Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

Friday, November 21, 2008

Bhg 10 - Menjejaki Sejarah Pemuda UMNO.

Dr Novandri Hasan Basri

113. Selepas pengunduran mengejut Datuk Harun, calon yang dilihat paling berkaliber dan mampu untuk menerajui Pemuda UMNO ketika itu ialah Datuk Musa Hitam.

114. Sebagai Naib Ketua Pemuda semasa kepimpinan Datuk Harun, Datuk Musa Hitam telah menunjukkan kemampuan beliau sebagai pemimpin yang berfikiran jauh dan sering memastikan mesyuarat-mesyuarat Pemuda UMNO berjalan dengan profesional dan tertib.

115. Yang menimbulkan tanda tanya ialah walau pun beliau telah mendapat sokongan yang kuat untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO yang baru tetapi beliau menolak pencalonan tersebut!

116. Di sini penulis sertakan beberapa keratan kenyataan Datuk Musa mengenai keputusan beliau itu (ditulis pada tahun 1976) :-

"Parti kita, UMNO dalam menjelajah usia 30 tahun (1976) tidak dapat tidak, dengan sendiri atau didorong oleh kehendak para anggotanya atau visi masa depan yang diutarakan oleh para pemimpinnya, telah mengalami beberapa bentuk perubahan.

Kita telah mengalami perubahan daripada segi barisan pimpinannya.

Kita telah mewarisi jenis dan cara kepimpinan yang kian berubah...



... UMNO tidak akan mengekalkan sokongan rakyat walau bagaimana bulatnya sokongan para anggota UMNO terhadap parti atau pemimpinnya, jika krisis dan keyakinan rakyat terhadap kita telah merebak sehingga orang menganggap kita sebagai barah yang harus dibedah atau dibuang akar umbinya daripada perhitungan hidup dan politik negara.

Krisis serupa ini yang telah dibiarkan tanpa diubati menyebabkan banyak parti politik di beberapa buah negara lain menggali kuburnya sendiri...

..Satu perkara yang merunsingkan saya ketika ini dan turut mendorongkan saya tidak bertanding bagi bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dan mungkin terpaksa berhati-hati sama ada hendak bertanding bagi jawatan-jawatan penting parti yang lain pada masa depan ialah dengan timbulnya pihak-pihak yang telah menunjukkan mereka terlalu ambitious dan sanggup bertindak dengan apa cara pun tanpa mengira tatasusila asalkan mereka dapat menang dan berjaya mengambil alih teraju pimpinan parti....

...Saya tidak sanggup berkomplot; saya tidak sanggup menghulurkan kemudahan atau perks, misalnya dengan memberi derma yang besar-besar atau pun lesen dan sebagainya di luar perhitungan dan susunan atau peraturan yang biasa untuk mendapatkan sokongan..

....Kepada saya, perlumbaan untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi tanpa mengira apa cara pun adalah perkembangan yang tidak sihat dan boleh merosakkan parti.

Kepada saya, dalam konteks ini, 'the end does not justify the means'....

...Saya ingin menyeru dan menggesa saudara-saudara sekalian supaya terus memberi perhatian kepada perjuangan parti, memastikan supaya segala perkembangan berlandaskan kepada asas serta pemikiran yang sihat dan dapat menjamin keutuhan parti.

Semoga segala dasar yang kita tentukan bersama dilaksanakan seperti yang diharapkan oleh kita serta rakyat sekalian. "

117. Walau pun kita menerima kenyataan Datuk Musa seperti di atas, penolakan beliau untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO (walau pun beliau berpeluang besar untuk menang) merupakan satu persoalan yang masih tidak terjawap penuh sehingga hari ini kecuali jika Datuk Musa Hitam mahu berkongsi pengalaman beliau dengan generasi hari ini.

118. Dalam masa yang sama, kita perlu sangat risau dengan kenyataan Datuk Musa Hitam yang mengatakan :-

"Saya tidak sanggup berkomplot; saya tidak sanggup menghulurkan kemudahan atau perks, misalnya dengan memberi derma yang besar-besar atau pun lesen dan sebagainya di luar perhitungan dan susunan atau peraturan yang biasa untuk mendapatkan sokongan."

119. Kenyataan mengenai derma yang besar-besar, menghulurkan kemudahan atau perks yang berusia 32 tahun (1976) itu merupakan satu isu yang sering kita dengar hari ini terutamanya di masa pemilihan pimpinan tertinggi UMNO!as

120. Ianya serupa dengan rasuah politik/politik wang yang kita sedang giat perangi hari ini.

(Seterusnya : Klik Sini)


No comments:

Post a Comment

ARTIKEL TOP MINGGU INI.