Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Friday, September 22, 2006

Lee Kuan Yew Mesti Minta Maaf

Dr Novandri Hasan Basri

Penulis ingin merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri yang juga negarawan Singapura, Lee Kuan Yew di dalam satu forum sempena mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura pada 15hb September 2006. (Reuters, Utusan Malaysia 16hb September 2006)

Di forum tersebut, Lee Kuan Yew telah berkata bahawa kedua-dua negara jiran Singapura iaitu Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan penduduk Cina di negara masing-masing! Tambahnya lagi, orang Cina di negara-negara ini telah dipinggirkan secara sistematik kerana mereka berjaya dan rajin!

Kita pasti akan kecewa dan marah dengan tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Singapura itu mengenai negara kita. Persoalannya, siapalah beliau yang berani menconteng arang ke muka kita ini? Apakah kerana kita telah bersetuju untuk tidak meneruskan projek jambatan di Selat Tebrau maka kini beliau menganggap bahawa rakyat Malaysia berada di bawah telunjuk beliau dan begitu senang dieksploitasikan menjadi satu ugutan kepada rakyat Singapura agar terus menyokong parti PAP?

Yang pastinya, Lee Kuan Yew telah mengguris hati dan tidak menghormati kita dan Malaysia. Beliau telah merendah-rendahkan martabat kita semua terutamanya kaum Cina di Malaysia dengan dakwaan sengkel beliau itu. Padahal, hakikatnya kaum Cina di Malaysia turut bersama-sama berkongsi kemakmuran negara dan mempunyai ruang yang sangat luas di dalam semua sektor yang sedia ada di Malaysia. Dan tidak ada definasi ‘systematically marginalized’ di dalam fikiran kita dan juga kerajaan yang memerintah Malaysia.

Ironinya, bukankah beliau yang sebenarnya menggunapakai istilah tersebut di dalam meminggirkan kaum bukan Cina di dalam hariki ketenteraan negara beliau? Bukankah beliau yang cuba memadam pergorbanan dan kewujudan kaum Melayu di dalam sejarah negara Temasik?

Maka di sini saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin kaum Cina seperti parti MCA, parti Gerakan, Suqui, Dong Jiao Zong, suratkhabar-suratkhabar berbahasa Cina dan persatuan-persatuan Cina bukan kerajaan agar bersama-sama menyuarakan rasa kecewa kita terhadap fitnah yang dilontarkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Inilah masanya rakyat Cina di Malaysia bangkit untuk mempertahankan maruah negara yang kita cintai ini daripada diperbudak-budakkan oleh negara jiran kita! Dan jika kita turut kecewa, pastinya di sepanjang minggu ini, ramai pemimpin kaum Cina akan tampil ke hadapan dan menyuarakan rasa kecewa mereka serta membidas sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. Pastinya kita semua akan menolak tohmahan bahawa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik seperti yang didakwa oleh Lee Kuan Yew.

Pokoknya, kita mahu Lee Kuan Yew memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia di atas ketelanjuran belaiu itu dan kita berharap agar beliau tidak lagi mengulangi kenyataan sempit itu! Dan juga kita berharap agar beliau tidak mengaitkan masalah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan orang Cina Singapura dengan rakyat Malaysia dan negara jiran mereka yang lain.

Nampaknya kenyataan beliau itu seperti mahu menakut-nakutkan rakyat Singapura dan beliau berharap tuduhan murahan itu akan memastikan rakyat Singapura terus menyokong parti PAP.

Friday, September 15, 2006

Jangan Wariskan Isu Melayu Pulau Pinang Kepada Genarasi Berikutnya

Dr Novandri Hasan Basri

Semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Dato’ Ghani Othman, Menteri Besar Johor Darul Takzim pada 10hb September 2006, Pemuda UMNO Bukit Gelugor telah menerangkan kepada perwakilan mengenai usul penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di dalam mesyuarat tersebut, Pemuda UMNO Bukit Gelugor telah mengemukakan beberapa statistik dan fakta yang menjuruskan kepada ketidakupayaan beberapa potfolio di bawah beliau di dalam menyamaratakan hak di antara kaum-kaum di Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau. Di antaranya:-

1.
Pengerusi Jawatankuasa Perancang Bandar dan Desa
2. Pengerusi PDC
3. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Perdagangan Antarabangsa


Sebagai contoh, Pemuda UMNO Bukit Gelugor bimbang kerana tidak ada kesungguhan untuk membendung kepincangan pengagihan perumahan di bahagian pulau. Realitinya, bekalan perumahan semasa di Pulau Pinang lebih tertumpu kepada rumah kos sederhana dan tinggi.

