JOIN FACEBOOK DR MIM

Sunday, June 15, 2008

Bicara Pakar Ekonomi - Sudut Ilmiah Isu Kenaikan Harga Minyak Mentah

Dr Novandri Hasan Basri

Mingguan Malaysia hari ini telah menyiarkan satu temuramah yang sangat menarik dan membuka minda ini. Ianya adalah di antara pihak Mingguan Malaysia dengan seorang pakar ekonomi, yang juga pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Amir Hussin Baharudin.

Beliau telah menjelaskan secara ilmiah dan terperinci mengenai isu minyak mentah yang melambung tinggi dan implikasi-implikasinya kepada kerajaan dan rakyat di Malaysia.

Selama ini, penulis hanya membaca pandangan pihak-pihak yang tidak berapa faham mengenai kronologi isu kenaikan minyak mentah dan petrol ini. Penjelasan mereka itu membuatkan penulis bertambah bingung kerana ianya tidak berlandaskan kepada ilmiah yang mendalam dan fakta-fakta yang telah dikaji.

Di antara lain, Dr Amir mengatakan bahawa dakwaan pihak pembangkang bahawa mereka boleh menurunkan harga petrol adalah merupakan dakwaan yang tidak munasabah.

Dalam erti kata yang lain, pembangkang cuma beromong kosong dan dakwaan itu hanya merupakan mainan politik untuk menarik hati rakyat agar menyokong mereka. Pada hal, jika dikaji dengan terperinci, dongengan pihak pembangkang itu bakal menjuruskan kepada tahap inflasi yang lebih tinggi di masa depan.

Rakyat seperti penulis dan para pembaca sekalian tentu tergerak hati ini untuk menerima bulat-bulat dakwaan pihak pembangkang itu.

Dan permainan politik ini mungkin berhasil kerana pembangkang tahu, tidak berapa ramai di antara rakyat Malaysia yang benar-benar mahir di dalam bab ekonomi.

Dan kerana itu, terdapat rakyat yang senang percaya kepada sesiapa sahaja yang kononnya mampu meringankan beban mereka walau pun ia sebenarnya hanya manis di bibir sahaja

Kesempatan itu digunakan oleh pihak tersebut, atas satu motif sahaja iaitu mahukan kuasa tanpa sebenarnya mementingkan kepentingan kita semua. Itu sahaja.

Maka kerana itu, penulis telah menyimpan wawancara Utusan Malaysia dengan Prof. Dr Amir Hussin di dalam blog ini untuk dijadikan sumber rujukan ilmiah yang berkualiti agar penulis faham dan tidak senang di tipu oleh pihak-pihak yang mahu mengambil kesempatan.

Penulis pasti para pembaca sekalian tentu bersetuju bahawa banyak perkara yang dibincangkan di dalam temuramah tersebut telah membuka minda kita untuk lebih memahami isu kenaikan minyak mentah dunia dan petrol.

Secara peribadi, penulis kenal dengan Prof. Dr Amir Hussin kerana beliau dan famili beliau pernah mengunjungi klinik penulis. Walau pun klinik penulis bukan panel untuk USM, beliau dan famili beliau telah beberapa kali datang ke klinik penulis untuk mendapatkan rawatan.

Apa yang penulis boleh katakan ialah setiap kali Dr Amir Hussin dan famili beliau datang ke klinik, penulis looking forwad untuk berbicara dengan beliau. Mana tidaknya, beliau merupakan cendiakawan dan pemikir ekonomi yang di kenali ramai di dalam USM.

Mungkin jika Dr Amir datang sekali lagi ke klinik, penulis akan menjemput beliau di dalam program e-temuramah kelolaan Minda Intelek Melayu dan surfers sekalian boleh mengemukakan soalan-soalan untuk beliau jawap. Insyaallah.

Ikutilah bicara pakar ekonomi ini:-

Fahami Langkah Kerajaan

Mingguan Malaysia

MINGGUAN: Kenapakah harga minyak dunia melonjak begitu tinggi sehingga memaksa kerajaan menaikkan harganya?

DR. AMIR HUSSIN: Sebenarnya dalam soal minyak ini, banyak fakta yang Malaysia tidak tahu, ia termasuklah juga dari segi kos cari gali. Malah dalam satu laporan mengenai minyak yang saya terima dari Denmark, mereka juga tidak menyatakan sebab utama kenapa harga minyak terpaksa dinaikkan.

Apa yang mereka jelaskan kononnya bahan bakar itu sudah hendak habis.

