23 - 26hb Mei 2013

CLICK ! LAPORAN KONTROVERSI & SENSASI!

ARTIKEL TERKINI DR MIM

BLOG Dr MiM

Sunday, June 15, 2008

Bicara Pakar Ekonomi - Sudut Ilmiah Isu Kenaikan Harga Minyak Mentah

Dr Novandri Hasan Basri

Mingguan Malaysia hari ini telah menyiarkan satu temuramah yang sangat menarik dan membuka minda ini. Ianya adalah di antara pihak Mingguan Malaysia dengan seorang pakar ekonomi, yang juga pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Amir Hussin Baharudin.

Beliau telah menjelaskan secara ilmiah dan terperinci mengenai isu minyak mentah yang melambung tinggi dan implikasi-implikasinya kepada kerajaan dan rakyat di Malaysia.

Selama ini, penulis hanya membaca pandangan pihak-pihak yang tidak berapa faham mengenai kronologi isu kenaikan minyak mentah dan petrol ini. Penjelasan mereka itu membuatkan penulis bertambah bingung kerana ianya tidak berlandaskan kepada ilmiah yang mendalam dan fakta-fakta yang telah dikaji.

Di antara lain, Dr Amir mengatakan bahawa dakwaan pihak pembangkang bahawa mereka boleh menurunkan harga petrol adalah merupakan dakwaan yang tidak munasabah.

Dalam erti kata yang lain, pembangkang cuma beromong kosong dan dakwaan itu hanya merupakan mainan politik untuk menarik hati rakyat agar menyokong mereka. Pada hal, jika dikaji dengan terperinci, dongengan pihak pembangkang itu bakal menjuruskan kepada tahap inflasi yang lebih tinggi di masa depan.

Rakyat seperti penulis dan para pembaca sekalian tentu tergerak hati ini untuk menerima bulat-bulat dakwaan pihak pembangkang itu.

Dan permainan politik ini mungkin berhasil kerana pembangkang tahu, tidak berapa ramai di antara rakyat Malaysia yang benar-benar mahir di dalam bab ekonomi.

Dan kerana itu, terdapat rakyat yang senang percaya kepada sesiapa sahaja yang kononnya mampu meringankan beban mereka walau pun ia sebenarnya hanya manis di bibir sahaja

Kesempatan itu digunakan oleh pihak tersebut, atas satu motif sahaja iaitu mahukan kuasa tanpa sebenarnya mementingkan kepentingan kita semua. Itu sahaja.

Maka kerana itu, penulis telah menyimpan wawancara Utusan Malaysia dengan Prof. Dr Amir Hussin di dalam blog ini untuk dijadikan sumber rujukan ilmiah yang berkualiti agar penulis faham dan tidak senang di tipu oleh pihak-pihak yang mahu mengambil kesempatan.

Penulis pasti para pembaca sekalian tentu bersetuju bahawa banyak perkara yang dibincangkan di dalam temuramah tersebut telah membuka minda kita untuk lebih memahami isu kenaikan minyak mentah dunia dan petrol.

Secara peribadi, penulis kenal dengan Prof. Dr Amir Hussin kerana beliau dan famili beliau pernah mengunjungi klinik penulis. Walau pun klinik penulis bukan panel untuk USM, beliau dan famili beliau telah beberapa kali datang ke klinik penulis untuk mendapatkan rawatan.

Apa yang penulis boleh katakan ialah setiap kali Dr Amir Hussin dan famili beliau datang ke klinik, penulis looking forwad untuk berbicara dengan beliau. Mana tidaknya, beliau merupakan cendiakawan dan pemikir ekonomi yang di kenali ramai di dalam USM.

Mungkin jika Dr Amir datang sekali lagi ke klinik, penulis akan menjemput beliau di dalam program e-temuramah kelolaan Minda Intelek Melayu dan surfers sekalian boleh mengemukakan soalan-soalan untuk beliau jawap. Insyaallah.

Ikutilah bicara pakar ekonomi ini:-

Fahami Langkah Kerajaan

Mingguan Malaysia

MINGGUAN: Kenapakah harga minyak dunia melonjak begitu tinggi sehingga memaksa kerajaan menaikkan harganya?

DR. AMIR HUSSIN: Sebenarnya dalam soal minyak ini, banyak fakta yang Malaysia tidak tahu, ia termasuklah juga dari segi kos cari gali. Malah dalam satu laporan mengenai minyak yang saya terima dari Denmark, mereka juga tidak menyatakan sebab utama kenapa harga minyak terpaksa dinaikkan.

Apa yang mereka jelaskan kononnya bahan bakar itu sudah hendak habis.

Dakwaan seumpama itu, saya fikir sudah disebut 50 tahun lalu tetapi sampai sekarang minyak tidak juga habis. Oleh itu punca sebenar kita tidak tahu, apa yang boleh kita lakukan ialah menaikkan harga mengikut pasaran dunia.

Dulu harga hanya sekitar AS$80 setong tetapi kini mencecah AS$134 setong.

Ertinya, dalam soal kenaikan harga ini, kita tidak dapat elak kerana ia adalah percaturan antarabangsa. Kita juga diberitahu kenaikan ini ada kaitan dengan penggunaan dolar bagi harga minyak.

