FACEBOOK DR MIM

Saturday, September 01, 2007

Realiti Ketidakseimbangan Kaum Dalam Pekerjaan

Dr Novandri Hasan Basri

Teguran Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengenai tindakan sesetengah majikan swasta mensyaratkan bahasa Mandarin dalam kriteria pengambilan pekerja sebagai berat sebelah, amat dialu-alukan dan perlu dipandang serius.

Ini adalah kerana, jika kita selidiki, isu ini pernah timbul suatu ketika dulu. Ianya kembali tenggelam kerana topik tersebut tidak lagi hangat. Polemik isu ini yang timbul-tenggelam ini pastinya telah menimbulkan pelbagai soalan yang bermain di fikiran kita semua.

Apakah wujud parameter untuk memastikan majikan-majikan swasta benar-benar tidak lagi mensyaratkan penguasaan bahasa Mandarin dalam kriteria pengambilan pekerja baru? Apakah dengan tidak meletakkan kriteria tersebut di dalam iklan-iklan akan turut diikuti dengan penilaian memilih pekerja-pekerja yang tidak juga mensyaratkan penguasaan bahasa Mandarin?

Soalan-soalan di atas amat sukar untuk kita jawab kerana jawapannya melibatkan faktor perasaan yang sangat subjektif dan juga faktor perkauman yang tidak akan dapat dikuantitikan. Dan jika kita tidak dapat menkuantitikan faktor-faktor ini, kita tidak akan dapat memperbetulkan ketidakseimbangan tersebut dengan apa juga kaedah kecuali melalui kesedaran yang datang daripada majikan-majikan itu sendiri.

Realitinya, kita hanya mampu menegur serta menasihat dan terpulanglah kepada majikan-majikan tersebut untuk membuka hati mereka dan menerima kaum-kaum lain di dalam syarikat mereka.

Malangnya, kewujudan iklan-iklan yang masih meletakkan kriteria bahasa Mandari di dalam iklan kerja mereka pada hari ini , jelas memberikan satu petunjuk bahawa sesetengah daripada mereka itu berfikiran sempit serta berbau perkauman yang masih tebal.

Dalam masa yang sama, jika majikan-majikan tersebut tidak lagi meletakkan kriteria bahasa Mandarin di dalam iklan-iklan kerja mereka, ianya tidak bermakna isu ini telah selesai. Bakal-bakal pekerja tersebut akan terpaksa melalui sesi temuramah dan semasa itu, penguasaan bahasa Mandarin yang tidak dipamerkan tadi tetap akan dijadikan kriteria secara senyap-senyap.

Ketika itu, tindakan majikan-majikan tersebut amat susah untuk dibuktikan kerana kriteria bahasa Mandarin kini tidak lagi di catit di mana-mana kecuali yang tersirat di dalam benak fikiran majikan-majikan tersebut.

Apakah kita mampu untuk membuktikan kewujudan konsep polarisasi kaum di dalam memilih pekerja-pekerja baru yang tertanam di hati sesetengah majikan di negara ini?

Begitu juga dengan ketidakseimbangan yang berlaku di dalam harirki jawatan-jawatan di sesetengah syarikat swasta yang menjuruskan kepada polarisasi kaum yang berat sebelah. Jawatan-jawatan penting dipegang oleh sesuatu kaum manakala jawatan-jawatan rendah dipegang oleh kaum Melayu dan bumiputera. Sungguh pun keseluruhan peratusan menunjukkan keseimbangan kaum tetapi hakikinya, ianya amat berat sebelah.

Dalam masa yang sama, kita perlu juga faham kepada struktur-struktur perniagaan dan syarikat-syarikat yang wujud di negara ini. Lebih-lebih lagi di era globalisasi ini di mana bakal-bakal pekerja tidak boleh rigid dan hanya tahu didalam satu kemahiran sahaja.

Era ini memerlukan bakal-bakal pekerja yang mempunyai added advantages dan multi-purpose termasuk juga kemahiran di dalam pelbagai bahasa antarabangsa.

Kewujudan kriteria bahasa Mandarin sepatutnya tidak akan melemahkan semangat bakal-bakal pekerja. Malah, ianya perlu dilihat daripada perspektif yang lebih positif.

Realitinya, Melayu kita akan tidak kurang jika kita dapat menguasai bahasa Mandarin atau pun bahasa-bahasa yang lain. Yang pentingnya, bangsa Melayu perlu berkebolehan dan lebih berani untuk berjaya.

ARTIKEL TERPANAS MINGGU INI.