Daripada unit-unit yang telah sedia ada dan komited, lebih kurang 60% adalah perumahan kos sederhana dan kos tinggi. (Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang).

Dan jika kita membandingkan peratus penduduk Bumiputera Pulau Pinang sebanyak 41.3% sebagai ukuran kadar pencapaian, harta milik bumiputera jauh lebih rendah daripada itu!

PEMILIKAN HARTA KEDIAMAN ORANG MELAYU

KEDIAMAN* PERATUS*
RUMAH TERES 18.2 %
RUMAH BERKEMBAR 20.7%
KONDOMINIUM 4%
FLAT 16.6%

*
Alasan yang kita terima adalah kerajaan negeri hanya mampu menegur pemaju-pemaju perumahan. Makanya, jika teguran kerajaan negeri itu seperti menyiram air di daun keladi dan tidak dapat menyedarkan mereka betapa penting wujudnya interaksi dan pengimbangan kaum di sesebuah kawasan perumahan, teguran itu perlu ditukar menjadi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh pemaju-pemaju perumahan.

Makanya, Pemuda Bukit Gelugor menyeru agar kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan lebih tegas. Kita juga berharap pihak penyelarasan Penyertaan Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri:-

1. menilai semula pelepasan kuota bumiputera untuk unit perumahan/komersial kepada bukan bumiputera yang selama ini digunapakai di Pulau Pinang.

Realitinya, tidak ada pengorbanan yang signifikan daripada pemaju-pemaju perumahan untuk menebus kembali maruah dan kerelaan orang bumiputera Pulau Pinang memberi kuota/hak mereka kepada orang lain.

Persoalannya,

1.
apakah kuota orang Bumiputera Pulau Pinang begitu senang bertukar-tangan dengan hanya mengiklankan projek perumahan itu sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali di dalam akhbar utama berbahasa Malaysia dalam tempoh enam bulan yang berkuat kuasa mulai daripada iklan yang pertama?
2. Apakah harga orang bumiputera adalah semurah harga 5-10% sumbangan pemaju-pemaju perumahan kepada pihak penyelarasan bumiputera Pulau Pinang?


Yang menyedihkan ialah jika kita berpandukan kepada petunjuk semasa di Pulau Pinang, hak Bumiputera memang senang diperkotak-katik dan dijual-beli!

Realitinya, Pemuda UMNO dan keseluruhan generasi muda Melayu Pulau Pinang bakal mewarisi satu isu yang sangat berat. Yang amat membimbangkan kita ialah tanah di bahagian pulau semakin berkurangan tetapi tidak ada kelihatan langkah-langkah yang konkrit untuk menyelesaikannya.

Majoriti perumahan tetap tertumpu kepada kos sederhana dan tinggi manakala penukaran kuota bumiputera begitu senang dan terus diamalkan. Dikhuatiri di masa hadapan, sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan kerana tanah-tanah dan unit-unit rumah/komersial telah dimiliki secara total dan sah oleh kaum lain.

Kita juga bimbang akan berlakunya:-

ketidakseimbangan polarisasi kaum yang signifikan di kawasan-kawasan perumahan kelak dan ini akan menyumbang kepada masa contact sesama kaum yang sangat terhad.

Realitinya, sejak hari ini pun kaum-kaum di Pulau Pinang sudah mula kurang berinteraksi sesama sendiri. Contohnya, sejak dari peringkat kanak-kanak lagi sudah berlaku segregasi kaum melalui pelbagai aliran sekolah.

Di peringkat muda pula, segregasi wujud akibat pelbagai institusi pengajian tinggi swasta yang dimonopoli oleh sesebuah kaum sahaja. Begitu juga di alam pekerjaan di mana kebanyakan tempat kerja tidak menampakkan peratusan kaum-kaum yang sama rata.

Dan jika ditambah dengan ketidakseimbangan polarisasi kaum di kawasan-kawasan perumahan, maka ianya bakal membantutkan usaha-usaha murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang saling memahami, tolong menolong dan mesra di antara satu sama lain.

