FACEBOOK DR MIM

Thursday, October 19, 2006

Kemalangan Jalanraya : Dari Perspektif Ilmiah

Dr Novandri Hasan Basri

Slogan ‘Pandu cermat jiwa selamat’ dan ‘malang tidak berbau’ mempunyai intipati pengertian yang sangat jelas. Kita semua tahu dan setuju bahawa memandu laju, tidak berhemah, tidak bertimbangrasa, fizikal pemandu yang letih atau mengantuk, faktor cuaca, kondisi jalanraya dan kenderaan merupakan respons-respons yang lumrah kita berikan kepada isu kemalangan dan kematian di jalanraya.

Realitinya, masalah kemalangan di jalanraya adalah masalah global di mana penduduk dunia berkongsi nilai peratusan penyebab kemalangan yang hampir sama : 85% - faktor pemandu, 5% - faktor mesin, 10% - faktor persekitaran.

Jika kita layari internet, terdapat halaman-halaman web yang mempunyai topik pengkhususan mengenai kemalangan jalanraya. Halaman-halaman web ini amat berinformatif, membincangkan pelbagai perspektif kemalangan di jalanraya, mitos dan faktanya, persepsi masyarakat dan pihak berkuasa, segi psikologi dan sosialnya, hipotesis, penyelidikan serta pembentangan kertas kerja yang amat komprehensif. Di antaranya ialah www.drivers.com , www.apa.org , www.jpj.gov.my , www.jpjsabah.gov.my , www.trinity.edu dan www.visualexpert.com.

Halaman web JPJ Sabah www.jpjsabah.gov.my telah menggariskan konsep pemandu berhemat yang bermaksud pemanduan yang dilakukan oleh seseorang pemandu yang mempunyai pengetahuan tentang peraturan-peraturan lalulintas, kemahiran yang tinggi dalam aspek pemanduan, sikap yang betul ketika memandu serta sentiasa bersedia dengan mengenalpasti, menganalisa, membuat keputusan dan bertindak terhadap halangan yang sama ada disebabkan oleh pengguna jalalanraya atau halangan semulajadi yang wujud.

Apakah sebenarnya faktor-faktor psikososial dan intrinsik manusia yang mendorong kita melakukan kesalahan lalulintas serta berlakunya kemalangan di jalanraya?

Menurut Marc Green & John Senders dalam kajian mereka yang bertajuk ‘Human Error in Road Accident’ (www.visualexpert.com) mengatakan bahawa jawapannya terletak kepada limitasi semulajadi pemprosesan informasi manusia (inherent limitation human information processing) di mana manusia bergantung kepada 3 fungsi mental yang tak sempurna (imperferct): persepsual (perceptual), tumpuan (attention) dan memori. Kegagalan untuk menggunakan fungsi-fungsi mental tersebut serta ketidaksempurnaan manusia akan menyebabkan berlakunya kemalangan.

Kajian juga mengatakan bahawa terdapat 3 sebab asas yang menyebabkan berlakunya kemalangan. Pertama, kesilapan persepsual (perceptual error) dan salahpertimbangan persepsual (perceptual misjudgement).

Kesilapan persepsual ialah apabila stimuli-stimuli kritikal di jalanraya adalah di bawah threshold deria penglihatan seseorang pemandu, contohnya akibat lampu malap, cuaca buruk atau silauan. Salahpertimbangan persepsual ialah apabila pemandu gagal menilai jarak dan kelajuan kenderaan yang lain atau menilai darjah belokan kenderaannya.

Kedua, hilang tumpuan atau kegagalan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya, sungguh pun pemandu berjaya mengesan stimuli-stimuli kritikal semasa memandu. Contohnya menggunakan telefon bimbit atau mengantuk.

Terdapat juga kes di mana pemandu mengatakan bahawa mereka ‘tidak nampak’ kenderaan yang lain. ‘Inattentional blindness’ ini berlaku apabila stimuli-stimuli terletak di luar skop tengah penglihatan (centre visual field) seseorang pemandu. (Mack & Rock, 1998)

Ketiga, kemalangan boleh berlaku apabila pemandu gagal untuk memilih respons yang betul walau pun beliau telah berjaya memproses informasi serta stimuli di jalan raya. Atau pun, pemandu mungkin telah memilih keputusan yang betul tetapi beliau gagal untuk melaksanakannya.