Ketika ini nilai dolar menurun, ini jelas apabila RM1 bersamaan dengan RM5.10 sedangkan dalam dolar ia hanya RM3.08 sen. Itu menunjukkan harga euro meningkat dan harga dolar jatuh.

Apabila harga dolar jatuh, apa-apa yang disebut atau diperdagangkan dalam Dolar akan meningkat harganya. Itu sebab utama minyak mencecah sehingga AS$134 setong.

Persoalan juga timbul kenapa minyak tidak dijual dalam euro?

Bagi saya, ia tidak boleh dilakukan sekarang kerana negara-negara yang terlibat dalam soal minyak mempunyai kepentingan, mereka melakukan simpanan dalam mata wang dolar. Namun begitu jika dolar terus merosot, ini akan memberi kesan yang amat buruk kepada mereka.

Kelemahan dolar dikatakan berpunca daripada mata wang itu yang dilaporkan dicetak terlebih iaitu AS$6 trilion. Jumlah tersebut terapung begitu sahaja, mereka tidak tahu hendak buat apa.

Justeru mereka pindah daripada Bursa Saham New York ke pasaran hadapan, semua ini mengakibatkan dolar menjadi lemah.

Secara sinis, kita boleh kata apa yang berlaku dalam soal kenaikan minyak ini adalah permainan AS kerana barangkali mereka tahu kebanyakan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) adalah negara Islam dan apabila dolar lemah, harga minyak akan naik.

Keadaan itu akan menyebabkan banyak negara Islam lain yang bukan anggota OPEC tidak mampu membeli minyak, itulah politik AS.

Mingguan : Kerajaan sudah memberi jaminan bahawa apa pun terjadi minyak akan kekal dijual dengan harga sekarang, ertinya ia tidak akan dinaikkan walaupun harga di pasaran dunia terus meningkat, apa kesannya?

DR. AMIR HUSSIN: Adalah jelas apa yang dilakukan kerajaan semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat. Kerajaan tidak mahu rakyat terus sengsara dengan kenaikan minyak, oleh itu kita kekalkan harga di paras RM2.70 seliter, ertinya kerajaan terus bertahan dengan memberi subsidi sebanyak 30 sen.

Jika harga pasaran hendak diambil kira, kita tidak boleh jual minyak dengan harga di bawah RM3 seliter.

Ini kerana di Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pemain utama dalam pasaran, harga yang dijual ialah AS$4 segelen, jumlah segelen itu bersamaan dengan 4 liter, ertinya seliter adalah RM3.

Sepatutnya kerajaan mengenakan harga itu tetapi kerajaan tidak berbuat demikian, kerajaan sanggup terus memberikan subsidi demi untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Mingguan : Tidakkah tindakan itu akan memberi bebanan kepada kewangan kerajaan?

DR. AMIR HUSSIN: Sudah pastilah kewangan kerajaan akan terjejas teruk. Kerajaan harus mencari sumber lain bagi menambah pendapatan untuk melaksanakan pembangunan. Ini kerana semua wang bagi tujuan itu sudah berpindah kepada subsidi minyak.

Inilah masalahnya.

Cuba bayangkan ketika ini, Malaysia mengeluarkan 800,000 tong minyak sehari dan dijual dengan harga AS$138 setong, kalau mahu wang, kita mungkin boleh jual kesemuanya dan tidak membeli minyak untuk digunakan oleh rakyat negara ini tetapi kita tidak berbuat demikian.

Sebahagian daripada peruntukan daripada pengeluaran minyak berkenaan terpaksa digunakan untuk membeli balik minyak untuk ditapis dan diedarkan di negara ini.

Bagi saya apa yang dilakukan kerajaan dan Petronas dalam soal ini sudah bijak kerana hasilnya rakyat menikmati harga yang murah.

Di sesetengah negara mereka tidak mempedulikan soal penggunaan minyak oleh rakyat sendiri. Mereka akan jual semua minyak yang mereka miliki dan rakyat harus membayar mengikut harga pasaran.

Mingguan : Tetapi ada pihak bertanya kenapa perlu kita membayar harga yang mahal untuk minyak sedangkan kita pengeluar bahan bakar itu?

DR. AMIR HUSSIN: Jangan salah faham dalam soal ini. Kita bukannya pengeluar minyak yang besar dan bukan anggota OPEC. Sebaliknya kita mempunyai pengguna yang ramai apabila jumlah kereta di jalan raya di Malaysia kini melebihi 11 juta.

Kita juga mempunyai kenderaan yang mewah-mewah yang menggunakan minyak cukup banyak. Selain itu 60 peratus daripada penjanaan elektrik juga menggunakan minyak. Persoalannya banyak mana minyak yang kita miliki?

Kalau di Indonesia lainlah, mereka mengeluarkan minyak yang banyak.

Sepatutnya kita bersyukur kerana walaupun kita bukan pengeluar yang besar tetapi masih mampu mengawal harga. Ini kerana kita menjualnya dengan harga OPEC.

