Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Monday, September 08, 2008

Sama rata Tapi Nafikan Keadilan.

Dr Novandri Hasan Basri

Di sini penulis sertakan beberapa bahagian di dalam wawancara Mingguan Malaysia dengan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz mengenai Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan. Penulis mendapati hujah-hujah yang diberikan oleh Dr Sham perlu dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

Penulis tertarik dengan kenyataan Dr Sham :-

Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita.

Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil.

Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau.

Penulis bersetuju dengan pandangan Dr Sham bahawasanya kebanyakan rakyat memandang pemansuhan Perkara 153 kononnya akan berlaku kesamarataan tetapi mereka lupa bahawa ianya tidak akan membawa keadilan kerana bangsa Melayu belum lagi setanding dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Kesamarataan tetapi menafikan keadilan merupakan satu perkara asas yang perlu di beritahu kepada sesiapa sahaja yang mempertikaikan Perkara 153.

Dr Sham juga berkata :-

Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa.

Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?


Kepada soalan 'Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?' Dr Sham menerangkan :-

Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri.

Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan.

Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Selain daripada 'Kesamarataan tapi menafikan keadilan', pengkritik-pengkritik Perkara 153 juga lupa bahawa apabila mereka mencemuh, memperlekeh dan mengutuk Perkara 153, mereka sebenarnya telah mempertikaikan sistem beraja di dalam negara ini.

Dan oleh kerana itu, mereka itu juga telah menafikan 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara' yang termaktub di dalam rukunegara Malaysia.

Dr Sham berkata :-

Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi?

Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik.

Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara.

Kesimpulannya, Perkara 153 adalah doktrin sah yang perlu dihormati dan didokong sepenuhnya oleh setiap warganegara Malaysia, tidak kira bangsa dan agama seperti juga kita menghormati doktrin-doktrin asas negara ketika negara kita hendak merdeka seperti kelayakan warganegara dan sebagainya.

Berikut adalah petikan Perkara 153 Perlembagaan untuk peringatan kita bersama:-

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya. (Mingguan Malaysia)

8 comments:

  1. Ulasan yg menarik. Namun mampukah kita berjuang tatkala ribut perpecahan belum reda?

    Musuh kita hanya ketawa melihat panglima2 kita yg kebingungan utk mematuhi arahan Bendahara.

    Bagaimana nak berjuang kalau pemimpin sendiri pun tak mampu ditaati?

    Ambil tuala dan ajar mereka mengesat hingus terlebih dulu.

    ReplyDelete
  2. dear dr,
    tepat sekali bahawa konsep "keadilan"lah yang perlu ditekankan dalam melayari bahtera negara ini. "equality" banyak cacatnya kerana ia ciptaan manusia.
    sekiranya kita kembali menurut cara Islam yang sebenar (dalam semua aspek kehidupan dan pemerintahan), insyaALLAH kita tak terjerumus dalam situasi sekarang ini... WALLAHU A'LAM

    ReplyDelete
  3. Salam Dr.

    1. Kita perlu melangkah setapak ke hadapan !

    2. Hanya Al-Quran sahaja yang dijamin KEKAL oleh Allah Taala untuk selama-lamanya.

    3. Adakah Perkara 153 itu akan kekal selama-lamanya?

    ReplyDelete
  4. Salam Sukj,

    Selagi kita mendokong sistem Raja Perlembagaan, selagi itulah kita mesti mendokong sepenuhnya Perkara 153.

    Jika bertukar struktur kepimpinan negara dan mendapat sokongan 2/3 ahli parlimen, raja perlembagaan boleh ditukar kepada apa sahaja.

    Persoalannya, mahukah setiap orang Melayu menerimanya? Mahukah setiap warganegara Malaysia mahukan sistem yang berlainan daripada sekarang?

    Apakah Malayan Union versi baru akan berlaku?

    Saya harap ianya tidak berlaku tetapi masaalahnya ialah Melayu selalunya 'terhantuk baru tergadah.'

    ReplyDelete
  5. Salam.

    Sebagai orang Melayu beragama Islam, saya tidak rela hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub didalam perlembagaan di permainkan.

    Persoalannya mampukah UMNO terus menjadi pelindung Bangsa Melayu dan agama Islam dengan kepimpinan dan keperbadian yang lemah..