Tingkah laku dan personaliti seseorang pemandu juga memainkan peranan di dalam berlakunya sesuatu kemalangan. (I.M McNally & M.Stone, Universiti Central Lancashire, UK). Kajian mengatakan bahawa pemandu yang berpersonaliti jenis-A (Type-A Behaviour Pattern (TABP)) mempunyai risiko yang amat tinggi.

Individu ini menunjukkan 3 karakter yang tertentu iaitu kompetetif, mahu lekas dan cepat marah atau senang tercabar. (Chesney, Frautschi & Rosenman, 1985; Friedman & Rosenman, 1974; Jenkins, 1976). Golongan ini berkemungkinan besar memanifestasikan 3 karakter mereka di jalanraya disebabkan oleh rangsangan yang mereka terima seperti kesesakan jalanraya atau keagresifan pemandu yang lain.

Secara sedar atau tidak, terdapat beberapa persepsi ‘palsu’ masyarakat dan pengguna jalanraya,

1. Meningkatan tahap laju di jalanraya adalah kos efektif dan sesuai dengan kemajuan teknologi kenderaan masa kini.
Realitinya, persepsi ini tidak berapa benar. Ilmu fizik (law of physics) mengatakan bahawa tenaga impak yang diterima oleh pemandu dan penumpang kenderaan semasa perlanggaran, meningkat secara non-linear dengan kelajuan kenderaan itu. Maksudnya, lagi laju sesebuah kenderaan itu, lagi tinggi risiko berlakunya kecederaan teruk atau maut semasa kemalangan. (www.usw.com).

Dari konteks sosioekonomi negara ini, meningkatkan tahap laju di jalanraya hanyalah akan memuaskan hati segolongan pengguna jalanraya sahaja tapi akan memudaratkan pengguna jalanraya lain. Pemindaan undang-undang lalulintas yang menguntungkan hanya satu pihak ini perlu diperbetulkan dengan segera. Kita perlu ingat bahawa usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan kehilangan jiwa di jalanraya ini memerlukan sokongan dari semua pihak, yang berkenderaan besar dan kecil.

2. Remaja dan orang muda mesti berani.
Persepsi umum mengatakan bahawa remaja dan orang muda mesti berani menghadapi segala cabaran. Sukan-sukan lasak atau seni mempertahankan diri memerlukan remaja dan orang muda yang berani. Kalau tidak berani, mereka akan dianggap lembik, tidak gagah, tidak macho atau tidak ‘jantan’. Persepsi masyarakat keseluruhan ini ada kebenarannya tetapi malangnya, kegagalan untuk mengasingkan sikap berani semasa bersukan dengan berani di jalanraya, boleh mendatangkan musibah!

Ramai di antara mereka akan berlagak berani semasa memandu kereta atau menunggang motosikal. Golongan muda juga mempunyai rangsangan tinggi untuk mencari sensasi (sensation seeking) dengan memandu secara bahaya atau menunggang motosikal dengan laju (I.M McNally & M.Stone, Universiti Central Lancashire, UK).

Dengan cara itu, mereka akan dipandang sebagai ‘jantan’ dan berani oleh rakan-rakan sebaya mereka.

Realitinya, gaya hidup yang berisiko tinggi ini mesti dicegah sama sekali. Percayalah, perlumbaan haram tidak akan menjadi jika tidak ada yang menonton aksi mereka dan tidak memperdulikan mereka langsung!

3. Kengerian dan kegelisahan yang di rasa akan menginsafkan kita semua.

Kita gerun dan sedih dengan pelbagai peristiwa kemalangan demi kemalangan yang kita baca dan lihat di media-media. Tetapi satu fakta yang amat nyata ialah bahang kegelisahan dan komitmen yang kita rasai sejak 4 minggu yang lalu, hanyalah akan bertahan untuk sementara waktu sahaja.

