Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Wednesday, December 12, 2007

Ekonomi & Pengangguran Di Malaysia

Dr Novandri Hasan Basri

Menurut Slamon, J. (1999) di dalam buku Economics (Edisi Keempat), definasi penganggur ialah mereka yang tidak bekerja walau pun berusia di dalam lingkungan umur orang bekerja tetapi mereka sedia ada untuk bekerja mengikut kadar gaji semasa.

Di England, definasi ini ditambah dengan mereka yang sedia bekerja dalam masa 2 minggu dan sedang aktif mencari pekerjaan atau menunggu temujanji kerja.

Secara global, isu pengangguran mengikut satu kitaran (cyclical) turun-naik persis seperti ekonomi dunia dan kedua-duanya saling berhubung kait di antara satu sama lain. Pada awal 80-an, kadar pengangguran meningkat akibat resesi (recession) yang melanda dunia ketika itu. Tetapi pada pertengahan 80-an, kadar pengangguran kembali turun, hasil daripada perkembangan (expansion) ekonomi dunia.

Kitaran ini berulang lagi apabila dunia mengalami resesi pada awal tahun 90-an dan disusuli dengan perkembangan ekonomi dunia pada pertengahan 90-an. Tentunya kita masih teringat dengan krisis matawang Asia pada akhir tahun 90-an yang mengakibatkan ekonomi Asia jatuh dengan teruknya. Kini, pada awal abad ke-20 ini, kita kembali pula kepada fasa perkembangan ekonomi yang pesat.

Dalam konteks domestik pula, halaman web Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri iaitu
www.epu.jpm.my , telah menerangkan dengan secara terperinci mengenai perubahan bentuk serta fasa-fasa perkembangan ekonomi negara Malaysia sejak tahun 1957.

Seperti turun naiknya ekonomi global, pertumbuhan ekonomi negara turut terjejas akibat krisis minyak dunia pada tahun 1979. Kejatuhan kodomiti utama negara seperti getah dan bijih timah, telah memburukkan lagi keadaan.
Beberapa pendekatan serta pengubahsuaian besar di dalam dasar-dasar ekonomi negara telah dijalankan oleh kerajaan untuk menangani krisis tersebut.

Ekonomi negara pulih pada tahun 1987 dan kembali berkembang. Pada sekitar 1988 – 1990, ekonomi negara mencatitkan pertumbuhan sebanyak 9.3 %, yang tertinggi sejak kemerdekaan. Pendapatan per kapita negara turut bertambah, kewangan negara menjadi stabil, beban hutang luar negara dapat dikurangkan, tahap kemiskinan juga berkurang dan peluang pekerjaan bertambah.

Negara membangun dengan pesat di sekitar 1991 – 1997 dengan GDP sebanyak 8.5 % sehinggalah berlakunya krisis matawang Asia pada tahun 1997 yang turut menjejaskan prestasi keseluruhan ekonomi negara. GDP jatuh kepada 7.4% pada tahun 1998, inflasi bertambah, nilai matawang ringgit berkurang dan kadar pengangguran meningkat.

Tetapi, seperti krisis ekonomi tahun-tahun sebelumnya, Malaysia bangun kembali dan berjaya mengatasinya. Penubuhan NEAC pada 7hb Januari 1998 dan perlaksanaan 6 dasar pemulihan yang terkandung di dalam plan NERP yang dilancarkan pada 23hb Julai 1998 telah berjaya mengongkong kesan negatif akibat Krisis tersebut. Malah, kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada tahun 2000.

Jika kita perhatikan, pendekatan serta pengubahsuaian dalam dasar-dasar ekonomi negara telah berjaya mengharungi resesi dunia dalam tahun 80-an, krisis matawang Asia dalam tahun 90-an, isu SARS dan juga peperangan di Iraq pada awal abad ke-20.


Dalam erti kata yang lain, kadar pengangguran dapat diminimakan, tidak timbul rasa tidak puas hati serta pemberontakan rakyat terhadap kerajaan yang mentadbir negara dan kita dapat mengembeleng tenaga serta usaha dalam atmosfera yang kondusif dan tenteram. Yang ada cuma suara-suara sumbang pihak-pihak tertentu seperti parti PAS, yang sentiasa cemburu dengan kebolehan kerajaan Barisan Nasional dan UMNO.

Jika kita teliti perkara-perkara di atas, kita akan dapati bahawa :-

1. Pencapaian (performance) ekonomi negara merupakan salah satu faktor terpenting di dalam mencorakkan kadar pengangguran di negara ini.
2. Ekonomi negara mengalami perubahan daripada bersifat kodomiti pertanian pada tahun 60-an kepada pembuatan, industri dan IT dengan penyertaan aktif daripada pihak-pihak swasta menjelang tahun 80-an.


Maka, jika hari ini ekonomi negara sedang giat berkembang, peluang-peluang pekerjaan tentu masih banyak. Malah, kadar pengangguran di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia ini (Sila rujuk di bawah).