Dakwaan seumpama itu, saya fikir sudah disebut 50 tahun lalu tetapi sampai sekarang minyak tidak juga habis. Oleh itu punca sebenar kita tidak tahu, apa yang boleh kita lakukan ialah menaikkan harga mengikut pasaran dunia.

Dulu harga hanya sekitar AS$80 setong tetapi kini mencecah AS$134 setong.

Ertinya, dalam soal kenaikan harga ini, kita tidak dapat elak kerana ia adalah percaturan antarabangsa. Kita juga diberitahu kenaikan ini ada kaitan dengan penggunaan dolar bagi harga minyak.

Ketika ini nilai dolar menurun, ini jelas apabila RM1 bersamaan dengan RM5.10 sedangkan dalam dolar ia hanya RM3.08 sen. Itu menunjukkan harga euro meningkat dan harga dolar jatuh.

Apabila harga dolar jatuh, apa-apa yang disebut atau diperdagangkan dalam Dolar akan meningkat harganya. Itu sebab utama minyak mencecah sehingga AS$134 setong.

Persoalan juga timbul kenapa minyak tidak dijual dalam euro?

Bagi saya, ia tidak boleh dilakukan sekarang kerana negara-negara yang terlibat dalam soal minyak mempunyai kepentingan, mereka melakukan simpanan dalam mata wang dolar. Namun begitu jika dolar terus merosot, ini akan memberi kesan yang amat buruk kepada mereka.

Kelemahan dolar dikatakan berpunca daripada mata wang itu yang dilaporkan dicetak terlebih iaitu AS$6 trilion. Jumlah tersebut terapung begitu sahaja, mereka tidak tahu hendak buat apa.

Justeru mereka pindah daripada Bursa Saham New York ke pasaran hadapan, semua ini mengakibatkan dolar menjadi lemah.

Secara sinis, kita boleh kata apa yang berlaku dalam soal kenaikan minyak ini adalah permainan AS kerana barangkali mereka tahu kebanyakan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) adalah negara Islam dan apabila dolar lemah, harga minyak akan naik.

Keadaan itu akan menyebabkan banyak negara Islam lain yang bukan anggota OPEC tidak mampu membeli minyak, itulah politik AS.

Mingguan : Kerajaan sudah memberi jaminan bahawa apa pun terjadi minyak akan kekal dijual dengan harga sekarang, ertinya ia tidak akan dinaikkan walaupun harga di pasaran dunia terus meningkat, apa kesannya?

DR. AMIR HUSSIN: Adalah jelas apa yang dilakukan kerajaan semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat. Kerajaan tidak mahu rakyat terus sengsara dengan kenaikan minyak, oleh itu kita kekalkan harga di paras RM2.70 seliter, ertinya kerajaan terus bertahan dengan memberi subsidi sebanyak 30 sen.

Jika harga pasaran hendak diambil kira, kita tidak boleh jual minyak dengan harga di bawah RM3 seliter.

Ini kerana di Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pemain utama dalam pasaran, harga yang dijual ialah AS$4 segelen, jumlah segelen itu bersamaan dengan 4 liter, ertinya seliter adalah RM3.

Sepatutnya kerajaan mengenakan harga itu tetapi kerajaan tidak berbuat demikian, kerajaan sanggup terus memberikan subsidi demi untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Mingguan : Tidakkah tindakan itu akan memberi bebanan kepada kewangan kerajaan?

DR. AMIR HUSSIN: Sudah pastilah kewangan kerajaan akan terjejas teruk. Kerajaan harus mencari sumber lain bagi menambah pendapatan untuk melaksanakan pembangunan. Ini kerana semua wang bagi tujuan itu sudah berpindah kepada subsidi minyak.

Inilah masalahnya.

Cuba bayangkan ketika ini, Malaysia mengeluarkan 800,000 tong minyak sehari dan dijual dengan harga AS$138 setong, kalau mahu wang, kita mungkin boleh jual kesemuanya dan tidak membeli minyak untuk digunakan oleh rakyat negara ini tetapi kita tidak berbuat demikian.

Sebahagian daripada peruntukan daripada pengeluaran minyak berkenaan terpaksa digunakan untuk membeli balik minyak untuk ditapis dan diedarkan di negara ini.

Bagi saya apa yang dilakukan kerajaan dan Petronas dalam soal ini sudah bijak kerana hasilnya rakyat menikmati harga yang murah.