Masanya akan tiba apabila kita semua kembali komplesen serta relaks sehinggalah ke musim ‘kemalangan - balik kampung’ yang akan datang. Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan di mana secara relatifnya, lebih kerap dan signifikan di masa-masa hari perayaan akan berkurangan selepas perayaan tersebut.

Kajian mengatakan bahawa terdapat fenomena ‘the theory of games’ di mana berlaku di antara pemandu dan pihak berkuasa (www.drivers.com). Sikap pemandu banyak berubah serta bertambah baik, setiap kali hadirnya pihak berkuasa dan juga peningkatan tahap penguatkuasaan undang-undang lalulintas. Berkurangnya pemandu yang melakukan kesalahan akan menyebabkan bebanan pihak berkuasa turut berkurang.

Maka dengan itu bilangan pihak berkuasa yang terlibat akan juga dikurangkan dan disalurkan kepada isu-isu lain yang memerlukan kakitangan tambahan. Apabila ini berlaku, tahap penguatkuasaan undang-undang lalulintas akan menjadi rendah kembali dan pihak pemandu akan mengulangi segala sikap negatif mereka di jalanraya. Kitaran tidak stabil ini terus berlaku. (Bjornskau & Elvik, 1992)

Makanya, untuk memastikan kesalahan-kesalahan dan sikap negatif di jalanraya dapat dibendung dengan jayanya, intensiti penguatkuasaan undang-undang lalulintas mesti sentiasa berada di tahap yang maksima.

Halaman web JPJ Sabah (www.jpjsabah.gov.my) mempunyai topik ‘Kurikulum Pendidikan Pemandu’ (KPP) yang perlu kita teliti dan praktikkan. Di antara lain, ianya menerangkan definasi Konsep Pemanduan Berhemat, langkah mencegah berlakunya kemalangan dan pemandu sempurna.

Selain daripada itu kurikulum ini turut menyentuh pengurusan ketegangan ‘stress management’ di mana ianya sangat relevan kepada pemandu yang berpesonaliti jenis-A (Type-A behavioural pattern).

Untuk pengetahuan semua, terdapat satu ‘standard formula’ untuk mencegah kemalangan :
D - Define (Mengenalpasti bahaya)
A - Analyse (Menganalisa)
D - Decide (Membuat keputusan)
A - Act (Bertindak)


Kesimpulannya, jika berdasarkan kepada segala fakta di atas, apa yang diperlukan sekarang sebenarnya ialah untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan undang-undang lalulintas. Bilangan pihak berkuasa yang terlibat secara langsung di jalanraya mesti cukup setiap masa supaya kehadiran mereka itu sentiasa dirasai oleh pengguna jalanraya. Kitaran ‘the theory of games’ seperti yang saya terangkan pada awal artikel ini, mesti dibendung.

Penggunaan kamera di simpang-simpang dan untuk merekodkan kelajuan sesebuah kenderaan perlu ditambah. Tetapi kajian dari pihak Royal Automobile Club Foundation (RACF) di England mengatakan bahawa walau pun kamera-kamera ini praktikal digunakan tapi kehadiran pihak berkuasa masih amat diperlukan setiap waktu kerana pemandu yang mempunyai rekod jenayah, agresif, khayal kerana arak atau dadah, mengantuk, tidak berlesen, memotong dengan bahaya atau yang menggunakan telefon bimbit tidak dapat dirakam oleh kamera-kamera yang sedia ada.

Malah, satu laporan yang disiarkan di jurnal perubatan The Lancet pada 20 Jun 2003 mengatakan bahawa tiket saman mampu mengurangkan kemalangan dan kehilangan jiwa! Kajian itu telah dilakukan oleh Dr Robert Tibshirani dari Fakulti Perubatan Unversiti Stanford.

Beliau mengatakan bahawa tiket saman akan meninggalkan impak yang sangat mendalam dan tersemat di fikiran pemandu-pemandu, untuk sekurang-kurangnya berberapa minggu. Impak ini akan menyebabkan seseorang pemandu itu lebih berhati-hati dan lebih berhemat.