Pemuda Bukit Gelugor juga telah mencadangkan:-

2. perlaksanaan kuota kaum di hariki pengurusan tertinggi di sektor perindustrian di Pulau Pinang.
Diskrepansi yang berlaku hari ini sungguh mengejutkan tetapi tidak ada langkah-langkah signifikan yang dilakukan, kononnya konsep penyamarataan peratus kaum-kaum akan menyebabkan pelabur-pelabur asing lari. Padahal pada hakikatnya, jumlah pelaburan asing terus meningkat setiap tahun dan ini membuktikan bahawa dasar-dasar ekonomi untuk bumiptera diterima oleh pelabur asing.

Kita juga berpendapat bahawa jika perlaksaana kuota dapat dilaksanakan di sektor perindustrian, ianya dapat

menyediakan jumlah orang Melayu berpendapatan tinggi yang ramai di dalam masa yang singkat.
Mereka ini pula bakal mempunyai kuasa membeli yang kuat serta mampu membeli unit-unit rumah / komersial di bahagian pulau.

Selain daripada itu, kita mencadangkan agar:-

3. Konsortium Bumiputera yang bakal dibentuk untuk Koridor Pembangunan Wilayah Utara dapat menyumbangkan 5-10% keuntungan mereka kepada bumiputera Pulau Pinang.

Sumbangan ini dapat digunakan untuk meningkatkan lagi usaha membaik pulih perniagaan orang Melayu dan juga membeli unit-unit rumah/komersial yang dikuotakan untuk bumiputera.

Kesimpulannya, kita berharap agar isu orang Melayu di Pulau Pinang dapat diselesaikan dengan segera di masa orang Melayu masih lagi ada kuasa politik dan memimpin negara ini. Dan jangan bebankan generasi Melayu berikutnya dengan isu ini lagi.

Thursday, August 31, 2006

Kembalikan Kehangatan Isu Melayu Pulau Pinang

Dr Novandri Hasan Basri

Saya ingin merujuk kepada dengan kenyataan saudara Khairy Jamaludin, Naib Pemuda UMNO Malaysia yang mengatakan bahawa Pemuda UMNO negeri Pulau Pinang sedang melakukan beberapa kajian berkaitan dengan permasalahan orang Melayu di Pulau Pinang ini. (Utusan Malaysia, 19hb Ogos 2006)

Kenyataan di atas amat menarik untuk kita teliti, lebih-lebih lagi di ketika ini di mana isu permasalahan orang Melayu di Pulau Pinang seperti tidak hangat lagi diperkatakan. Kemalapan isu ini seperti mengulangi episod-episod malapnya segala rintihan orang Melayu di Pulau Pinang seperti yang tercatat di suratkhabar perdana pada tahun 1999, 2002 dan 2003.

Lantaran itu, kita menyambut baik usaha yang sedang dijalankan oleh Pemuda UMNO negeri Pulau Pinang itu. Realitinya, sebarang rasa ketidakseimbangan atau ketidakpuashatian amat perlu dikuantitikan dan diterjemahkan kepada matematik serta statistik dan mampu dijadikan bukti yang sah serta dapat menepis sesiapa saja daripada ‘manis kata di mulut sahaja.’

Dan jika intonasi Pemuda UMNO negeri yang begitu lantang menyuarakan pendirian mereka tidak beberapa lama dulu, pastinya kajian-kajian tersebut akan mempamerkan pelbagai kelemahan pengurusan, data serta statistik perbandingan yang menjurus kepada kebenaran pendirian mereka.

Semestinya pendekatan untuk menyuarakan kebenaran pendirian Pemuda negeri juga nanti akan menggunakan saluran perbincangan yang betul seperti yang disarankan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. (Utusan Malaysia, 23hb Ogos 2006)

Dalam masa yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah berkata bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk melihat kajian dan cadangan bagi menyelesaikan perkara berbangkit. Beliau menambah, kerajaan negeri akan berbincang dan membuat keputusan selepas melihat cadangan Pemuda UMNO negeri. . (Utusan Malaysia, 23hb Ogos 2006)

Sikap terbuka seperti yang dijanjikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang amat dialu-alukan.

Janji beliau tersebut sekurang-kurangnya telah menjawab salah satu daripada persoalan Pemuda UMNO negeri iaitu dakwaan mereka mengenai ketidak prihatian Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membantu menyelesaikan permasalahan orang Melayu. Dengan janji beliau itu juga, sekarang telah nampak jelas bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang akan lebih transparen dan boleh diajak berunding.