Di sesetengah negara mereka tidak mempedulikan soal penggunaan minyak oleh rakyat sendiri. Mereka akan jual semua minyak yang mereka miliki dan rakyat harus membayar mengikut harga pasaran.

Mingguan : Tetapi ada pihak bertanya kenapa perlu kita membayar harga yang mahal untuk minyak sedangkan kita pengeluar bahan bakar itu?

DR. AMIR HUSSIN: Jangan salah faham dalam soal ini. Kita bukannya pengeluar minyak yang besar dan bukan anggota OPEC. Sebaliknya kita mempunyai pengguna yang ramai apabila jumlah kereta di jalan raya di Malaysia kini melebihi 11 juta.

Kita juga mempunyai kenderaan yang mewah-mewah yang menggunakan minyak cukup banyak. Selain itu 60 peratus daripada penjanaan elektrik juga menggunakan minyak. Persoalannya banyak mana minyak yang kita miliki?

Kalau di Indonesia lainlah, mereka mengeluarkan minyak yang banyak.

Sepatutnya kita bersyukur kerana walaupun kita bukan pengeluar yang besar tetapi masih mampu mengawal harga. Ini kerana kita menjualnya dengan harga OPEC.

Kalau kita bukan pengeluar sudah pasti harga minyak sekarang akan dijual RM6 seliter.

Mingguan : Pembangkang mendakwa jika mereka memerintah, harga minyak boleh dijual di bawah paras RM2.70?

DR. AMIR HUSSIN: Dakwaan itu tidak munasabah. Bagaimana mereka hendak turunkan?

Saya mempunyai data mengenai kenaikan ini, saya sudah lakukan kiraan, ternyata penurunan harga tidak boleh dilakukan. Dalam satu perbincangan yang melibatkan empat agensi di USM baru-baru ini, kita mendapati Malaysia menanggung kerugian kerana terpaksa memberikan subsidi.

Wang subsidi itu sepatutnya boleh digunakan untuk melakukan penyelidikan bagi mencari sumber tenaga lain, itu lebih baik.

Pada pendapat saya, ketika ini sewajarnya bukan harga minyak dibincangkan tetapi alternatif kepada minyak, misalnya penggunaan gas asli.

Mahu tidak mahu minyak akan habis dan ini sudah pasti akan mendorong harga bahan itu akan terus naik, justeru macam mana ada orang boleh dakwa mereka boleh turunkan harga di bawah RM2.70 sen?

Kita harus ingat, subsidi yang diberikan oleh kerajaan bukan sahaja kepada minyak tetapi juga keperluan lain termasuklah gandum, kacang soya, gula dan sebagainya.

Kalau subsidi tidak diberikan harga bahan makanan juga akan naik, itulah yang harus difahami oleh rakyat. Kalau mereka mahu minyak murah, mereka harus memilih mahu minyak atau makanan.

Sebab itulah saya anggap dalam pemberian subsidi kepada minyak dan makanan ini kerajaan melakukan langkah yang bijak.

Saya juga hendak ingatkan, apabila Perdana Menteri dan Kabinet membuat keputusan, ia bukanlah keputusan seorang. Ada penasihat yang cukup berkaliber dalam soal ini.

Mereka sudah meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan sama ada hendak menaikkan harga minyak atau tidak. Mereka tidak bodoh.

Dalam soal harga ini, sepatutnya di AS bahan itu dijual murah tetapi kenapa mereka juga jual sehingga AS$4 segelen?

Ertinya, kenyataan pembangkang hanya bermotifkan politik kerana dari segi fakta ekonomi tidak munasabah untuk menurunkan harga minyak.

Mereka tidak akan mampu melakukan, biarpun menjadi Kerajaan Persekutuan. Jika mereka hendak turunkan juga harga dalam keadaan harga pasaran dunia yang semakin tinggi sudah pasti ia akan mencetuskan huru-hara kerana banyak projek pembangunan akan terjejas dan sekaligus akan menjejaskan kehidupan rakyat.

Mingguan : Persoalannya, bagaimana hendak menerangkan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah kerana apa yang mereka tahu kos hidup mereka bertambah kerana harga minyak naik?

DR. AMIR HUSSIN: Dalam soal ini, kerajaan ada dua pilihan,

1. Bebaskan harga minyak daripada harga pasaran dan kenakan cukai bagi setiap liter minyak

2. Kenakan harga mengikut pasaran tetapi berikan subsidi. Tetapi apapun dalam kedua-dua situasi itu kerajaan tetap kehilangan wang.

