FACEBOOK DR MIM

Thursday, July 24, 2008

Eksklusif : Surat Pekeliling Perbendaharaan Mengenai Kenderaan Milik Kerajaan

Dr Novandri Hasan Basri

Di sini penulis sertakan SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL. 1 TAHUN 2008 mengenai TATACARA PEROLEHAN KENDERAAN. Semoga terjawap segala kemusykilan kita. Dan ikuti juga artikel terbaru penulis bertajuk : Mercedes(Part3): Silap Tafsir vs Ego vs BPR vs Hati Rakyat


............KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA...............
SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL. 1 TAHUN 2008

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan
Semua Pihak Berkuasa Tempatan

TATACARA PEROLEHAN KENDERAAN

Tujuan

Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) ini bertujuan memaklumkan semua Agensi mengenai tatacara perolehan kenderaan.

Latar Belakang

2. Peraturan perolehan kenderaan pada masa ini menetapkan pembelian sehingga RM200,000 setahun dibenarkan secara rundingan terus untuk kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) bagi kenderaan jenis saloon, pacuan empat roda, pick-up, MPV, lori/trak dan bas/coaster 25 penumpang.

Bagi perolehan kenderaan yang melebihi RM200,000 hendaklah diuruskan secara tender terbuka.

Walau bagaimanapun, selaras dengan usaha Kerajaan untuk mempercepat dan memudahkan lagi Agensi membuat perolehan kenderaan, had nilai bagi perolehan kenderaan adalah dipinda.

Had Nilai dan Kaedah Perolehan

3. Kenderaan yang dinyatakan dalam SPP ini adalah bagi maksud kegunaan Agensi dan dibahagikan kepada empat (4) jenis seperti berikut:

(i) kenderaan jenis saloon;
(ii) kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD)/SUV;
(iii) kenderaan jenis utility seperti MPV, van, pick-up dan lori/trak; dan
(iv) bas/coaster 25 penumpang.

4. Peraturan yang menetapkan penggunaan kereta rasmi dan kereta Jabatan di bawah penswastaan kereta saloon Kerajaan hendaklah dipatuhi sepenuhnya dan tidak terpakai di bawah SPP ini.

5. Pegawai Pengawal adalah dibenarkan untuk meluluskan perolehan kenderaan secara rundingan terus seperti berikut:

(i) bagi kenderaan jenis saloon dan pacuan empat roda (4WD)/SUV, rundingan terus boleh dibuat tertakluk kepada jumlah nilai perolehan setahun sehingga RM 1 juta bagi setiap jenis kenderaan.

Perolehan yang melebihi RM 1 juta setahun bagi setiap jenis kenderaan tersebut hendaklah dilaksanakan secara tender terbuka atau tender terhad; dan

(ii) bagi kenderaan jenis utility dan bas/coaster 25 penumpang, rundingan terus dibenarkan tanpa sebarang had nilai bagi setiap jenis kenderaan tersebut.

Syarat-Syarat Pembelian Kenderaan

6. Agensi hendaklah memastikan setiap perolehan kenderaan seperti di para 5 (i) dan 5 (ii) mematuhi kesemua syarat seperti berikut:

(i) peruntukan tahunan yang mencukupi dan telah diluluskan di bawah belanjawan tahunan Agensi;
(ii) semua kenderaan hendaklah kenderaan buatan tempatan atau yang dipasang dalam negara (CKD) sahaja;
(iii) pembelian hendaklah dibuat daripada syarikat pembuat/pemasang atau pengedar sah yang dilantik oleh syarikat pembuat/pemasang;
(iv) syarikat hendaklah berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang yang berkaitan;
(v) harga kenderaan hendaklah harga bersih (net selling price) tidak termasuk komisyen jurujual;
(vi) harga kenderaan hendaklah termasuk aksesori standard yang ditetapkan oleh syarikat pembuat/pemasang. Bagi pemasangan aksesori tambahan kepada kenderaan tersebut, ia hendaklah dibuat mengikut keperluan dan terlebih dahulu diluluskan oleh Pegawai Pengawal; dan
(vii) semua perolehan kenderaan hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Pegawai Pengawal.
Perolehan Kenderaan Oleh Kedutaan/Perwakilan Malaysia Di Luar Negara

7. Ketua Perwakilan adalah diberi kuasa meluluskan perolehan bagi semua jenis kenderaan untuk kegunaan Kedutaan/Perwakilan Malaysia di luar negara tertakluk kepada para 6 (i) SPP ini.

Tanggungjawab Agensi

8. Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk membuat kajian pasaran bagi setiap jenis kenderaan serta merancang dan memastikan perolehan kenderaan tersebut dibuat secara berhemah dan berdasarkan keperluan Agensi sahaja.

Pemantauan rapi hendaklah dibuat bagi memastikan kesemua syarat di atas dipatuhi sepenuhnya.

Kuat Kuasa dan Pembatalan

9. SPP ini berkuat kuasa pada tarikh ia dikeluarkan. Dengan berkuat kuasanya SPP ini, SPP berikut adalah dibatalkan:
(i) SPP Bil. 5 Tahun 2002;
(ii) SPP Bil. 11 Tahun 2002 (Tambahan Pertama SPP Bil. 5 Tahun 2002); dan
(iii) SPP Bil. 17 Tahun 2002 (Tambahan Kedua SPP Bil. 5 Tahun 2002)

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Saya yang menurut perintah,

.





(Dato' Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah)
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Kementerian Kewangan Malaysia.

16 Mei 2008

s.k. Ketua Setiausaha Negara
Ketua Audit Negara Malaysia Akauntan Negara Malaysia
Semua Pegawai Kewangan Negeri

Pautan : Perbendaharaan Malaysia , Artikel : Mercedes(Part3): Silap Tafsir vs Ego vs BPR vs Hati Rakyat

No comments:

Post a Comment

ARTIKEL TERPANAS MINGGU INI.

.