FACEBOOK DR MIM

LIVE ! GAZA UNDER SIEGE

Sunday, December 21, 2008

Yahudi pandang remeh ancaman Allah

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul (Utusan Malaysia)

HAMKA berkata: “Ayat ini adalah lanjutan daripada ayat sebelumnya. Dua orang pemuda Yahudi berani mengatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s. adalah Yahudi tetapi apabila Nabi SAW mengajak mereka untuk mencari keterangan di dalam kitab Taurat, mereka enggan.

Bahkan mereka berpaling dan membelakangkan Baginda. Membuktikan bahawa mereka telah berdusta. Mengapa mereka berani berdusta dengan perkara itu? Ini kerana mereka percaya bahawa orang Yahudi itu tidak bersalah jika mereka berdusta untuk mempertahankan diri.

Kerana jika mereka masuk neraka, mereka akan masuk hanya sebentar dan akan dikeluarkan semula dari neraka kerana mereka orang Yahudi.

Kerana orang-orang Yahudi adalah orang-orang yang utama di sisi Allah SWT, bukan seperti bangsa-bangsa dan suku-suku lain kerana mereka dianggap hina dan berada di bawah mereka. Sedangkan mereka adalah “kaum pilihan Allah SWT.”


Firman Allah SWT yang bermaksud: Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam agama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
(Ali-Imran: 24-25)

Iktibar dan fiqh ayat:

i) Apa yang dimaksudkan dengan perkataan “beberapa hari” iaitu sebanyak 40 hari, sebagaimana yang tercatat dalam ayat di atas dan ia juga bermaksud jarak masa mereka sewaktu menyembah anak lembu, pada pandangan Ustaz Imam Muhammad Abduh bahawa jumlah hari tersebut tidak ada dinyatakan dalam riwayat.

ii) Al-Mawardi berkata : “Ulama telah khilaf berkenaan dengan “beberapa hari” kepada tiga pendapat;

Pertama: 40 hari di mana mereka menyembah patung anak lembu. Inilah pendapat Qatadah dan al-Rabi’.

Kedua: Tujuh hari. Inilah pendapat al-Hasan.

Ketiga: Hari yang terputus kerana terputusnya azab kepadanya. Inilah pendapat ulama Mutaakhirin.

iii) Syeikh al-Maghari berkata : “Golongan yang memandang remeh terhadap ancaman Allah SWT kerana pada pendapat mereka ancaman tersebut tidak akan mengenai mereka yang sudah pasti menerima hukumannya. Oleh yang demikian, mereka ini dengan berani mengenepikan segala perintah dan larangan Allah SWT. Tindakan mereka ditonjolkan lagi dengan mencemari kehormatan agama, serta mengecil-ngecilkan dalam saat pelaksanaan kewajipan.

Keadaan yang demikian terdapat di mana-mana dalam masyarakat dan semakin berleluasa. Kondisi tersebut telah menimpa kaum Yahudi, Nasrani dan akhirnya beralih kepada kaum Muslimin.

Oleh itu, yang lebih mendukacitakan pada hari ini, yang mana sebahagian besar kaum Muslimin membuat tanggapan bahawa meskipun seorang Muslim melakukan dosa besar dan perbuatan keji, tetapi mereka diberi pilihan sama ada mendapat syafaat atau menyelamatkan diri melalui kifarah (bayar kifarah) atau mendapat pengampunan dan kemaafan hasil daripada sifat Allah yang Maha Ihsan dan mulia itu.

Begitu juga sebaliknya, kalaulah diandaikan mereka menerima hukuman azab, tetapi azabnya tidak berlaku dalam tempoh yang lama (mengikut tahap kesalahan masing-masing).


Mereka kemudiannya diizinkan keluar dari neraka untuk dimasukkan ke syurga, sedangkan penganut agama lain, mereka tetap berada di dalam neraka, walaupun sememangnya mereka melakukan amalan baik atau melakukan perbuatan dosa.”

iv) Al-Mawardi menafsirkan firman Allah SWT yang bermaksud mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam agama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan kepada dua pendapat;

Pertama: Kenyataan mereka bahawa kami anak-anak Allah dan kekasih-Nya. Inilah pendapat Qatadah.

Kedua: Mereka menyangka mereka tidak akan masuk ke neraka kecuali beberapa hari sahaja. Inilah pendapat Mujahid.

v) Muhamad Quraish Shihab berkata : Kata garrahum adalah penipuan yang dikemaskan dalam nasihat, atau pemberian harapan yang menyangkut sesuatu yang mustahil. Mereka terpedaya oleh kebohongan mereka sendiri yang menyatakan bahawa mereka tidak disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari, sementara hal tersebut tidak benar. Yang demikian itu hanya harapan yang tidak mungkin terwujud, tetapi kerana ia disampaikan dalam bentuk indah dan berkesan, sebagaimana halnya nasihat, padahal merupakan satu kebohongan, maka mereka terpedaya.

vi) Al-Maraghi berkata: “Hanya di alam akhirat sahajalah yang mengandungi sistem keadilan yang lengkap. Di sana, setiap individu tidak akan merasai balasannya dikurangkan dan seksaannya ditambah. Perkara yang diutamakan pada hari tersebut ialah pengaruh amalan seseorang pada jiwa. Sekiranya pengaruh jahat dibiarkan menguasai jiwanya, serta mengawal emosi, kewarasannya layaklah dirinya berada lama di dalam neraka. Ini kerana perbuatan buruknya itu, tidak sedikit pun membuka ruang kepada iman bagi mempengaruhi jiwanya melakukan perbuatan baik sahaja, bekalan untuk beliau di akhirat kelak.

Oleh yang demikian, seandainya beliau tidak berkeupayaan untuk sampai ke tahap untuk melakukan amalan soleh, wajarlah beliau menerima balasan yang setimpal dengan tahap perbuatannya itu.

Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk Ilahi dan selamat daripada golongan yang menyeleweng daripada agama yang sebenar dan sangkaan yang batil seperti golongan Yahudi. Malah seterusnya kita sentiasa bersama dengan kefahaman yang betul berkenaan agama Islam yang maha suci ini.

No comments:

ARTIKEL TERPANAS MINGGU INI.

.