Apabila itu berlaku, ini akan menjejaskan pembangunan. Justeru mahu tidak mahu kita kena ikut cara sekarang iaitu harga ikut pasaran dunia dan berikan subsidi. Apa yang penting, rakyat harus belajar untuk mengubah cara hidup. Ketika ini penggunaan minyak di Malaysia melebihi jumlah pengeluaran kita.

Semua ini berlaku kerana masih terdapat banyak pembaziran terjadi.

Sebagai contoh, ada sesetengah rumah mempunyai hampir 10 buah kereta, begitu juga masih ramai yang tidak mahu menggunakan pengangkutan awam. Di Pulau Pinang sendiri, setiap hari 90 peratus bas masih kosong ertinya tiada penumpang.

Orang ramai masih suka memandu sendiri, biarpun seorang sebuah kereta. Maknanya, kita terlalu mewah dalam menjalani kehidupan.

Adalah sesuatu yang tidak wajar apabila kerajaan terpaksa memberi subsidi kepada penggunaan minyak kepada kereta persendirian tetapi dalam masa yang sama pengangkutan awam juga diberikan subsidi.

Kalau beginilah sikap orang kita, sampai tahun 2015 pun iaitu tahun yang dikatakan minyak Malaysia akan habis, pengangkutan awam di negara ini tidak akan maju.

Oleh itu, kita harus mengamalkan sikap memilih untuk menggunakan pengangkutan awam secara sukarela dan bukannya terpaksa.

Tetapi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam beberapa kelemahan harus diperbaiki.

Ini termasuklah memperbanyakkan tempat meletak kenderaan dan memastikan jadual bas tepat pada masanya serta harga tiket yang dikenakan tidak mahal.

Mingguan : Dalam soal berjimat ini ada cadangan supaya projek mega diberhentikan?

DR. AMIR HUSSIN: Tidak boleh juga kerana kita harus menjamin pekerjaan kepada rakyat dan memastikan keluaran dalam negara terus meningkat. Apa yang perlu kita fahami untuk mempertahankan nilai ringgit bukan satu kerja yang mudah.

Ketika Tun Dr.Mahathir Mohamad dulu keadaan berbeza kerana ringgit ditetapkan pada kadar RM3.80 sen.

Mingguan : Maknanya mahu tidak mahu, rakyat harus menerima hakikat mengenai kenaikan harga minyak dan perlu mengubah cara hidup mereka?

DR. AMIR HUSSIN: Itu paling penting. Mereka harus menerima hakikat, apabila sudah berbuat demikian barulah mereka boleh membuka minda bagaimana mahu berjimat cermat.

Salah satu cara bukan dengan memotong belanja melalui pendapatan yang sedia ada.

Kita perlu berusaha untuk menambah pendapatan dengan menghala kepada pengeluaran barangan atau perkhidmatan yang boleh jual, itu pun satu penjimatan juga.

Kita selalu bercakap kalau ada RM1,000 macam mana hendak hidup dengan wang sebanyak itu sedangkan kos hidup sudah meningkat RM1,200. Kita tidak pernah pula cakap, ‘‘kalau pendapatan aku RM1,000, aku hendak tingkatkan kepada RM1,200.’’

Oleh itu,kita tidak harus memikirkan untuk memotong kos hidup sahaja, sebaliknya kita juga harus fikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan. Contohnya, kalau dulu buat satu kerja sekarang buat dua kerja.

Mingguan : Bagaimanapun dalam usaha untuk menambah pendapatan ini, kerajaan perlu mengawal beberapa perkara antaranya sewaan kedai. Kalau sewaan kedai terlalu mahal ia mewujudkan inflasi.

DR AMIR HUSSIN : Kenapakah kedai yang sepatutnya disewa pada harga RM1,000 tetapi disewa pada kadar RM2,000 sebulan? Apakah bayaran kepada bank meningkat kerana kenaikan harga minyak?

Jawapannya tidak, sebaliknya pemilik kedai mengambil kesempatan.

Apabila itu berlaku segala barang yang dijual di kedai yang disewa mahal itu akan naik harganya. Kerajaan juga harus pantau harga jualan oleh penjaja. Kita memang mahu penjaja untung tetapi janganlah berlipat ganda.

Contohnya, kalau makan di hotel, mi goreng harganya RM2.50 tetapi tak kanlah harga yang sama turut dikenakan kalau kita makan di warung-warung tepi jalan?