Sumber : http://www.cia.gov
Negara
Kadar Pengangguran (%)
Afghanistan
NA (2003)
Argentina
17.3% (2003)
Australia
6% (2003)
Austria
4.4% (2003 anggaran)
Bahrain
15% (1998 anggaran)
Bangladesh
40% (2002 anggaran)
Belgium
8.1% (2003 anggaran)
Bosnia and Herzegovina
40% (2002 anggaran)
Brunei
10% (2001 anggaran)
Bulgaria
14.3% (2003)
Chile
8.5% (2003 anggaran)
China
10.1% (2003 anggaran)
Finland
9% (2003 anggaran)
France
9.7% (2003 anggaran)
Germany
10.5% (2003 anggaran)
Hong Kong
7.9% (2003)
Hungary
5.9% (2003 anggaran)
Iceland
3.4% (2003 anggaran)
India
9.5% (2003)
Indonesia
8.7% (2003 anggaran)
Iran
15.7% (2002 anggaran)
Iraq
NA (2003 anggaran)
Ireland
4.7% (2003 anggaran)
Israel
10.7% (2003 anggaran)
Italy
8.6% (2003 anggaran)
Japan
5.3% (2003)
Korea, South
3.4% (2003 anggaran)
Kuwait
2.1% (2003 anggaran)
Luxembourg
3.6% (2003 anggaran)
Macau
6.3% (2003)
Malaysia
3.6% (2003 anggaran)
Netherlands
5.3% (2003 anggaran)
New Zealand
4.7% (2003 anggaran)
Norway
4.7% (2003 anggaran)
Pakistan
7.7%
Philippines
11.4% (2003)
Poland
20% (2003)
Portugal
6.4% (2003 anggaran)
Russia
8.5%
Singapore
4.8% (2003 anggaran)
Spain
11.3% (2003 anggaran)
Sri Lanka
8.4% (2003)
Sweden
4.9% (2003 anggaran)
Switzerland
3.7% (2003 anggaran)
Taiwan
5% (2003 anggaran)
Thailand
2.2% (2003 anggaran)
United Kingdom
5% (2003 anggaran)
United States
6% (2003)

Kita pernah hangat membincangkan isu graduan menganggur, yang dikatakan berjumlah 80,000 orang. Isu ini juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di mana beliau mahu program-program seperti Program Sangkutan dan Latihan Dikalangan Siswazah Menganggur (SSL) dan Program Peningkatan Kemahiran Siswazah (GRS) diaktifkan semula untuk membantu graduan-graduan tersebut.

Setelah satu minggu pelbagai analisis, saranan dan cadangan dibuat oleh pelbagai pihak, keluar pula satu kenyataan yang mengatakan bahawa isu graduan yang menganggur di negara ini adalah tidak serius dan hanya 5 peratus atau 18,070 daripada 350,000 penganggur (Utusan Malaysia, 28hb Mac 2005) dan bukannya 80,000 orang.

Ironinya, isu graduan menganggur pernah menjadi topik hangat di dalam media tempatan. Pada bulan Disember 2002, kita pernah membincangkan masaalah 39,000 graduan yang menganggur. Hasilnya, pelbagai saranan dan kaedah telah diutarakan oleh pelbagai pihak yang prihatin kepada isu tersebut.

Kemudian keluar satu kenyataan bahawa angka tersebut tidak tepat, malah sebenarnya, sebahagian besar iaitu 90 peratus graduan universiti berjaya mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan. Pihak tersebut mengatakan bahawa statistik yang dipetik daripada laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri membuktikan gambaran sebenar bahawa masalah pengangguran di kalangan graduan tidaklah serius seperti yang dihebahkan oleh akhbar dan media. (Utusan Malaysia, 22hb Disember 2002)

Kita tentu tertanya-tanya tentang kekeliruan serta perbezaan statistik yang timbul mengenai isu graduan menganggur. Dalam masa yang sama, kita tentu mengharapkan agar segala pendekatan murni untuk mengurangkan bilangan penganggur seperti pengaktifan semula skim-skim SSL dan GRS, tidak diketepikan begitu sahaja akibat kenyataan akhbar dan statistik terbaru yang kita baca pada 28hb Mac 2005.

Untuk pengetahuan para pembaca, seramai 40,460 siswazah telah menyertai Program Sangkutan dan Latihan Dikalangan Siswazah Menganggur sehingga 28hb Februari 2005.

Pokoknya, segala perancangan serta pengubahsuaian kerangka negara perlu dilakukan agar kadar pengangguran dapat diminimakan pada masa hadapan. Realitinya, sesebuah negara mempunyai corak kadar pengangguran yang akan bertambah apabila negara tersebut bertambah maju dari sebelumnya.

Contohnya ialah negara England di mana kadar pengangguran pada tahun 60-an dan 70-an ialah sekitar 3 – 5 %, meningkat kepada 10 % pada tahun 80-an dan 8.4 % pada tahun 90-an (Sloman, J (1999)). Corak peningkatan tersebut turut dialami oleh kebanyakan negara maju di dunia pada hari ini.

Kerangka negara yang di ubahsuai, perlu dapat merancang bentuk dan keperluan tenaga kerja (labor force) dengan lebih sistematik dan terkawal agar dapat disalurkan ke bidang-bidang yang diperlukan di dalam ekonomi negara, hari ini dan juga masa hadapan. Maka, perancangan hendaklah bermula di tahap persekolahan dan pengajian tinggi.