Walaubagaimana pun, di dalam usaha Pemuda Negeri menjalankan kajian mereka, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga perlu menyediakan segala statistik perbandingan sosioekonomi kaum-kaum di negeri ini. Begitu juga dengan segala hasil usaha dan perancangan beliau selama ini di dalam menangani permasalahan orang Melayu Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau.

Tentunya kerajaan negeri telah pun mempunyai data-data tersebut. Contohnya, Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (DRSTPP) merupakan salah satu daripada data yang diusahakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kajian untuk DRSNPP telah dimulakan pada bulan November 2002, tahun di mana terdapat pemimpin UMNO negeri yang telah menyuarakan pandangan beliau mengenai permasalahan Melayu di Pulau Pinang. (Melayu P. Pinang terpinggir -- Nasib seperti Melayu Singapura jika kerajaan negeri amal sikap tidak peduli, Utusan Malaysia, 25hb Ogos 2002)

Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (DRSTPP) merupakan satu draf pembangunan fizikal Pulau Pinang yang akan digunakan oleh kerajaan negeri bagi malaksana dan menyediakan kemudahan prasarana kepada rakyat sehingga tahun 2020. (Utusan Malaysia, 24hb Ogos 2006).

Selain daripada itu, perlaksanaan pembangunan kerajaan negeri itu turut melibatkan penggabungan perancangan pembangunan dua pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selaras dengan Akta Perancangan dan Desa 1976 (Akta 171).

Satu persoalan, berapa ramaikah pemimpin dan orang Melayu di Pulau Pinang yang benar-benar faham mengenai DRSTPP atau pun berminat untuk menghadiri sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pendengaran Awam?

Saya pasti bahawa beberapa pindaan dan perbincangan tertutup telah pun diadakan di antara pemimpin-pemimpin negeri termasuk juga UMNO negeri. Makanya, ini juga menunjukkan bahawa Pemuda UMNO negeri boleh mendapatkan akses kepada data-data hasil kajian DRSNPP yang dapat digunapakai untuk menerangkan permasalahan orang Melayu dengan lebih tepat lagi.

Begitu juga dengan perbandingan yang boleh dilakukan di antara DRSNPP dengan Rancangan Struktur MPPP yang diwartakan pada tahun 1987 dan Rancangan Struktur MPSP yang diwartakan pada tahun 1990.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengatakan bahawa semakan laporan draf akan dibuka kepada orang ramai bermula 29hb Ogos hingga 1hb September di tingkat 3 KOMTAR dan di Dewan Bandaran MPPP bermula 4hb hingga 30hb September 2006. Manakala sesi pendengaran awam akan diadakan pada 4 hingga 8 September 2006 di Dewan Bandaran MPPP dan 11 hingga 15 September 2006 di Bangunan MPSP dari pukul 9 pagi hingga 12.30 tengahari.

Tarikh-tarikh tersebut perlu diwar-warkan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang terutamanya orang Melayu. Walau pun ianya merupakan satu draf yang berjela-jela panjangnya dan tidak merangkumi segala perincian dan sudut holistiknya di Pulau Pinang tetapi penyertaan dan timbal-balas daripada orang Melayu amat diperlukan serta diwartakan menjadi salah satu asas kepada penambahbaikkan pembangunan fizikal negeri Pulau Pinang.

Dalam masa yang sama, kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang mesti sedar bahawa kesan negatif jangka panjang yang mungkin tidak dapat diperbetulkan lagi akan berlaku jika usaha membaikpulih ketidakseimbangan sosioekonomi orang Melayu di Pulau Pinang tidak ditangani dengan segera.

Pemangku Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Kamarudin Ngah pernah berkata bahawa jurang sosial antara masyarakat Melayu, Cina dan India menjadi semakin luas di Pulau Pinang akibat tumpuan pembangunan ekonomi yang tidak seimbang. Kata beliau lagi, jika dibiarkan, keadaan itu boleh membawa implikasi negatif kerana corak hidup kaum-kaum utama di negeri ini akan bersifat lebih eksklusif ekoran tiadanya pergaulan secara majmuk. (Utusan Malaysia, 25 Ogos 2002)

Dalam erti kata yang lain, kek ekonomi negeri Pulau Pinang perlu dinikmati diantara kaum-kaum dengan adil dan saksama. Peniaga-peniaga bukan bumiputera yang telah lama bertapak dan berkembang di negeri ini perlu membuka rantaian perniagaan mereka kepada orang Melayu. Dewan Perniagaan bukan Melayu pula perlu menasihati rakan-rakan perniagaan masing-masing agar bersikap lebih terbuka dan berganding bahu dengan peniaga-peniaga Melayu.

