘memprogamkan’ ialah

· menyediakan teknik pembelajaran yang praktikal lagi sistematik, dimana teknik ini mesti diguna pakai oleh setiap pelajar Melayu
· mengawal masa belajar mereka
· memberikan nasihat secara berterusan.

Dalam erti kata yang lain, pelajar-pelajar Melayu perlu ditekan untuk berjaya secara total dan menyeluruh, selaras dengan definasi anjakan paradigma itu sendiri! Pelajar-pelajar Melayu mungkin merungut kerana kurang ‘bebas’ tetapi jika ianya mampu menghadirkan elemen desakan, rajin dan pemfokusan yang berterusan, mereka juga yang akan mendapat nikmatnya.

Realitinya, ketiadaan faktor-faktor intrinsik inilah yang membantutkan pelajar-pelajar Melayu selama ini. Maka tekanan positif seperti diterangkan di atas perlu dipergiatkan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Realitinya, jika kita ambil remeh pelajaran dan pencapaian akademik, kita mungkin akan susah nanti. Tetapi jika kita berjaya di dalam pelajaran, perjalanan hidup kita akan menjadi lebih mudah, insyaallah. Dalam masa yang sama, diharapkan pertubuhan-pertubuhan pelajar Melayu akan terus peka di dalam tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pemimpin pelajar.

Mereka bukan sahaja diberi tanggungjawab untuk memimpin tetapi di tuntut untuk menjadi contoh terbaik kepada pelajar-pelajar lain. Pencapaian akademik mereka perlulah yang terbaik juga.

Pokoknya, bimbinglah pelajar-pelajar ini secara berterusan. Kawal gerak geri mereka dan tiupkanlah semangat tidak mengaku kalah dan ingin berjaya ke dalam benak fikiran mereka. Tiada gunanya kita begitu lantang untuk mempertahankan hak kita sedangkan kita sendiri tidak insaf dan tidak berusaha secara berterusan untuk memastikan anak-anak muda kita kuat dan gigih

Kesimpulannya, tiada guna kita mengkaji dan terus mengkaji untuk mencari faktor sebenar kepada kelemahan pelajar-pelajar muda kita. Realitinya, semua jawapan jelas terpampang di depan mata kita. Apa yang diperlukan sekarang ialah melaksanakan segala perancangan biar radikal atau unorthordoks sekali pun, asalkan generasi muda kita berjaya dan dipandang tinggi oleh rakan-rakan mereka yang lain!



FOLLOW BLOG MiM

ARTIKEL TOP MINGGU INI.