Realitinya, dasar-dasar dan segala program ilmiah di dalam sekolah dan institusi-institusi pengajian adalah program yang sistematik dan terkawal. Apabila kita mempunyai program yang boleh dikawal, manipulasi sepatutnya boleh dilakukan ke atas program-program yang sedia ada supaya tenaga kerja yang bakal dibekalkan oleh pihak institusi tinggi, berguna dan praktikal sepenuhnya selaras dengan keperluan masa tersebut. Justeru itu ianya dapat mengurangkan kesan-kesan sampingan yang wujud seperti pengangguran dan memilih pekerjaan.

Sebenarnya, pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi tidak boleh dianggap sudah matang, berdikari dan pandai membentuk masa depan sendiri. Mereka masih mentah dan tidak dapat untuk menilai evolusi dan corak keperluan dan ekonomi Malaysia pada masa depan. Mereka tidak boleh dibiarkan memilih sendiri kursus-kursus yang diambil kerana titik noktahnya bukan sampai disitu sahaja.

Malah pemilihan kursus-kursus tersebut memerlukan setiap bimbingan serta perincian tepat dan kalkulatif, yang perlu berlandaskan pasaran pekerjaan pada 5 hingga 10 tahun ke depan dari masa pembelajaran mereka.

Para ekonomis, cendekiawan, penggubal-pengubal dasar, pelabur-pelabur dan ahli-ahli politik boleh memberi input, idea-idea dan maklumbalas yang konkrit kerana merekalah yang bertanggungjawab di dalam menjana dan mencorakkan ekonomi serta keperluan tenaga kerja di Malaysia pada masa hadapan.

Maklumbalas itu kemudiannya digunakan sebagai rangkakerja di dalam penyusunan kepentingan bidang-bidang pengajian di dalam institusi tinggi. Di sini institusi pengajian memainkan peranan penting di dalam menjayakan matlamat tersebut. Seperti sedia maklum, wujud bidang-bidang pengajian yang lebih popular daripada yang lain di IPT.

Sikap ini bukan kerana prejudis tetapi lebih ‘berpijak di bumi nyata’ yang berpandukan kepada realiti supply & demand pasaran pekerjaan di negara ini. Tetapi jika pengambilan pelajar di dalam bidang tersebut terlampau ketat dan terhad, maka terjadi fenomena pengambilan bidang ilmu secara ‘tangkap muat’ oleh pelajar-pelajar yang tidak berjaya serta tidak berlandaskan cita rasa mereka dan keperluan negara pada masa hadapan .

Kita perlu sedar bahawa ekonomi adalah sesuatu yang dinamik. Untuk berjaya, ilmu dan tenaga kerja perlu juga dinamik dan boleh dikembangkan sejajar dengan masa sekarang dan hadapan. Ilmu-ilmu didalam institusi pengajian adalah suatu yang mulia dan perlu pendokongan yang kukuh. Di masa yang sama, ianya tidak boleh rigid dan terlalu konservatif kerana ilmu-ilmu yang dipelajari adalah simbiosis dan saling memanfaatkan di antara satu sama sendiri.

Bidang-bidang pengajian yang kononnya tidak popular, perlu diberi nafas baru dan perlu menggabungi segala aspek ilmu dan teknologi tinggi di dalamnya agar selari dengan keperluan dan permintaan semasa dan masa hadapan. Dengan cara ini, masa tidak dibazirkan untuk mempelajari sesuatu yang baru selepas tamat pengajian semata-mata kerana tidak secocok dengan alam pekerjaan ketika itu.

Jika ilmu yang dipelajari di dalam institusi tinggi cukup lengkap merangkumi segala keperluan ilmu dan tenaga kerja negara, kadar graduan menganggur dapat dikurangkan lagi.


Saturday, September 01, 2007

Realiti Ketidakseimbangan Kaum Dalam Pekerjaan

Dr Novandri Hasan Basri

Teguran Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengenai tindakan sesetengah majikan swasta mensyaratkan bahasa Mandarin dalam kriteria pengambilan pekerja sebagai berat sebelah, amat dialu-alukan dan perlu dipandang serius.

Ini adalah kerana, jika kita selidiki, isu ini pernah timbul suatu ketika dulu. Ianya kembali tenggelam kerana topik tersebut tidak lagi hangat. Polemik isu ini yang timbul-tenggelam ini pastinya telah menimbulkan pelbagai soalan yang bermain di fikiran kita semua.

Apakah wujud parameter untuk memastikan majikan-majikan swasta benar-benar tidak lagi mensyaratkan penguasaan bahasa Mandarin dalam kriteria pengambilan pekerja baru? Apakah dengan tidak meletakkan kriteria tersebut di dalam iklan-iklan akan turut diikuti dengan penilaian memilih pekerja-pekerja yang tidak juga mensyaratkan penguasaan bahasa Mandarin?

Soalan-soalan di atas amat sukar untuk kita jawab kerana jawapannya melibatkan faktor perasaan yang sangat subjektif dan juga faktor perkauman yang tidak akan dapat dikuantitikan. Dan jika kita tidak dapat menkuantitikan faktor-faktor ini, kita tidak akan dapat memperbetulkan ketidakseimbangan tersebut dengan apa juga kaedah kecuali melalui kesedaran yang datang daripada majikan-majikan itu sendiri.

Realitinya, kita hanya mampu menegur serta menasihat dan terpulanglah kepada majikan-majikan tersebut untuk membuka hati mereka dan menerima kaum-kaum lain di dalam syarikat mereka.