Perubahan sikap peniaga-peniaga bukan Melayu boleh berlaku jika mereka menyedari pengorbanan orang Melayu di Pulau Pinang. 30% kuota perumahan hak bumiputera di Pulau Pinang dikorban dan direlakan bertukar ganti kepada orang bukan Melayu.

Sesuatu projek atau perniagaan milik orang Melayu contohnya, tidak akan dapat lari daripada menggunakan khidmat perniagaan orang bukan Melayu di Pulau Pinang ini. Akan tetapi, projek atau pun perniagaan milik orang bukan Melayu tidak semestinya akan mempunyai khidmat orang Melayu di dalam rantaian perniagaan mereka.

Gambaran negatif yang mengatakan bahawa perlaksanaan kuota kaum terutamanya kepada bumiputera di sektor perindustrian di Pulau Pinang akan mengurangkan pelaburan asing juga perlu di atasi dengan segera. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Iindustri, Datuk Seri Rafidah baru-baru ini mengatakan bahawa jumlah pelaburan asing terus meningkat setiap tahun, kira-kira RM250 bilion mengalir masuk bagi sektor perkilangan sahaja sepanjang tempoh Pelan Induk Perindustrian Kedua telah membuktikan bahawa dasar-dasar ekonomi untuk bumiptera diterima oleh pelabur asing. (Utusan Malaysia, 24 Ogos 2006)

Dan sebagai negeri yang mempunyai banyak kawasan perindutrian, jawatan-jawatan tinggi di kilang-kilang pastinya dapat menyediakan kuasa membeli kepada si penjawatnya. Malangnya, jawatan-jawatan tersebut lebih didominasikan oleh sesuatu kaum sahaja. Dan dengan sokongan pelaburan yang berbilion-bilion ringgit dan prospek industri yang cemerlang, maka tidak hairanlah apabila orang bukan Melayu mampu membeli hartanah yang mahal di Pulau Pinang ini, jauh lebih baik daripada kaum-kaum lain.

Alangkah baiknya jika Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat mengkaji isu ketidakseimbangan kaum di dalam jawatan-jawatan pengurusan tertinggi sesuatu industri di Pulau Pinang. Yang pastinya, kementerian tersebut mempunyai segala maklumat mengenai struktur pengurusan dan jumlah kakitangan-kakitangan sesuatu kilang yang berdaftar di negeri ini. (http://www.miti.gov.my)

Mungkin yang perlu dilakukan ialah hanya dengan mengubahsuai isi kandungan borang-borang seperti ICA 1 (97), CSD1 dan ICA(C)/JA-8 dengan memasukkan kolum pecahan kaum-kaum di bahagian ‘Guna Tenaga’ (Man Power) dan ‘Kategori Pekerjaan’ (Work Category).

Dan jika benarlah pelabur-pelabur asing tidak mempunyai masalah mengenai dasar-dasar bumiputera dan jika kaum bukan Melayu bersungguh-sungguh untuk menyamaratakan kemakmuran negara, data-data diskripensi pengagihan jawatan tertinggi yang berat sebelah dan didominasikan oleh sesuatu kaum itu akan tentu kita dapat perbetulkan dengan segera, tanpa sebarang kesulitan.

Pokoknya, kesamarataan di dalam sosioekonomi kaum-kaum merupakan elemen paling penting dalam menjamin kemakmuran dan kestabilan negeri Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau.

Sunday, August 27, 2006

Memahami Artikel 11

ARAHAN Perdana Menteri kepada empat negeri Ahad lalu supaya mengambil langkah segera menggunakan kuasa di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam di kalangan umat Islam mendapat reaksi yang cukup positif daripada pelbagai pihak.

Empat negeri berkenaan – Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak – dilaporkan sedang berusaha mempercepatkan proses penggubalan undangundang berkenaan melalui dewan perundangan masingmasing. Reaksi empat negeri itu adalah langkah yang sangat wajar kerana pada dasarnya, tiada apa-apa halangan atau alasan bagi negeri-negeri itu untuk tidak melaksanakan kuasa yang diturunkan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan itu.

Alasan bahawa undang-undang itu dirasakan tidak perlu sebelum ini kerana tiada kontroversi agama adalah dalih yang cukup lemah dan boleh dikatakan tidak mengambil kira perkembangan dan realiti semasa.