Oleh itu kerajaan sepatutnya bukan sekadar mengenakan syarat agar peniaga runcit mempamerkan harga sebaliknya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga perlu membuat kajian di peringkat penjaja-penjaja kecil.

Kementerian itu tidak seharusnya hanya tahu menangkap penjaja ingkar sahaja sebaliknya mereka perlu membuat kajian bagi menentukan kos seseorang penjaja.

Selain itu dalam soal berjimat juga, syarikat-syarikat terutamanya GLC harus memastikan setiap pekerjanya melakukan kerja setimpal dengan gaji mereka.

Sekarang ini terdapat ramai Ketua Pegawai Eksekutif GLC dibayar gaji berpuluh ribu ringgit dan pekerja mereka pula menerima bonus lapan bulan gaji.

Saya ada bukti mengenai perkara ini.

Ada beberapa syarikat GLC terlibat. Mereka dakwa mengalami kerugian tetapi bonus bayar lapan bulan sedangkan kakitangan kerajaan pun hanya menerima setengah bulan bonus.

Dalam kata lain, dalam menghadapi kenaikan harga minyak ini, kita mahu semua rakyat di negara ini ‘hidup’. Oleh itu kita harus sama-sama berkorban.

Mingguan : Bagaimana hendak menerap budaya sanggup berkorban dalam keadaan sekarang ini?

DR. AMIR HUSSIN: Kita harus ada sikap kenegaraan, nasionalisme dan identiti. Cuba kita kaji, dalam soal kenaikan harga minyak ini kenapa rakyat Singapura tidak mengeluh, malah mereka beranggapan apapun berlaku, ‘‘saya rakyat Singapura.’’.

Semangat inilah yang tidak ada di kalangan sebahagian rakyat negara ini. Jadi salah satu daripada tugas pembangkang ia mewujudkan sentimen tersebut. Kalau mereka membangkang dengan tujuan untuk menjahanamkan ekonomi Malaysia, itu salah.

Malah mereka perlu ingat kalau tersalah langkah mereka boleh didakwa menjadi petualang negara.

Jangan keterlaluan dalam isu minyak ini bagi mempengaruhi rakyat. Sepatutnya apa yang pembangkang perlu lakukan ialah fikir bersama-sama kerajaan dan rakyat bagaimana hendak selesaikan masalah kenaikan ini dalam jangka pendek dan panjang.

Janganlah melakukan perbuatan menghasut dengan menyuruh rakyat menentang kerajaan kerana kenaikan bahan bakar itu sedangkan ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Malaysia negara tropika, suria banyak, cuba jadikan ia tenaga. Daripada kita beri subsidi kereta lebih baik kita subsidikan penjanaan elektrik. Gunakan duit berbilion ringgit untuk meminta pihak universiti-universiti mencari alternatif tenaga.

Kita ada kelapa sawit untuk menghasilkan biodiesel. Ketika ini diesel dijual RM2.58 sen seliter supaya apabila biodiesel dijual kepada rakyat nanti ia akan dijual lebih murah sedikit.

Kalau kita letak harga diesel murah contohnya RM1.43 sen siapa hendak buat penyelidikan biodiesel.

(Dr Novandri : Terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana telah menyiarkan temuramah ini.)

13 comments:

  1. A.kum Dr.

    1. Kenapa Prof ini tidak dilantik sebagai Men di JPM. Kenapa lantik Amirsham jadi Menteri. Sebab dalam dewan rakyat pembangkang tanya berapa jumlah pengeluaran minyak di Sarawak pun dia tak tahu, sedangkan dia bertanggong jawab kepada Petronas?

    2. Apa pun Prof ini hanya bercakap berpandukan 'teori'semata-mata.

    3. Perlu diingat kadang-kadang teori dan praktikal amat jauh berbeza.Begitu juga kadang-kadang teori tidak boleh selesaikan semua perlaksanan atau praktikal.

    ReplyDelete
  2. Salam dr. novandri,

    Ini adalah kali pertama saya memberi respon kepada blog sdr. Saya kesini setelah tahu keujudannya melalui mykmu.net.

    OKlah, saya tetarik dengan satu bahagian dimana sipakar ekonomi ini berkata bahawa "Apa yang perlu kita fahami untuk mempertahankan nilai ringgit bukan satu kerja yang mudah.

    Ketika Tun Dr.Mahathir Mohamad dulu keadaan berbeza kerana ringgit ditetapkan pada kadar RM3.80 sen."