Malangnya, kewujudan iklan-iklan yang masih meletakkan kriteria bahasa Mandari di dalam iklan kerja mereka pada hari ini , jelas memberikan satu petunjuk bahawa sesetengah daripada mereka itu berfikiran sempit serta berbau perkauman yang masih tebal.

Dalam masa yang sama, jika majikan-majikan tersebut tidak lagi meletakkan kriteria bahasa Mandarin di dalam iklan-iklan kerja mereka, ianya tidak bermakna isu ini telah selesai. Bakal-bakal pekerja tersebut akan terpaksa melalui sesi temuramah dan semasa itu, penguasaan bahasa Mandarin yang tidak dipamerkan tadi tetap akan dijadikan kriteria secara senyap-senyap.

Ketika itu, tindakan majikan-majikan tersebut amat susah untuk dibuktikan kerana kriteria bahasa Mandarin kini tidak lagi di catit di mana-mana kecuali yang tersirat di dalam benak fikiran majikan-majikan tersebut.

Apakah kita mampu untuk membuktikan kewujudan konsep polarisasi kaum di dalam memilih pekerja-pekerja baru yang tertanam di hati sesetengah majikan di negara ini?

Begitu juga dengan ketidakseimbangan yang berlaku di dalam harirki jawatan-jawatan di sesetengah syarikat swasta yang menjuruskan kepada polarisasi kaum yang berat sebelah. Jawatan-jawatan penting dipegang oleh sesuatu kaum manakala jawatan-jawatan rendah dipegang oleh kaum Melayu dan bumiputera. Sungguh pun keseluruhan peratusan menunjukkan keseimbangan kaum tetapi hakikinya, ianya amat berat sebelah.

Dalam masa yang sama, kita perlu juga faham kepada struktur-struktur perniagaan dan syarikat-syarikat yang wujud di negara ini. Lebih-lebih lagi di era globalisasi ini di mana bakal-bakal pekerja tidak boleh rigid dan hanya tahu didalam satu kemahiran sahaja.

Era ini memerlukan bakal-bakal pekerja yang mempunyai added advantages dan multi-purpose termasuk juga kemahiran di dalam pelbagai bahasa antarabangsa.

Kewujudan kriteria bahasa Mandarin sepatutnya tidak akan melemahkan semangat bakal-bakal pekerja. Malah, ianya perlu dilihat daripada perspektif yang lebih positif.

Realitinya, Melayu kita akan tidak kurang jika kita dapat menguasai bahasa Mandarin atau pun bahasa-bahasa yang lain. Yang pentingnya, bangsa Melayu perlu berkebolehan dan lebih berani untuk berjaya.

Monday, February 12, 2007

Masalah Disiplin Pelajar: Satu Pendekatan & Penyelesaian

Dr Novandri Hasan Basri

Kita sedang hangat memperkatakan isu masalah disiplin pelajar-pelajar. Yang pastinya masalah ini masih lagi berleluasa sehinggalah ke detik ini. Bermacam- macam persoalan timbul yang semuanya memerlukan penyelesaian yang konkrit dan segera.

· Kenapakah berlakunya kepincangan pemikiran pelajar-pelajar ini?
· Dimanakah salahnya pendekatan kita selama ini ?
· Tidak adakah suatu mekanisme yang wujud untuk menyalurkan rangsangan emosi negatif pelajar-pelajar ini agar dapat dikurangkan atau kepada sesuatu yang lebih berfaedah dan masuk akal ?
· Apakah kerana kes-kes yang berlaku ini isolated dan hanya melibatkan segelintir pelajar, maka segala usaha yang dijalankan untuk membenterasnya masih lagi di dalam peringkat perancangan demi perancangan ?
· Sampai bilakah berlakunya segala masalah disiplin pelajar-pelajar ini ?


Peraturan


Kita mesti sedar bahawa manusia adalah lemah dan selalu lalai di dalam menjalankan tanggungjawab dan gagal untuk mengawal emosi dan nafsu. Disebabkan kelemahan ini, maka terciptalah peraturan-peraturan alam ataupun ciptaan manusia itu sendiri agar segala tindakan manusia di sesebuah kumpulan ataupun situasi, tidak lari dari landasan kehidupan norma mereka. Jika di rumah, peraturan alam menentukan tanggungjawab ibubapa dan anak-anak mereka. Jika di luar rumah, contohnya di jalanraya, kita dengan automatik, mesti mematuhi segala undang-undang jalanraya ciptaan kita sendiri agar tindakan kita tidak membahayakan diri dan pengguna jalanraya lain.

Justeru itu, pelajar-pelajar sepatutnya dengan spontan, mematuhi segala peraturan sekolah yang dicipta khas untuk mereka. Peraturan ini perlu untuk memastikan mereka tidak mempunyai agenda lain di sekolah selain daripada menumpukan perhatian kepada pelajaran dan segala aktiviti yang telah dirancang untuk mereka.


Peranan Keluarga

Keluarga adalah merupakan satu kumpulan manusia yang bertalian darah dan mempunyai susunan yang tertib. Ibubapa bertindak sebagai ketua yang bertanggungjawab mencorakkan perangai dan tingkah laku anak-anak. Jika tidak baik didikannya, maka buruk perangai anak-anaknya, dan begitulah sebaliknya.

Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Pattterson (1982; Patterson et al 1989) yang menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal di dalam keluarga yang dianggapkan sebagai breeding grounds kepada tingkah laku anti-sosial dan hostile. Keluarga ini selalunya beratmosferakan coercive home environment di mana anak-anak berinteraksi dengan ibubapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik anti-sosial yang lain.

Tekanan yang berterusan ini akan mengakibatkan anak-anak ini, secara tidak langsung, terpaksa mempelajari teknik-teknik tersebut untuk terus survive di dalam keluarga mereka. Anak-anak akan mulai berani menentang ibubapa dan keluarga sendiri untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh mereka.. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti.

Rentetan permasalahan anak-anak ini bertambah signifikan apabila di bangku sekolah. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan juga lemah di dalam pelajaran di kalangan anak-anak ini. Akibatnya anak-anak ini sering dihukum dan gagal di dalam peperiksaan yang seterusnya akan menyebabkan ibubapa berasa malu, bertambah berang ataupun terus tawar hati. Sikap ini pula akan menyebabkan mereka tidak lagi berminat untuk mengawal atau mengambil kisah hal ehwal dan segala aktiviti anak-anak mereka.

Jadi persoalannya sekarang ialah, jika ibubapa bertanggungjawab mencorakkan perangai dan tingkah laku anak-anak, kenapakah masalah disiplin pelajar-pelajar tertumpu di suasana dan persekitaran sekolah? Ini adalah kerana, jika diamati dengan teliti, subjek-subjek yang terlibat, masa contact, tindakan dan tindakbalas subjek itu dirangsang oleh sesuatu atau situasi tertentu di sekolah itu.. Peristiwa-peristiwa seperti bakar sekolah, peras ugut ataupun gangsterisme sebenarnya mempunyai sumber provokasi (provocation) yang bermula atau tertumpu di masa sekolah itu dan bukannya di rumah pelajar-pelajar.


Peranan Sekolah

Feldman & Weinberger (1994) di dalam buku di atas menerangkan bahawa penampilan sikap negatif yang persisten oleh pelajar-pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah ini, akan menyebabkan beberapa respon negatif, tanpa disedari, oleh masyarakat sekolah.

· Pelajar-pelajar lain yang lebih pandai akan menjauhi diri daripada mereka.

· Pelajar-pelajar ini juga akan kerap dikritik dan tidak diambil berat oleh guru-guru.

· Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di dalam kelompok pelajar-pelajar yang sama taraf akademiknya dan secara relatifnya juga bermasalah dan mempunyai sikap anti-sosial.


Penolakkan masyarakat sekolah tersebut akan menyebabkan skop pergaulan mereka terbatas kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam matapelajaran dan bermasalah sama seperti mereka. Sesetengah daripada mereka membentuk geng-geng ataupun deviant cliques. Kumpulan ini akan menjerumuskan mereka kepada peningkatan sikap-sikap agresif, anti-sosial, tidak mementingkan pelajaran dan terjebak di dalam aktiviti-aktiviti yang berbau jenayah(Thomas Dishion & Associates, 1991). Kajian tersebut bertepatan dengan senario kita hari ini. Biasanya unsur-unsur negatif yang besar magnitudnya seperti peras ugut, hooliganisme, gangsterisme dan membakar sekolah melibatkan penyertaan lebih daripada satu pelajar.

Terdapat juga golongan pelajar yang memencilkan diri, hilang pegangan role model mereka iaitu ibubapa dan guru dan sebagainya. Sikap destruktif ini akan menyebabkan mereka sangat senang terpengaruh dengan anasir-anasir kurang sihat di kalangan masyarakat. Mereka yang selama ini hilang tempat mengadu dan kasih sayang, merasakan bahawa dengan mengikuti anasir-anasir ini, mereka akan dapat lari ataupun melupakan segala masalah mereka.

Kitaran Hidup


Jika kita amati dengan teliti, terdapat satu kitaran lengkap tindakan dan tindakbalas yang terjadi di antara pelajar-pelajar bermasalah ini dan orang dewasa iaitu ibubapa dan guru. Kitaran ini telah diutarakan oleh. Doherty & Mynatt di dalam buku mereka yang bertajuk Understanding Human Behaviour (1998). Ianya di istilahkan sebagai Positive Feedback Loop. Istilah ini menerangkan fenomena ‘rangsang - merangsang’ dan ‘ganda-mengganda’ yang sering bergolak di antara jiwa pelajar bermasalah ini dan persekitaran sosial mereka.

Jika di rumah pelajar bermasalah ini, ahli-ahli keluarga mempunyai masalah dengan sikap masing-masing. Apabila anak-anak ini sering melakukan kesalahan ataupun gagal di dalam peperiksaan, ibubapa akan menjadi lebih malu, lebih marah ataupun lebih tawar hati. Ini akan mengakibatkan tindakbalas anak-anak terhadap ibubapa akan digandakan juga. Begitulah seterusnya fenomena ‘ganda-mengganda’ dan ‘rangsang-merangsang’ yang persisten di antara anak-anak dan ibubapa, Jika fenomena ini kekal dan berterusan, maka akan terjadilah peristiwa-peristiwa seperti lari dari rumah, berpeleseran, bohsia, bergaduh dan sebagainya.