Kita tahu apa yang berlaku tetapi kita tidak pernah mahu menyatakannya secara terbuka kerana menganggapnya sebagai satu isu yang sangat sensitif dan boleh mengguris hati banyak pihak, dan kerana itu kita mengambil sikap berdiam saja.
Itulah sebabnya para pemimpin pertubuhan Islam dan pengamal undang-undang, antara pihak yang cukup memahami apa yang berlaku, menarik nafas lega terhadap sikap dan arahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu
.

“Kenyataan ini sangat bertepatan dengan keprihatinan yang sedang dizahirkan oleh umat Islam di Malaysia,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad.

*Resolusi
Malah lebih kurang seminggu sebelum arahan Perdana Menteri itu, Seminar Kebangsaan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam resolusinya turut membuat gesaan yang sama kepada Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Itulah juga salah satu ketetapan yang dicapai dalam Forum Syariah dan Cabaran Semasa di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu.

Tetapi ada dua perkara yang sememangnya kita sedia maklum – menggubal undang-undang satu hal, menguatkuasakannya adalah satu hal yang lain pula.

Sekiranya maksud Artikel 11(4) itu dilihat bertujuan untuk melindungi keharmonian masyarakat berbilang kaum yang identitinya bertunjang daripada agama, apakah hasrat dan matlamatnya dapat tercapai sekiranya ia tidak dikuatkuasakan?

“Adalah malang jika peruntukan undang-undang yang sedia ada tidak dimanfaatkan dan digunakan sedangkan terdapat keperluan untuk demikian,” kata Yusri.

Dalam kenyataannya kepada media Isnin lepas, ABIM menyokong penuh arahan Perdana Menteri kepada empat negeri itu dan turut menggesa semua negeri yang sudah mempunyai undang-undang sekatan dan kawalan pengembangan agama bukan Islam itu untuk mengambil langkah-langkah penguatkuasaan dengan segera.

Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang tekun membuat kajian mengenai kebebasan beragama membuat pemerhatian bahawa setakat ini hanya Pahang saja yang pernah menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Kes itu dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2002.

Dalam kes PP lwn Krishnan a/l Muthu itu, mangsa – seorang wanita Melayu – telah berkenalan dan bercinta selama tujuh tahun dengan tertuduh yang sudah pun beristeri. Apabila mangsa tidak mempunyai tempat tinggal, beliau memohon kepada tertuduh dan isteri untuk tinggal bersama. Semasa tinggal dengan tertuduh dan isterinya itu, mangsa pernah diugut supaya keluar dari agama Islam dan memeluk agama Hindu. Mangsa juga pernah disuruh bersumpah dengan kuil Hindu dan dilarang mendirikan solat.

Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 kemudian disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman denda RM1,500 dan penjara 20 hari.

“Ini merupakan kes pertama yang didakwa di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam di Malaysia yang diputuskan di Mahkamah Majistret Temerloh,” tulisnya dalam satu makalah yang diterbitkan dalam buku Mahkamah Syariah di Malaysia: Pencapaian dan Cabaran (2005).

Selain menguatkuasakan undang-undang yang di sesetengah negeri sudah wujud sejak 25 tahun yang lalu, satu perkara lagi yang mesti diberikan perhatian ialah usaha-usaha mendidik orang ramai dan khususnya pihak berkuasa bagi meningkat kesedaran terhadap undang- undang berkenaan.

Bagi tujuan perbincangan ini, mari kita lihat secara ringkas Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor, 1988.

Kita mesti tahu bahawa ia bukan satu undang-undang syariah sebaliknya undang-undang sivil. Enakmen berkenaan memperuntukkan kesalahan jenayah di bawah undang-undang itu dibicarakan di hadapan majistret. Kesemua kesalahan dan kes di bawah enakmen berkenaan juga dianggap sebagai kesalahan dan kes boleh tangkap (seizable) yang mana seseorang yang disyaki melakukan kesalahan boleh ditangkap tanpa waran.

*Kesalahan
Kita juga mesti tahu perlakuan-perlakuan yang ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah mengikut undang-undang itu. Ada lima kategori kesalahan yang terkandung dalam enakmen Selangor yang mula berkuat kuasa pada 28 Jun 1988 itu.

Di bawah Seksyen 4, adalah satu kesalahan sekiranya seseorang memujuk, mempengaruhi atau menghasut seorang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam, menjadi pengikut agama bukan Islam atau meninggalkan atau membelakangi agama Islam.