    Samada sedar atau tidak telah banyak hak-hak dan maruah Bangsa Melayu dilepaskan demi kepentingan survival politik pemimpin UMNO.

    Apakah pilihan yang kita ada sekarang?

    Sedih bagaimana hati tidak mendidih.. melihat buah di taman habis dikutip orang mendatang...

    ReplyDelete
  6. http://pkrpasdap.blogspot.com

    jom ke website abe MIE, andaikata haiwan dalam zoo boleh kata dan cakap macam kita cakap, mereka TERKEJUT BERUK MAK YEH kerana Pakatan hendak bela Islam dan menegakkan Perlembagaan.

    Nota- Beruk Mak Yeh tak pernah makan pisang hari ini besok makan sambal daging pada esok. Pakatan lain, semalam makan BABI- hari ini makan katak, besok makan apa pula.

    ReplyDelete
  7. Tuan rumah, tumpang ber"kecek" dengan SUKJ,

    Saya tak fikir Perkara 153 PP bertentangan dengan konsep adil dalam Islam. Masa sekolah agama di Johor dulu, cikgu saya cakap kalau ada 2 isteri satu tinggi dan seorang lagi rendah, yang rendah kena diberi kain 4 ela, manakala yang tinggi 5 ela.

    Kalau ikut konsep kesamarataan, dua-dua kena dibelikan sama ukurannya. Kalau beli dua-dua 4 ela, yang tinggi akan sinting bajunya, kalau beli 5 ela, sudah dikira pembaziran pula.

    Jadi kesimpulannya perkara yang tidak bertentangan dengan Islam, insyallah akan Allah pelihara. Janganlah kita mau menggantikan sesuatu yang mudah dan sudah sebati dengan kita dengan satu perkara yang kita sendiripun tak tau apa ke rupa bentuknya. Sedangkan Nabi tidak memandai-mandai cipta benda baru dalam hal urus tadbir negara malah ada mengambil perkara yang elok dari tamadun yang sebelumnya iaitu Rom dan Parsi. Baginda cuma menambah baik mana yang dah sedia baik.

    Sistem kita sudah lebih 80% Islamic complience, jadi apa mau dipersoalkan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan itu?

    Begitu juga dengan Perkara 121(1)(A). Jika Melayu dah selesa dengan Islam keturunan apa mau diubah-ubah benda yang dah sedia baik? Nak purist kunun, ikut perjanjian Hudaibiahlah, tiada paksaan dalam beragama, orang Arab pun ada yang tak Islam. Alahai.

    ReplyDelete
  8. Quran tetap kekal dengan perlindungan Allah yang maha esa. Tetapi ada yang mengatakan bila sudah hampir akhir zaman, Quran akan mula hilang sedikit demi sedikit dari hati manusia. Bagaimanakah ini akan terjadi? Kita lihat dengan zaman serba moden, Quran telah ditulis dengan berbagai bahasa dan berbagai cara, dari kertas hingga ke DVD. Yang nyata mungkin Quran yang dicetak mungkin telah bertambah banyak bukan berkurangan. Di alih ke berbagai bahasa, tetapi adakah ia di terjemahkan kedalam jiwa manusia?

    Orang2 islam rata2 tidak bersatu. Lebih rela melihat kebaikan lawan dari saudara sendiri. Keluarga kita mungkin tidak sempurna tetapi adakah kita melihatnya sebagai cubaan Allah supaya kita saling membantu memperbaiki sesama sendiri. Bukan yang diberi kelebihan cuma tahu untuk memuji jiran sebelah yang beragama lain. Kecantikan jiran dijunjung tetapi keluarga sendiri dicaci. Akhirnya perpecahan keluarga walaupun asalnya adik beradik sendiri.

    Quran tetap terpelihara. Tetapi kebencian dihati manusia, sesama islam tetapi tidak tahu membantu dan menegur, cuma menghina dan mengherdik yang megantikan terjemah Quran dihati manusia. Kita mahu melangkah kehadapan, tetapi sebenarnya kita menyimpang dari tujuan. Leka dengan kecantikan jiran sebelah yang terus melangkah dengan dunia mereka dan terus mengubah masa depan kita!

    ReplyDelete

ARTIKEL TOP MINGGU INI.