Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Thursday, December 14, 2006

UMNO Dari Perspektif Generasi Muda Melayu

Dr Novandri Hasan Basri

Pemuda adalah generasi yang digolongkan di dalam usia 18 hingga 40 tahun. Jika dibandingkan dengan usia parti UMNO, Pemuda dilihat sebagai golongan yang tidak mempunyai banyak pengalaman suka duka kehidupan.

Walau bagaimana pun, kita mesti menghadapi kitaran hidup yang nyata. Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti, kekosongan generasi dewasa Melayu yang mula-mula mengharungi perit getir kelemahan politik dan kedaifan orang Melayu zaman dahulu, akan diisi oleh generasi Melayu baru yang masih muda dari segi pengalamannya.

Kebanyakan pengalaman generasi muda lebih bersifat teori, berdasarkan kepada buku-buku sejarah, tanpa terpahat bekas-bekas luka perjuangan seperti generasi Melayu sebelum kita. Malah hari ini, sejarah bangsa dan negara biasanya dipelajari, semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan, tanpa sebenarnya menjiwai dan mendalami ertikata sejarah itu sendiri!

Sungguh pun begitu, evolusi parti UMNO sungguh menakjubkan dan menggetarkan perasaan ini, terutama sekali di awal penubuhannya. Kita mungkin tidak mampu merasai bahangnya tetapi cuba bayangkan apabila 41 buah pertubuhan terbesar bangsa Melayu yang mewakili berbagai kepentingan, dapat dihimpunkan dan berjaya mengadakan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (Se Malaya) di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Atmosfera di masa itu tentu sangat hangat dibakar oleh api semangat perjuangan orang Melayu yang berada di Kelab tersebut. Ia seterusnya telah mencetuskan bibit-bibit penyatuan dan perpaduan, hinggalah terbentuknya Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau pun UMNO.

Penyatuan pertubuhan-pertubuhan Melayu pada tahun 1946 itu terasa begitu mustahil untuk direalisasikan tetapi ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan dan sepatutnya menjadi kayu pengukur kepada orang Melayu hari ini.

Hakikinya, seluruh bangsa Melayu mampu bersatu jika kita dapat memprioritikan agama dan bangsa sebagai nafas utama di dalam berpolitik di alaf baru ini!

Secara ilmiah dan logik, kesemua objektif utama kewujudan UMNO adalah aspirasi dan semangat UMNO yang sungguh menarik untuk kita fahami dan perjuangkan. Secara amnya, aspirasi UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik pembangkang lain.

Kebanyakan parti politik yang lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut resmi lalang di mana pendiriannya terhoyong hayang mengikut rentak manusia dan politik di ketika itu. Dunia tahu bahawa parti Pas merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh penjajah Inggeris dengan natijah memecah-belahkan bangsa Melayu. Parti Keadilan pula mempunyai natijah penubuhan parti yang lahir dari perasaan kecewa dan tidak puas hati.

Persoalannya sekarang, apakah perasaan-perasaan negatif di dalam kepimpinan parti-parti tersebut dapat menyediakan landasan kukuh kepada perjuangan agama dan bangsa yang bersih lagi suci seperti perjuangan parti UMNO?

Malangnya, ideologi fanatisme dan idolisme yang mewarnai kefahaman politik sesetengah orang Melayu hari ini telah menyebabkan semangat tulin UMNO dikaburi dan tidak menjadi kriteria terpenting di dalam memilih parti politik! Padahal, jika kita teliti dan fahami, aspirasi UMNO merangkumi segala aspek kehidupan manusia, samada agama, ekonomi, pendidikan, perhubungan kaum dan sebagainya.

Tidak pernah wujud ideologi sekularisme di dalam kamus UMNO, seperti yang digembar-gemburkan oleh parti pembangkang. Realitinya, UMNO adalah parti Islam terbesar di Malaysia ini.

Fakta-fakta di atas perlulah difahami dengan mendalam oleh kita, generasi muda Melayu. Realitinya, kita boleh keliru, lebih-lebih lagi di zaman ICT dan dunia yang serba pantas hari ini. Terlalu banyak putar belit, khabar angin dan informasi politik yang mudah kita baca, dengar dan ucapkan, sehinggakan kita boleh terperangkap di antara realiti dan dongengan!

Oleh kerana itu, sebagai seorang Melayu yang berilmu, kita dituntut untuk mengkaji ‘wajah’ politik serta senario manusia dan kita mesti bijak membezakan di antara fakta dengan fitnah. Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri dan berlogik kepada segala persoalan politik bangsa Melayu hari ini.

Jika kita selidiki, cara yang terbaik untuk mengelakkan kekeliruan sedemikian rupa ialah berpegang kepada sumber-sumber yang mampu mengemukakan bukti-bukti yang ‘legitimate’ lagi sahih.

Kita juga perlu berpaksikan kepada pihak yang mempunyai rekod-rekod hasil kerja keseluruhan yang paling hampir konsisten dan terbukti keefesiennya. Maka dengan ini diharapkan semoga kita akan sentiasa berada di dalam kebenaran dan bersatu padu menghidupkan kembali perjuangan bangsa Melayu.

ARTIKEL TOP MINGGU INI.