    Jika sudah tahu untuk memertahankan nilai ringgit bukan kerja mudah kenapakah formula TDM mengenai tambatan ini dipandang sepi oleh ayah lah? pakar ni buat apa setelah beberapa kali semasa TDM melihat bahawa peluang untuk pengukuhan ringgit ada, lalu setelah dibuat penilaian semula nilai terakhir(latest value)ringgit yang di'revise', lalu ditambat nilainya menurut nilai yang baru di'revise".

    *Rujuk kenyataan TDM menengainya dlm topik "Petronas Advisor".

    Salam.

    ReplyDelete
  3. kenapa kerajaan takmau tetapkan harga ringgit macam mase Tun Dr Mahathir dulu?

    ReplyDelete
  4. Salam Sukj dan rakan-rakan sekalian,

    Saya ingin mengulas pandangan Sukj yang mengatakan Prof. Amir hanya bercakap berpandukan 'teori' semata-mata dan pandangan no.3.

    Saya tidak berapa mahir tentang topik Ekonomi ini.

    Kerana itu saya telah memujuk isteri saya untuk menaip sedikit dan menjawab pandangan Sukj!!!

    Ya, betul....

    Isteri saya adalah lulusan MBA dan sekarang sedang menyambung pengajian PhD/DBA (Doctorate in Business Administration).

    Sekarang bekerja sebagai HR manager di syarikat antarabangsa Robert Bosch. (Kena intro biodata sikit, baru tahu info ini valid atau tidak)

    Dia sangat mahir dalam bab2 ini.

    Dibawah ini telah ditaip sendiri oleh isteri saya:-

    Terdapat 2 jenis teori, teori deduktif dan teori induktif.

    Sekiranya deduktif teori, ianya berdasarkan pemerhatian, eksperiment, data dan catatan, dan hipotesis yang telah diuji berkali-kali untuk memberikan inferens yang konsisten, barulah barulah sesuatu teori di "deduce"kan.(Deductive Theory).

    Teori Induktif pula ialah sesuatu teori yang ditetapkan oleh "researchers", kemudian baru diuji, samada secara ujian hipotesis, eksperimental, kajian kes, pemerhatian, data sekunder dan sebagainya untuk membuktikan kesahihan teori yang telah di "induce"kan.

    Samada teori induktif atau deduktif, semua teori adalah hasil daripada keputusan ujian hasil praktikal secara berkali-kali, barulah ianya boleh menjadi satu teori.

    Itulah jawapan ringkas daripada isteri saya. Harap kita semua faham.

    Terima kasih kepada isteri saya. :-)

    ReplyDelete
  5. Kenapa nak naikkan harga minyak? Kalau tak silap saya, kos pengeluaran minyak Malaysia hanya sekitar USD20 PB.. Kalau harga minyak naik USD130, untung sudah USD110... Samala macam anologi saya penternak kambing, lepas tu anak saya nak buat kekah.. Harga pasaran kambing RM500 sekor, takkan saya nak jual kat anak saya RM500 sekor jugak? Mungkin lebih-lebih saya cuma jual RM250 aje, ala-ala kadar lepas kos...

    Harga pasaran tak sama dengan harga pengeluaran.... Kalau harga pasaran mencecah USD500 PB, mungkin kos sebenar pengeluaran masih lagi sekitar USD30 PB... Sebabnya, sebagai pengeluar minyak, mereka tak payah beli minyak, dan minyak still murah untuk operasi pengeluaran. Yang naik cuma harga-harga lain yang tak berkait dengan minyak..

    Saya rasa jika minyak mengikut trend sejarah krisis tahun 70an dan 80an, harga minyak mungkin akan jatuh sehingga USD60PB dalam jangka masa 3 tahun lagi. tetapi jika terdapat faktor-faktor geopolitikal seperti perang Iran-US, Negeria, faktor-foktor bencana alam dan sebagainya sukarlah kita hendak menduga arah kenaikan harga minyak...

    ReplyDelete
  6. Sdr Dr,

    Saya rasa pakar ekonomi ni pun tak lah pakar sangat...ade sedikit kelemahan dalam penulisan beliau..Indonesia pada masa sekarang ini telah menjadi nett importer. Rakyat Singapura pula tidak kisah tentang kenaikan harga Minyak kerana mereka BERPENDAPATAN TINGGI serta tidak menggunakan Kenderaan. Minyak Malaysia jenis sweet Oil dan di jual keluar negara dan mengimport minyak dari Asia Barat (Cth: loji di Melaka). Sweet oil lebih mahal dari minyak biasa. Lagi satu Dr kena ingat, standard diesel Malaysia lebih rendah dari negara jiran). Lain la jika kerajaan ingin mengikut standard Euro3 macam negara jiran.