Perbuatan-perbuatan itu tetap dianggap sebagai satu kesalahan walaupun orang Islam itu tidak terpengaruh dengan perlakuan tertuduh. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 5 pula memberikan perlindungan kepada umat Islam di bawah 18 tahun daripada diajar, atau terlibat dalam kegiatan mana-mana agama bukan Islam, baik yang bersifat keagamaan mahupun tidak. Hukumannya sama seperti hukuman di bawah Seksyen 4.

Seksyen 6 pula menjadikan satu kesalahan sekiranya seseorang itu mengakibatkan seorang yang beragama Islam terpaksa mendengar syarahan agama bukan Islam. Jika sabit kesalahan, hukumannya ialah penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 7 melarang penghantaran apa-apa penerbitan atau iklan mengenai agama bukan Islam yang tidak diminta oleh si penerima. Bagaimanapun, ia tetap menjadi kesalahan sekiranya permohonan oleh si penerima itu adalah disebabkan oleh perbuatan tertuduh. Jika sabit kesalahan, hukumannya ialah penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Ini bermakna kalau hal-hal yang kecil seperti menyebarkan risalah pun menjadi satu kesalahan, terlibat dalam proses penukaran agama seseorang yang beragama Islam tentulah lebih lagi, terang dan nyata salahnya.

Seksyen 8 pula melarang penyebaran apa-apa penerbitan mengenai agama bukan Islam secara sedar kepada orang Islam di tempat awam. Seksyen 9 seterusnya melarang seseorang daripada menggunakan perkataanperkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam.

Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil, Khalifah dan Sheikh serta lafaz-lafaz zikrullah termasuklah Insya-Allah dan Masya-Allah. Jika sabit kesalahan di bawah dua seksyen ini, seseorang itu boleh didenda tidak lebih RM1,000.
Apakah yang dikatakan “agama bukan Islam”?

Seksyen 2(1) enakmen berkenaan mengatakan bahawa agama bukan Islam bermaksud agama atau fahaman Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Yahudi atau apa-apa bentuk kepercayaan yang berasal daripada agama-agama tersebut.

Ini termasuklah apa-apa kredo, ideologi, falsafah atau amalan yang bersifat pemujaan semangat atau kuasa luar biasa. Ini termasuklah juga apa-apa kepercayaan yang membawa kepada pencapaian kesedaran kerohanian yang tidak diiktiraf oleh Islam.

Kalau kita meneliti takrifan itu dengan mendalam, ia juga membawa maksud apa-apa ajaran yang bertentangan dengan mazhab Ahli Sunah waljamaah yang diterima pakai sebagai kepercayaan dan amalan umat Islam di negara ini.

Ini bermakna bahawa enakmen yang digubal mengikut kuasa Artikel 11(4) itu boleh terpakai dalam pengembangan agama Islam itu sendiri, misalnya ajaran Syiah atau apa-apa ajaran yang disifatkan menyeleweng daripada mazhab yang empat.

Peguam Pawancheek Marican dalam satu tulisannya yang mengupas dengan panjang lebar mengenai Artikel 11(4) membuat pemerhatian bahawa takrifan itu mencakupi kepercayaan pagan dan animisme, serta apa-apa kepercayaan dan amalan yang tidak diakui oleh Islam.

“Ini tentunya merangkumi ajaran Ayah Pin, ketua pertubuhan haram yang dikenali sebagai Kerajaan Langit di Terengganu yang mendapat liputan meluas oleh akhbar dan majalah, dalam dan luar negara,” tulisnya.

Maknanya inilah juga undang-undang yang boleh dipakai bagi membendung pengembangan ajaran-ajaran sesat yang difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, dan bukannya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kita tentu masih ingat ekoran serangan ke atas perkampungan ‘Kerajaan Langit’ di Hulu Besut, Terengganu pada pertengahan Julai setahun yang lalu, banyak pihak termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mendesak kerajaan supaya menahan Ayah Pin di bawah ISA.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar pula kemudian membuat kenyataan bahawa Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad boleh ditahan di bawah ISA, tertakluk kepada arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Semua desakan itu kemudiannya reda apabila Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (ketika itu), Datuk Noh Omar menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan menggunakan ISA untuk menahan Ayah Pin. Walaupun beliau mengatakan peruntukan undang-undang sedia ada masih mampu untuk membendung kegiatan itu, Noh tidak bercakap mengenai enakmen yang digubal di bawah Artikel 11(4) sebaliknya Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa enakmen sekatan dan pengembangan agama bukan Islam itu hampir tidak diketahui kewujudannya bukan saja di kalangan orang awam, malah termasuk di kalangan pihak berkuasa. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa dalam semua perbincangan mengenai ajaran sesat di media selama ini, kita hampir tidak pernah mendengar soal enakmen sekatan dan pengembangan agama-agama bukan Islam itu dibangkitkan oleh manamana pihak.