Begitu juga yang terjadi di sekolah, di mana penolakkan masyarakat sekolah akan menggandakan sikap hostile dan benci mereka terhadap masyarakat sekolah. Penentangan berlebihan pelajar-pelajar ini akan menyebabkan guru-guru terpaksa melaksanakan hukuman yang lebih berat ataupun mengalah dengan membiarkan sahaja mereka ini. Begitulah seterusnya senario ‘ganda-mengganda’ dan ‘rangsang-merangsang’ yang persisten di antara pelajar-pelajar dan masyarakat sekolah . Jika senario ini kekal dan berterusan, akan menyusullah kejadian-kejadian tidak sihat seperti bakar sekolah, peras ugut dan sebagainya.



Dulu Lain Sekarang Lain

Di dalam perbincangan isu masalah disiplin pelajar ini, saya rasa elok juga kita membincangkan perbezaan ketara di antara zaman sekarang dengan zaman bapa dan datuk kita dulu.

· Dahulu masyarakat memandang tinggi guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru.

· Dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi.. Ibubapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang. Mereka berjaya bertindak sebagai ‘penyerap’ kepada permasalahan anak-anak mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama, sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat penting..

Justeru itu, jika dibandingkan dahulu dengan sekarang, banyak yang berubah. Di zaman sekarang, berlaku perubahan dari segi keperluan fizikal dan mental masyarakat.

· Sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang
lebih tinggi. Orang dewasa ini telahpun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur formal ilmu sahaja. Sebab itulah guru-guru dan pihak sekolah mempunyai masalah kes saman dan kurangnya penglibatan ibubapa di sekolah.

· Institusi sekolah hari ini juga dirasakan tidak istimewa dan eksklusif lagi. Sebagai contoh, sekarang ini telah wujud kelas-kelas tuisyen yang mempunyai tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai masa untuk memberikan penumpuan yang bersifat individual, berkesan dan berjaya membantu pelajar-pelajar di dalam peperiksaan mereka. Perkembangan yang telah bertapak lama ini menunjukkan seolah-olah guru-guru tidak berupaya lagi untuk mengajar dengan berkesan di sekolah

· Sekarang, ibubapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengetahui hal ehwal emosi dan pelajaran anak-anak mereka. Ataupun, mungkinkah ibubapa berpura-pura tidak ada masa untuk mengetahui pelajaran anak-anak mereka kerana ego dan takut dicop kurang pandai apabila ditanya oleh mereka? Ataupun, mungkinkah ibubapa tidak mempunyai tahap kesabaran mengajar seperti ahli-ahli profesional yang bergelar guru ini?


Penyelesaian

Patterson (1982; Patterson et. al 1989) mengatakan bahawa sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif ini tidak mungkin boleh dipulihkan jika mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Malah jika kepincangan ini berterusan sehingga ke peringkat dewasa, segala kaedah membetulkan sikap pelajar ketika itu terasa mustahil dilaksanakan kerana ianya juga perlu membetulkan mind sets masyarakat sekeliling yang terlalu ramai dan bebas. Ketika itu para pelajar akan berdepan dengan pelbagai jenis dan karakter masyarakat yang selama ini telah mendukung persepsi kukuh tetapi serong terhadap mereka

Perlu ditekankan juga, bahawa masa contact sosial pelajar-pelajar di dalam sekolah adalah yang kedua lamanya selepas di rumah. Masa contact ini dan kajian-kajian di atas jelas menunjukkan betapa mustahaknya peranan sekolah. Peranan institusi sekolah ini adalah setaraf dengan peranan institusi kekeluargaan di dalam membentuk mental dan rohani pelajar-pelajar. Malah atmosfera di dalam sekolah akan menentukan kesudahan corak jiwa pelajar di peringkat remaja ini .

Disebabkan itulah segala usaha perlu disegerakan di masa pelajar-pelajar berada di institusi yang kecil dan terkawal ini iaitu di sekolah. Kita perlukan suatu kaedah pencegahan untuk memastikan nilai-nilai negatif ini dapat dibendung daripada terlepas dari kawalan kita. Di samping itu, perlu diwujudkan satu tindakan susulan untuk menghilang atau mengurangkan masalah sebenar pelajar-pelajar.

Justeru itu, pihak-pihak berkuasa perlu lebih proaktif dan bersegera di dalam menangani masalah ini. Sistem-sistem pendidikan sekarang mestilah dikemaskinikan agar lebih fleksibel dan sesuai dengan orde masyarakat hari ini dan masa hadapan.


Hukuman

Buku Developmental Psychology: Childhood & Adolescence (4th edition, 1996) telah menggariskan beberapa cara pencegahan untuk permasalahan di atas. Di antaranya ialah:-

· Penumpuan lebih dan membantu pembelajaran pelajar bermasalah ini agar setanding dengan pelajar-pelajar lain di sekolah. Bukannya dengan mengkritik atau menyisihkan mereka.

· Mengadakan suatu stimulus yang dapat menimbulkan rasa minat dan berguna mereka di sekolah.