    Itu aje..Wassalam

    ReplyDelete
  7. kickdefella has some very interesting posting, looking at the oil price scenario.

    http://kickdefella.wordpress.com/

    Anyway, i don't believe much with this article, especially now that it's coming from MSM Utusan. This is just another damage control media spin by the level 4 spin doctors. Its really crappy.

    Economically speaking, raising the oil price drastically without having plan B to overcome the spiraling effects, must have come from a no brainer. There are options, and these are not thought about by the present administration. A responsible government shall not be doing these and expect the public to accept and change their lifestyle in less than 24 hours that fateful wednesday. Every layman knows the effect of raising the oil price and yet the government seemed to have no sense in makong such drastic increase. Why can't they just spead the increament for the next 3 years or so? 20 cents per year wont be so bad and still adjustable. It will be very difficult to launch a project right now as everyone will be calculating the impact of spiralling cost. Nobody wants to tender anything right now. If this is the case, how can the economy keep on flourishing? The government decision will dampened the economic growth, meaning less income to the rakyat, and less income to the government. Tak bodoh ke ni ?

    The government should be creative in managing its funds, and not simply pass the buck to the public. this is not the reason why we vote for such government.

    There is a bigger agenda that will follow, part of this oil price fiasco. The present government cannot be so dumb to do such a thing. Ada udang di sebalik batu.

    The doings of Pak Lah government is fueling a lot of public disgust. And he has not done anything to restore public confidence.

    Anwar on the other hand, considering he wants the post of PM so bad, doesn't seem to be doing a lot of work to grab the position. The stage has been set for him to seize the opportunity from pak lah unpopularity.

    The "PM in waiting" will not be waiting anymore comes september 2008.


    What could happened next is even more interesting.

    Anwar will betray Pak Lah instead of thanking him and kill his political life and put him away or something. Politically, he has to do that to protect his position, and it will not look good in front of his supporter, as if the PM post is "given" to him. And at the same time, KJ whom seem had a hand in this will also be betrayed and killed politically by Anwar since KJ will be a threat with his ambition to become the youngest PM. Anwar probably wants to stay as PM more than 22 years....


    How's that?

    ReplyDelete
  8. Salam,

    I can't agree more with kickdefella. Tak perlu saya tambah panjang2 lagi. Tapi yg kita mesti ingat, economy is NO exact science. Textbook theories of economics are more prone to be proven incorrect in practical field and real life compared to other scientific, technical and even social science disciplines. Pakar2 (konon) ekonomi ni juga satu masa dulu lantang menentang langkah tambatan RM dan kawalan modal oleh pemerintahan Dr. M, tapi akhirnya terbukti mereka silap dan Dr. M betul. Profesor? Ye ke? Entah2 tak cukup citation pun jadi Profesor. Pakar ekonomi konon. Wahai profesor2 ekonomi, SEDARKAH anda bahawa fakulti anda adalah JUARA mengeluarkan graduan MENGANGGUR? Tak baca statistik KPT dan KSM?

    ReplyDelete
  9. Salam...

    kepada yg seronok sangat bercakap pasal biofuel padahal tak reti pun biofuel tu apa dia dan apa kesan ekonominya, sila baca yg berikut ini:

    Biofuelling Poverty
    http://www.oxfam.org/en/news/2007/pr071101_biofuelling_poverty
    http://www.oxfam.org/en/policy/briefingnotes/bn_biofuelling_poverty_0711

    Dr. juga menyebut Prof. Amir ni seorang pakar ekonomi yg terkenal di USM??? Saya yg grad degree+master dari USM pun tak kenal dia. Ramai lagi profesor-profesor dlm bidang selain bidang saya (bahkan di ketiga-tiga kampus pun!) dapat saya kenali, tapi bukan yg sorang ni. Dia cuma terkenal kat Pusat Pengajian dia aje kot?!

    ReplyDelete
  10. On the same matter.

    Read this:
    http://masnoorwak.blogspot.com/2008/06/msian-oil-subsidy-facts-we-cant-simply.html

    ReplyDelete
  11. Salam Nazirul,

    Adalah tidak adil untuk melabelkan pakar2 ekonomi sedemikian rupa.

