Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Friday, September 22, 2006

Lee Kuan Yew Mesti Minta Maaf

Dr Novandri Hasan Basri

Penulis ingin merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri yang juga negarawan Singapura, Lee Kuan Yew di dalam satu forum sempena mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura pada 15hb September 2006. (Reuters, Utusan Malaysia 16hb September 2006)

Di forum tersebut, Lee Kuan Yew telah berkata bahawa kedua-dua negara jiran Singapura iaitu Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan penduduk Cina di negara masing-masing! Tambahnya lagi, orang Cina di negara-negara ini telah dipinggirkan secara sistematik kerana mereka berjaya dan rajin!

Kita pasti akan kecewa dan marah dengan tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Singapura itu mengenai negara kita. Persoalannya, siapalah beliau yang berani menconteng arang ke muka kita ini? Apakah kerana kita telah bersetuju untuk tidak meneruskan projek jambatan di Selat Tebrau maka kini beliau menganggap bahawa rakyat Malaysia berada di bawah telunjuk beliau dan begitu senang dieksploitasikan menjadi satu ugutan kepada rakyat Singapura agar terus menyokong parti PAP?

Yang pastinya, Lee Kuan Yew telah mengguris hati dan tidak menghormati kita dan Malaysia. Beliau telah merendah-rendahkan martabat kita semua terutamanya kaum Cina di Malaysia dengan dakwaan sengkel beliau itu. Padahal, hakikatnya kaum Cina di Malaysia turut bersama-sama berkongsi kemakmuran negara dan mempunyai ruang yang sangat luas di dalam semua sektor yang sedia ada di Malaysia. Dan tidak ada definasi ‘systematically marginalized’ di dalam fikiran kita dan juga kerajaan yang memerintah Malaysia.

Ironinya, bukankah beliau yang sebenarnya menggunapakai istilah tersebut di dalam meminggirkan kaum bukan Cina di dalam hariki ketenteraan negara beliau? Bukankah beliau yang cuba memadam pergorbanan dan kewujudan kaum Melayu di dalam sejarah negara Temasik?

Maka di sini saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin kaum Cina seperti parti MCA, parti Gerakan, Suqui, Dong Jiao Zong, suratkhabar-suratkhabar berbahasa Cina dan persatuan-persatuan Cina bukan kerajaan agar bersama-sama menyuarakan rasa kecewa kita terhadap fitnah yang dilontarkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Inilah masanya rakyat Cina di Malaysia bangkit untuk mempertahankan maruah negara yang kita cintai ini daripada diperbudak-budakkan oleh negara jiran kita! Dan jika kita turut kecewa, pastinya di sepanjang minggu ini, ramai pemimpin kaum Cina akan tampil ke hadapan dan menyuarakan rasa kecewa mereka serta membidas sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. Pastinya kita semua akan menolak tohmahan bahawa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik seperti yang didakwa oleh Lee Kuan Yew.

Pokoknya, kita mahu Lee Kuan Yew memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia di atas ketelanjuran belaiu itu dan kita berharap agar beliau tidak lagi mengulangi kenyataan sempit itu! Dan juga kita berharap agar beliau tidak mengaitkan masalah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan orang Cina Singapura dengan rakyat Malaysia dan negara jiran mereka yang lain.

Nampaknya kenyataan beliau itu seperti mahu menakut-nakutkan rakyat Singapura dan beliau berharap tuduhan murahan itu akan memastikan rakyat Singapura terus menyokong parti PAP.

Friday, September 15, 2006

Jangan Wariskan Isu Melayu Pulau Pinang Kepada Genarasi Berikutnya

Dr Novandri Hasan Basri

Semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Dato’ Ghani Othman, Menteri Besar Johor Darul Takzim pada 10hb September 2006, Pemuda UMNO Bukit Gelugor telah menerangkan kepada perwakilan mengenai usul penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di dalam mesyuarat tersebut, Pemuda UMNO Bukit Gelugor telah mengemukakan beberapa statistik dan fakta yang menjuruskan kepada ketidakupayaan beberapa potfolio di bawah beliau di dalam menyamaratakan hak di antara kaum-kaum di Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau. Di antaranya:-

1.
Pengerusi Jawatankuasa Perancang Bandar dan Desa
2. Pengerusi PDC
3. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Perdagangan Antarabangsa


Sebagai contoh, Pemuda UMNO Bukit Gelugor bimbang kerana tidak ada kesungguhan untuk membendung kepincangan pengagihan perumahan di bahagian pulau. Realitinya, bekalan perumahan semasa di Pulau Pinang lebih tertumpu kepada rumah kos sederhana dan tinggi.

Daripada unit-unit yang telah sedia ada dan komited, lebih kurang 60% adalah perumahan kos sederhana dan kos tinggi. (Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang).

Dan jika kita membandingkan peratus penduduk Bumiputera Pulau Pinang sebanyak 41.3% sebagai ukuran kadar pencapaian, harta milik bumiputera jauh lebih rendah daripada itu!