Jika kita layari halaman web www.jpj.gov.my , Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) mempunyai satu sistem baik yang dinamakan Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalanraya atau KEJARA. Ianya adalah sistem pemberian mata demerit kepada pemandu-pemandu kenderaan yang telah disabitkan kesalahan samada melalui bayaran kompaun (polis atau JPJ) atau denda (mahkamah) bagi kesalahan laluilintas. Buat masa ini, sistem KEJARA ini ditujukan khas kepada pemandu-pemandu kenderaan yang memiliki lesen memandu CDL dan Lesen Memandu Percubaan.

Selain daripada itu, sistem ini juga mempunyai kursus pemulihan kepada pemandu yang digantung lesennya. Malah, KEJARA turut memperuntukkan pemberian bonus kepada pemandu-pemandu CDL yang mendapat mata demerit yang kurang daripada 15 mata, jika tidak melakukan apa-apa kesalahan lalulintas selama tempaoh 24 bulan berturut-turut. Secara keseluruhannya sistem KEJARA ini amat baik sekali dan wajar dipertimbangkan serta diperluaskan kepada seluruh pemandu kenderaan.

Satu kajian komprehensif juga sedang dijalankan di UK untuk mengkaji keefektifan sistem ‘External Vehicle Speed Control’ (EVSC), satu sistem yang akan menghadkan kelajuan maksima semua kenderaan di negara tersebut.

Keputusan awal kajian ini menganggarkankan bahawa sistem ini dapat mengurangkan jumlah kemalangan sebanyak 35%! (www.drivers.com). Saya dapati bahawa nilai peratusan hasil dari kajian ini sangat signifikan dan sistem EVSC ini patut diambil kira dengan serius oleh pihak berkuasa negara ini.

Penguatkuasaan undang-undang untuk menghadkan kelajuan kenderaan berat juga perlu di percepatkan. Alasan tidak kos efektif tidak boleh dijadikan sandaran apabila kita membincangkan harga nyawa seseorang pengguna jalanraya!

Apakah perlunya berlaku lagi kes 12 orang penumpang bas ekspres yang terbunuh di kilometer 63, Jalan Lipis-Merapoh atau seorang kanak-kanak kecil yang terputus kepalanya di sebabkan oleh sebuah lori?

Seperkara lagi, kita tentu masih ingat dengan pengakuan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMSM) pada tahun 2004. Beliau mengakui bahawa terdapat pemandu bas yang bekerja sehingga melebihi 24 jam atau 35 jam tanpa rehat semata-mata mahu mendapat pendapatan lebih.

Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat juga pengusaha syarikat bas yang memaksa pemandu masing-masing memandu tanpa pemandu gantian, terutamanya bagi perjalanan jarak jauh.

Ada pihak yang mendedahkan tentang kesukaran untuk mendapat barang ganti serta kelemahan kotak hitam yang di pasang di kenderaan-kenderaan berat. Segala isu ini mesti ditangani dengan segera. Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan dengan seberapa cepat yang mungkin sebelum tibanya musim-musim perayaan yang lain.

Persoalannya, apakah kita telah bersedia? Atau, apakah kita baru hendak tersedar semula?

3 comments:

  1. salam.

    saya suka kan artikel anda tentang kemalangan jalan raya dari perspektif ilmiah. artikel penulis telah membantu saya untuk membuat karangan tentang isu ini untuk di bentang kan di dalam kelas nanti. terima kasih kepada penulis.

    ReplyDelete
  2. salam.

    saya suka kan artikel anda tentang kemalangan jalan raya dari perspektif ilmiah. artikel penulis telah membantu saya untuk membuat karangan tentang isu ini untuk di bentang kan di dalam kelas nanti. terima kasih kepada penulis.

    ReplyDelete
  3. saya pown suka artikel anda kerana saya boleh bt assignment kmputer...haha.....

    ReplyDelete

ARTIKEL TERPANAS MINGGU INI.