· Mendekati dan memahami mereka secara ikhlas dan mendalam. Guru-guru keseluruhannya hendaklah juga mengajar mereka sikap-sikap yang baik agar mereka dapat berinteraksi kembali dengan pelajar-pelajar keseluruhannya. Bukannya dengan membebankan masalah pelajar-pelajar kepada guru disiplin atau unit kaunseling sahaja.

· Membantu ibubapa mempelajari teknik pengurusan anak yang lebih efektif.

Kaedah di atas amat perlu diutamakan di dalam pengubahsuaian sistem institusi sekolah. Biarpun hasil perlaksanaannya mengambil masa yang lama tetapi ianya lebih kekal dan berjaya mengurangkan respon negatif dan masalah sebenar pelajar ini(Mynatt & Doherty, 1998).

· Pendekatan sistem hukuman (punishment) sekarang, mesti diubah dan dianjakkan kepada memfokuskan usaha-usaha murni bagi mengisi kekosongan jiwa pelajar-pelajar malang ini. Kaedah hukuman atau punishment yang dipraktikkan selama ini seperti merotan, gantung sekolah dan lain-lain sebenarnya akan menghasilkan respon yang dikehendaki dengan cepat tetapi ianya bersifat sementara dan kerap tidak berjaya menyelesaikan masalah sebenar pelajar ini.


Sayangnya, walaupun kaedah ini sudah tidak sesuai lagi sekarang, ianya terus menjadi pilihan utama. Ia adalah disebabkan oleh desakan sistem yang inginkan respon yang cepat dan juga oleh persepsi fixed ideas masyarakat sendiri.

· Guru-guru pula perlu lebih tangkas mengesan perubahan sikap pelajar, mengenalpasti masalah, prihatian dan membantu menyelesaikan masalah pelajar mereka. Guru-guru perlu mengenengahkan sikap-sikap lain yang ada di dalam peribadi pelajar-pelajar ini. Pelajar-pelajar bermasalah ini pasti mempunyai sikap-sikap murni yang boleh diterima umum tetapi selama ini terpendam akibat dibayangi oleh sikap anti-sosial yang terlalu dominan di dalam personaliti mereka ataupun yang terbantut disebabkan persepsi negatif masyarakat ke atas mereka. Sikap-sikap murni ini perlu dikembangkan agar ianya dapat menguasai kembali jiwa mereka.

Pendekatan Lain


· Pengasingan pelajar-pelajar di dalam kelas-kelas yang berdasarkan kepada kepandaian dan merit kini perlu dikaji semula. Kelas sepatutnya mempunyai pelajar-pelajar yang dipilih secara rawak. Dengan cara ini akan berkuranglah terbentuknya geng-geng jahat seperti sekarang ini. Dalam masa yang sama guru-guru akan dapat mengajar dengan lebih saksama dan semangat sihat seperti berlumba-lumba untuk mencari ilmu akan tercapai di antara pelajar-pelajar..

· Saya rasa perlu juga dislotkan masa ‘perjumpaan dengan guru kelas’ di dalam jadual waktu sekolah sekarang.. Masa ini bukan untuk mengajar dan belajar tetapi satu slot khas untuk pelajar-pelajar menanyakan masalah mereka agar dapat dikongsi bersama guru-guru. Cara ini amat baik kerana ianya akan menimbulkan rasa minat dan bergantung pelajar-pelajar kepada guru . Bila masalah disiplin pelajar terjadi, guru-guru diberikan keistimewaan untuk berjumpa dan berbincang dengan ibubapa pelajar tersebut, di slot masa ‘perjumpaan dengan guru kelas’ tersebut.

· Guru-guru juga perlu diringankan tugas mereka. Saya rasa perlu ditubuhkan satu organisasi profesional lain yang bertanggungjawab untuk menyediakan mode-mode rangka pelajaran yang canggih dan menarik, menyediakan dan memeriksa kertas peperiksaan . Dengan cara ini, teknik pengajaran guru-guru akan menjadi tersusun, menarik dan dikagumi oleh pelajar-pelajar dan ibubapa. Di samping itu, guru-guru akan mempunyai lebih masa bersama-sama pelajar untuk mengulangkaji pelajaran .

· Sekolah-sekolah perlu berkonsepkan mini universiti. Peperiksaan di sekolah perlu meniru sistem Cummulative Grading Points Average (CGPA) di mana setiap markah yang diperolehi daripada setiap ujian, projek, persatuan dan peperiksaan akan menyumbang kepada markah akhir pelajar tersebut. Sistem ini akan memaksa pelajar-pelajar lebih aktif di dalam aktiviti sekolah dan juga belajar dengan lebih konsisten.

· Jika diamati dengan teliti, guru-guru kelas yang juga mengajar matapelajaran tertentu, terpaksa ‘berpindah-randah’ di antara kelas-kelas untuk mengajar subjek tersebut. Saya rasa mungkin telah tiba masanya untuk kita menterbalikkan senario ini. Jadi konsep mencari ilmu yang ditekankan selama ini bukan setakat hadir di sekolah sahaja, tetapi juga berusaha mencari guru-guru mereka. Kelas-kelas yang dahulunya diberikan nama seperti 3 Biru, 3 Hijau dan sebagainya, perlu dispesifikkan kepada setiap mata pelajaran, contohnya Makmal Bahasa Malaysia, Makmal Matematik dan sebagainya. Guru-guru yang mengajar subjek-subjek tersebut akan diberi penghormatan untuk menggunakan kelas tersebut sebagai bilik utama mereka dan bukannya meja-meja kecil seperti di bilik guru sekarang. Bilik guru ini nanti boleh digunakan sebagai bilik rehat eksklusif untuk mereka yang lengkap dengan peralatan media dan komputer bagi meningkatkan professionalisme dan motivasi mereka.