PEMILIKAN HARTA KEDIAMAN ORANG MELAYU

KEDIAMAN* PERATUS*
RUMAH TERES 18.2 %
RUMAH BERKEMBAR 20.7%
KONDOMINIUM 4%
FLAT 16.6%

*
Alasan yang kita terima adalah kerajaan negeri hanya mampu menegur pemaju-pemaju perumahan. Makanya, jika teguran kerajaan negeri itu seperti menyiram air di daun keladi dan tidak dapat menyedarkan mereka betapa penting wujudnya interaksi dan pengimbangan kaum di sesebuah kawasan perumahan, teguran itu perlu ditukar menjadi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh pemaju-pemaju perumahan.

Makanya, Pemuda Bukit Gelugor menyeru agar kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan lebih tegas. Kita juga berharap pihak penyelarasan Penyertaan Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri:-

1. menilai semula pelepasan kuota bumiputera untuk unit perumahan/komersial kepada bukan bumiputera yang selama ini digunapakai di Pulau Pinang.

Realitinya, tidak ada pengorbanan yang signifikan daripada pemaju-pemaju perumahan untuk menebus kembali maruah dan kerelaan orang bumiputera Pulau Pinang memberi kuota/hak mereka kepada orang lain.

Persoalannya,

1.
apakah kuota orang Bumiputera Pulau Pinang begitu senang bertukar-tangan dengan hanya mengiklankan projek perumahan itu sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali di dalam akhbar utama berbahasa Malaysia dalam tempoh enam bulan yang berkuat kuasa mulai daripada iklan yang pertama?
2. Apakah harga orang bumiputera adalah semurah harga 5-10% sumbangan pemaju-pemaju perumahan kepada pihak penyelarasan bumiputera Pulau Pinang?


Yang menyedihkan ialah jika kita berpandukan kepada petunjuk semasa di Pulau Pinang, hak Bumiputera memang senang diperkotak-katik dan dijual-beli!

Realitinya, Pemuda UMNO dan keseluruhan generasi muda Melayu Pulau Pinang bakal mewarisi satu isu yang sangat berat. Yang amat membimbangkan kita ialah tanah di bahagian pulau semakin berkurangan tetapi tidak ada kelihatan langkah-langkah yang konkrit untuk menyelesaikannya.

Majoriti perumahan tetap tertumpu kepada kos sederhana dan tinggi manakala penukaran kuota bumiputera begitu senang dan terus diamalkan. Dikhuatiri di masa hadapan, sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan kerana tanah-tanah dan unit-unit rumah/komersial telah dimiliki secara total dan sah oleh kaum lain.

Kita juga bimbang akan berlakunya:-

ketidakseimbangan polarisasi kaum yang signifikan di kawasan-kawasan perumahan kelak dan ini akan menyumbang kepada masa contact sesama kaum yang sangat terhad.

Realitinya, sejak hari ini pun kaum-kaum di Pulau Pinang sudah mula kurang berinteraksi sesama sendiri. Contohnya, sejak dari peringkat kanak-kanak lagi sudah berlaku segregasi kaum melalui pelbagai aliran sekolah.

Di peringkat muda pula, segregasi wujud akibat pelbagai institusi pengajian tinggi swasta yang dimonopoli oleh sesebuah kaum sahaja. Begitu juga di alam pekerjaan di mana kebanyakan tempat kerja tidak menampakkan peratusan kaum-kaum yang sama rata.

Dan jika ditambah dengan ketidakseimbangan polarisasi kaum di kawasan-kawasan perumahan, maka ianya bakal membantutkan usaha-usaha murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang saling memahami, tolong menolong dan mesra di antara satu sama lain.

Pemuda Bukit Gelugor juga telah mencadangkan:-

2. perlaksanaan kuota kaum di hariki pengurusan tertinggi di sektor perindustrian di Pulau Pinang.
Diskrepansi yang berlaku hari ini sungguh mengejutkan tetapi tidak ada langkah-langkah signifikan yang dilakukan, kononnya konsep penyamarataan peratus kaum-kaum akan menyebabkan pelabur-pelabur asing lari. Padahal pada hakikatnya, jumlah pelaburan asing terus meningkat setiap tahun dan ini membuktikan bahawa dasar-dasar ekonomi untuk bumiptera diterima oleh pelabur asing.

Kita juga berpendapat bahawa jika perlaksaana kuota dapat dilaksanakan di sektor perindustrian, ianya dapat

menyediakan jumlah orang Melayu berpendapatan tinggi yang ramai di dalam masa yang singkat.
Mereka ini pula bakal mempunyai kuasa membeli yang kuat serta mampu membeli unit-unit rumah / komersial di bahagian pulau.

Selain daripada itu, kita mencadangkan agar:-

3. Konsortium Bumiputera yang bakal dibentuk untuk Koridor Pembangunan Wilayah Utara dapat menyumbangkan 5-10% keuntungan mereka kepada bumiputera Pulau Pinang.

Sumbangan ini dapat digunakan untuk meningkatkan lagi usaha membaik pulih perniagaan orang Melayu dan juga membeli unit-unit rumah/komersial yang dikuotakan untuk bumiputera.

Kesimpulannya, kita berharap agar isu orang Melayu di Pulau Pinang dapat diselesaikan dengan segera di masa orang Melayu masih lagi ada kuasa politik dan memimpin negara ini. Dan jangan bebankan generasi Melayu berikutnya dengan isu ini lagi.

FACEBOOK DR MiM

My Blogger Tricks

FOLLOW BLOG MiM