    Malah, sebelum Dr M memutuskan untuk mengawal pengaliran kewangan, beliau telah mendapat pandangan dan nasihat daripada pakar kewangan dan pakar ekonomi tempatan.(A New Deal For Asia, buku Dr M)

    Dan janganlah kita merendah2kan martabat pensyarah/profesor kerana mereka telah berbakti kepada masyarakat.

    Seperkara lagi, maksud perkataan 'terkenal'(seperti yang Nazrul tulis) dan perkataan 'dikenali ramai'(seperti yang saya tulis) adalah tidak sama.

    Dr Amir dikenali ramai tetapi bukannya terkenal.

    Dan saya tidak akan mengharapkan Nazrul tahu setiap pensyarah di universiti kerana semasa di universiti dulu, saya pun tidak berapa kenal dengan pensyarah2 lain kecuali fakulti perubatan sahaja.

    ReplyDelete
  12. Coretan saya khas buat mereka yang berfikiran bahawa rakyat singapura tidak kisah dengan kenaikan gaji kerana mereka berpendapatan tinggi.

    Memang kita dengar rakyat sigapura berpendapatan tinggi tapi berapa keratkah yang mampu berkereta?

    Bukan semua rakyat Singapura mampu membeli kereta, kos memiliki kereta teramat mahal di Singapura. Berbeza di malaysia dimana boleh dikatakan semua lapisan masyarakat mampu membeli kereta (tidak mengambil kira yg lama, baru, ber cc besar atau kecil). Jadi kenaikan harga minyak memang impak yang besar kepada rakyat malaysia.

    Saya amat tidak gemar jika kita asyik membandingkan Malaysia dengan Singapura.

    Keaadaan ekonomi negara kita tidak boleh disamakan dengan Singapura. Jauh berbeza sama sekali. Penduduk berpendapatan sederhana di Malaysia masih mampu membeli rumah teres (bertanah) dan bandingkan pula dengan penduduk Singapura yang berpendapatan sederhana/sama (perbandingan one to one basis)

    Memanglah itu terjadi kerana soal tanah yang tidak cukup dan sebagainya, jadi bolehkah keadaan ekonomi kita disamakan dengan S'pura? Tidak boleh bukan? Termasuk juga gaji dan lain-lain.

    Pendek kata kita sudah lama senang. Senang beli kereta, senang buat rumah haram, senang pergi hospital (free), senang pergi sekolah. Kalau rajin sedikit senang dapat biasiswa kerajaan, tidak dapat biasiswa kita dapat pinjaman. Lepas kerja tak bayar balik pun OK, pasal senang. Senang segalanya - jadi kita lupa dan alpa.

    Sekarang bila "kesenangan" ditarik kita terasa sangat.

    Saya bukan penyokong kerajaan 100%, tetapi kadang kala bila mendengar tuduhan yang "over the board" saya terkedu. Memang bak kata Tun - Melayu mudah lupa.

    Apa-apa pun saya masih bersyukur menjadi rakyat M'sia.

    Tapi hairan pasal apa jualan gas NGV tu tak di perluaskan ke lebih banyak kedai petronas? Kenapa ada restriction? Kalau tidak membebankan rakyat kenapa kerajaan tidak boleh memberi subsidi untuk bina lebih kedai yg jual gas? Tak kira walau perlu lebih kerap mengisi gas. - I have to admit memang pengetahuan kurang amat untuk issue gas ini. Konpius bangat. Kalau la semua kedai minyak ada supply, kan senang hidup rakyat?
    Kos pemasangan - kebanyakkan mampu kot? Kalau Teksi ok jek, kita pun ok jugak kan.

    Atau pun soalan ini sudah berjawab cuma saya yang "terlepas"?

    Itu yang kadang-kadang membuatkan rakyat marah dan tidak dapat menerima sesuatu perubahan.

    Keterangan tak cukup jadi bila ada pihak (pembangkang) yang sanggup memberi keterangan tidak kira tidak betul, atau ditokok tambah hatta yang di"kerat-kerat" maka dengan mudah la kita terima.

    PS - Teringat popia basah kat kafe kolam renang USM awal 90an. Ada lagi tak agaknya?. Teringatkan rasanya yang marvelous. Payah cari kat Shah Alam ni.

    Dia Ahmad
    Dulu Penang, la ni Shah Alam.

    ReplyDelete
  13. Enche' Dr,

    Boleh tolong ejas sket ayat post sebelum ini -
    rakyat singapura tidak kisah
    dengan kenaikan gaji


    bukan kenaikan gaji - kenaikan harga minyak.

    ReplyDelete

ARTIKEL TOP MINGGU INI.