· Di masa yang sama, perlu diadakan badan profesional yang lain yang dapat memberikan kaunseling dan berupaya menyelesaikan masalah keluarga pelajar-pelajar tersebut. Ibubapa akan diberi tunjuk ajar dan semangat baru untuk memimpin keluarga mereka dengan lebih efektif.

· Kaedah-kaedah yang bersifat superficial seperti Kelab Cegah Jenayah, pelajaran mencegah jenayah atau cadangan menambah kuasa kepada guru-guru, guru disiplin dan guru besar mungkin tidak akan tercapai matlamatnya. Kaedah-kaedah ini hanya mampu membantutkan (suppress) ransangan emosi negatif tetapi tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebenar pelajar-pelajar ini. Jika tersilap langkah dan tidak tepat kesasarannya, kaedah-kaedah ini mungkin akan menjadi sumber provokasi terbaru di dalam kekusutan fikiran pelajar-pelajar ini.

Kesimpulan

Saya percaya yang kita tidak dapat menyalahkan satu pihak sahaja di dalam hal ini tetapi saya pasti kesalahannya adalah terletak di bahu semua orang dewasa yang selama ini leka, tidak prihatin dan sensitif. Orang dewasa bersalah kerana gagal memanipulasikan sistem keluarga, pelajaran, sekolah dan masyarakat untuk kebaikan pelajar-pelajar ini. Akibatnya, pelajar-pelajar ini yang terpaksa menanggung kekecewaan dan kesengsaraan sendirian, semata-mata angkara kesilapan orang dewasa itu sendiri!

Jambatan Pulau Pinang, kereta nasional Malaysia ataupun perlaksanaan sekatan matawang di masa kegawatan ekonomi, yang dulunya dirasakan tidak orthodoks, telah berjaya menampakkan hasil dan keuntungan. Maka saya fikir telah tiba masanya untuk kita melaksanakan pendekatan radikal di dalam membenteras kepincangan pemikiran pelajar-pelajar ini. Kaedahnya mungkin dirasakan radikal atau berlainan dari kebiasaannya sekarang, tetapi dengan berpandukan kajian, pegangan agama dan logik, ianya akan berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang berintelek lagi berakhlak tinggi di masa hadapan.

Kita mesti sedar bahawa negara kita masih di dalam tahap negara membangun lagi. Kita masih lagi berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan dan kerelevanan negara kita di dunia ini. Untuk itu, penggemblengan usaha diperlukan dari setiap rakyat Malaysia. Kita tidak mampu untuk membazirkan tenaga rakyat sendiri walaupun hanya satu, biarpun ianya seorang manusia yang bergelar pelajar bermasalah.

Thursday, January 18, 2007

Impak Pilihanraya

Dr Novandri Hasan Basri

Sesuatu pertandingan di dalam pilihanraya akan bakal mewujudkan dua emosi yang berlainan. Ada yang gembira dan ada yang kecewa. Dan pertembungan kelompok yang mempunyai emosi yang saling berantagonis ini akan bakal membentuk satu jurang silaturahim yang agak sukar untuk diperbaiki. Perkara ini tidak dapat dielakkan.

Malangnya, senario ini sering berlaku. Komplikasi bertambah berat apabila kelompok tersebut menganggap parti politik itu adalah cara hidup mereka. Maka berlakulah isu perpecahan kaum Melayu, kafir mengafir dan sebagainya.

Realitinya, isu-isu di atas memerlukan waris bangsa Melayu yang mampu berfikir secara logik, matang dan berwawasan jauh. Kita patut mengambil iktibar daripada segala peristiwa suka duka yang pernah mewarnai bangsa Melayu selama ini. Malah, pengetahuan dan kesedaran mengenai sejarah silam ini akan dapat mencelikkan hati kita untuk memahami komposisi masa hadapan dengan lebih jelas.

Di usia muda, kita mungkin kurang berpengalaman untuk merasai kepentingan pelajaran, ekonomi, perpaduan dan kesatuan bangsa sehinggakan ada yang tidak ambil peduli atau pun senang dihasut oleh pihak-pihak tertentu.

Dan tanpa pengalaman, sukar untuk kita menjiwai segala perit maung yang di alami oleh generasi-generasi sebelum kita di dalam mempertahankan ketuanan dan kerelevanan bangsa Melayu.

Perlu diingat bahawa, kesimpulan sejarah silam mengenai keruntuhan tamadun-tamadun bangsa lain di dunia ini menuntut kita untuk berfikir dan bertindak menjauhi segala yang boleh menjerumuskan kita kepada kehancuran bangsa.

Akhir sekali, kita perlu sedar bahawa bangsa yang paling rugi bukanlah bangsa yang telah melakukan kesilapan tetapi bangsa yang tidak mahu belajar dari kesilapan mereka sendiri, malah terus mengulangi kesilapan tersebut!

ARTIKEL TOP MINGGU INI.