Inilah masalah yang lebih besar kita hadapi sebenarnya – ada undang-undang tetapi tidak dilaksanakan. Kita tidak merujuk kepada enakmen sekatan dan pengembangan agama-agama bukan Islam sebaliknya cepat menyebut tentang ISA.

Dengan hormat, gesaan dan desakan supaya Ayah Pin dan mana-mana pengikut ajaran sesat ditahan di bawah ISA khususnya yang dilontarkan oleh pihak berkuasa dari satu sisi dibuat dengan tidak mengambil kira atau lebih tepat, tidak memahami kedudukan undang-undang yang telah diterima pakai dan diputuskan oleh mahkamah.

Dalam kes Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lwn Jamaludin @ Yeshua Jamaludin bin Othman, Mahkamah Agung (ketika itu) memutuskan bahawa ISA tidak boleh digunakan bagi membendung kegiatan penyebaran agama Kristian di kalangan orang Melayu. Menurut mahkamah, kebebasan seseorang individu untuk menganut dan mengamalkan agamanya yang dilindungi oleh Perlembagaan tidak boleh dihalang melalui ISA.

Dalam kes itu, Jamaludin yang telah keluar Islam dan berjaya mengkristiankan enam orang Melayu telah ditahan di bawah ISA dalam Operasi Lalang pada Oktober 1987. Mahkamah Tinggi kemudian membebaskan paderi Melayu itu atas alasan beliau mempunyai hak untuk menganut agamanya seperti yang dijamin melalui Artikel 11(1).

*Kebebasan
Bagaimanapun keputusan kes itu bukanlah bermakna kebebasan beragama di bawah Artikel 11(1) itu merupakan satu kebebasan yang mutlak. Kebebasan itu masih terikat kepada Artikel 11(5) iaitu hendaklah tidak berlawan dengan mana-mana undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak.

Kedudukan ini diakui oleh mahkamah dalam kes Ahmad Yani b. Ismail & anor v Ketua Polis Negara & 3 others, ketika mana ia menolak permohonan habeas corpus dua pengikut Jemaah Islamiah (JI) yang ditahan di bawah ISA. Dalam kes itu, Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusoff menegaskan, kuasa yang diberikan kepada Parlimen dan dewan-dewan undang negeri untuk menggubal undang-undang menyekat penyebaran agama bukan Islam melalui Artikel 11(4) itu jelas menunjukkan bahawa hak yang diberikan di bawah Artikel 11(1) itu bukanlah sesuatu yang mutlak.

Setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang mempersoalkan kewajaran arahan Perdana Menteri kepada empat negeri itu. Itulah yang sewajarnya kerana peruntukan dalam Perlembagaan itu telah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu ketika mereka menggubal Perlembagaan – dokumen yang menjadi peta dan kompas yang menentukan hala tuju perjalanan negara ini.

Ini bukanlah perkara yang boleh diungkit-ungkitkan lagi oleh kita sebagai generasi yang mewarisi hasrat dan cita-cita para leluhur yang tentunya telah mengambil kira kesannya, iaitu demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara yang berkekalan.
Kuasa yang diberikan oleh Artikel 11(4) itu juga adalah antara peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sebenarnya meletakkan Islam pada tempat yang sewajarnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara. Ini kedudukan yang juga tidak harus dipersoalkan.

Dalam hal ini, apa yang diputuskan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas (ketika itu) dalam kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan itu hanya meletakkan Islam setakat hal ehwal ibadat dan diberi tempat semasa majlis-majlis rasmi adalah sesuatu yang apabila sampai masanya nanti tidak dapat tidak tentu akan disemak semula.


Oleh: NOOR AZAM SHAIRI (27 Ogos 2006) Utusan Malaysia

FACEBOOK DR MiM

My Blogger Tricks

FOLLOW BLOG MiM

ARTIKEL TOP MINGGU INI.

.