Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Thursday, January 18, 2007

Impak Pilihanraya

Dr Novandri Hasan Basri

Sesuatu pertandingan di dalam pilihanraya akan bakal mewujudkan dua emosi yang berlainan. Ada yang gembira dan ada yang kecewa. Dan pertembungan kelompok yang mempunyai emosi yang saling berantagonis ini akan bakal membentuk satu jurang silaturahim yang agak sukar untuk diperbaiki. Perkara ini tidak dapat dielakkan.

Malangnya, senario ini sering berlaku. Komplikasi bertambah berat apabila kelompok tersebut menganggap parti politik itu adalah cara hidup mereka. Maka berlakulah isu perpecahan kaum Melayu, kafir mengafir dan sebagainya.

Realitinya, isu-isu di atas memerlukan waris bangsa Melayu yang mampu berfikir secara logik, matang dan berwawasan jauh. Kita patut mengambil iktibar daripada segala peristiwa suka duka yang pernah mewarnai bangsa Melayu selama ini. Malah, pengetahuan dan kesedaran mengenai sejarah silam ini akan dapat mencelikkan hati kita untuk memahami komposisi masa hadapan dengan lebih jelas.

Di usia muda, kita mungkin kurang berpengalaman untuk merasai kepentingan pelajaran, ekonomi, perpaduan dan kesatuan bangsa sehinggakan ada yang tidak ambil peduli atau pun senang dihasut oleh pihak-pihak tertentu.

Dan tanpa pengalaman, sukar untuk kita menjiwai segala perit maung yang di alami oleh generasi-generasi sebelum kita di dalam mempertahankan ketuanan dan kerelevanan bangsa Melayu.

Perlu diingat bahawa, kesimpulan sejarah silam mengenai keruntuhan tamadun-tamadun bangsa lain di dunia ini menuntut kita untuk berfikir dan bertindak menjauhi segala yang boleh menjerumuskan kita kepada kehancuran bangsa.

Akhir sekali, kita perlu sedar bahawa bangsa yang paling rugi bukanlah bangsa yang telah melakukan kesilapan tetapi bangsa yang tidak mahu belajar dari kesilapan mereka sendiri, malah terus mengulangi kesilapan tersebut!

ARTIKEL TOP MINGGU INI.