Kalau kita bukan pengeluar sudah pasti harga minyak sekarang akan dijual RM6 seliter.

Mingguan : Pembangkang mendakwa jika mereka memerintah, harga minyak boleh dijual di bawah paras RM2.70?

DR. AMIR HUSSIN: Dakwaan itu tidak munasabah. Bagaimana mereka hendak turunkan?

Saya mempunyai data mengenai kenaikan ini, saya sudah lakukan kiraan, ternyata penurunan harga tidak boleh dilakukan. Dalam satu perbincangan yang melibatkan empat agensi di USM baru-baru ini, kita mendapati Malaysia menanggung kerugian kerana terpaksa memberikan subsidi.

Wang subsidi itu sepatutnya boleh digunakan untuk melakukan penyelidikan bagi mencari sumber tenaga lain, itu lebih baik.

Pada pendapat saya, ketika ini sewajarnya bukan harga minyak dibincangkan tetapi alternatif kepada minyak, misalnya penggunaan gas asli.

Mahu tidak mahu minyak akan habis dan ini sudah pasti akan mendorong harga bahan itu akan terus naik, justeru macam mana ada orang boleh dakwa mereka boleh turunkan harga di bawah RM2.70 sen?

Kita harus ingat, subsidi yang diberikan oleh kerajaan bukan sahaja kepada minyak tetapi juga keperluan lain termasuklah gandum, kacang soya, gula dan sebagainya.

Kalau subsidi tidak diberikan harga bahan makanan juga akan naik, itulah yang harus difahami oleh rakyat. Kalau mereka mahu minyak murah, mereka harus memilih mahu minyak atau makanan.

Sebab itulah saya anggap dalam pemberian subsidi kepada minyak dan makanan ini kerajaan melakukan langkah yang bijak.

Saya juga hendak ingatkan, apabila Perdana Menteri dan Kabinet membuat keputusan, ia bukanlah keputusan seorang. Ada penasihat yang cukup berkaliber dalam soal ini.

Mereka sudah meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan sama ada hendak menaikkan harga minyak atau tidak. Mereka tidak bodoh.

Dalam soal harga ini, sepatutnya di AS bahan itu dijual murah tetapi kenapa mereka juga jual sehingga AS$4 segelen?

Ertinya, kenyataan pembangkang hanya bermotifkan politik kerana dari segi fakta ekonomi tidak munasabah untuk menurunkan harga minyak.

Mereka tidak akan mampu melakukan, biarpun menjadi Kerajaan Persekutuan. Jika mereka hendak turunkan juga harga dalam keadaan harga pasaran dunia yang semakin tinggi sudah pasti ia akan mencetuskan huru-hara kerana banyak projek pembangunan akan terjejas dan sekaligus akan menjejaskan kehidupan rakyat.

Mingguan : Persoalannya, bagaimana hendak menerangkan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah kerana apa yang mereka tahu kos hidup mereka bertambah kerana harga minyak naik?

DR. AMIR HUSSIN: Dalam soal ini, kerajaan ada dua pilihan,

1. Bebaskan harga minyak daripada harga pasaran dan kenakan cukai bagi setiap liter minyak

2. Kenakan harga mengikut pasaran tetapi berikan subsidi. Tetapi apapun dalam kedua-dua situasi itu kerajaan tetap kehilangan wang.

Apabila itu berlaku, ini akan menjejaskan pembangunan. Justeru mahu tidak mahu kita kena ikut cara sekarang iaitu harga ikut pasaran dunia dan berikan subsidi. Apa yang penting, rakyat harus belajar untuk mengubah cara hidup. Ketika ini penggunaan minyak di Malaysia melebihi jumlah pengeluaran kita.

Semua ini berlaku kerana masih terdapat banyak pembaziran terjadi.

Sebagai contoh, ada sesetengah rumah mempunyai hampir 10 buah kereta, begitu juga masih ramai yang tidak mahu menggunakan pengangkutan awam. Di Pulau Pinang sendiri, setiap hari 90 peratus bas masih kosong ertinya tiada penumpang.

Orang ramai masih suka memandu sendiri, biarpun seorang sebuah kereta. Maknanya, kita terlalu mewah dalam menjalani kehidupan.

Adalah sesuatu yang tidak wajar apabila kerajaan terpaksa memberi subsidi kepada penggunaan minyak kepada kereta persendirian tetapi dalam masa yang sama pengangkutan awam juga diberikan subsidi.

Kalau beginilah sikap orang kita, sampai tahun 2015 pun iaitu tahun yang dikatakan minyak Malaysia akan habis, pengangkutan awam di negara ini tidak akan maju.

Oleh itu, kita harus mengamalkan sikap memilih untuk menggunakan pengangkutan awam secara sukarela dan bukannya terpaksa.

Tetapi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam beberapa kelemahan harus diperbaiki.

Ini termasuklah memperbanyakkan tempat meletak kenderaan dan memastikan jadual bas tepat pada masanya serta harga tiket yang dikenakan tidak mahal.

Mingguan : Dalam soal berjimat ini ada cadangan supaya projek mega diberhentikan?

DR. AMIR HUSSIN: Tidak boleh juga kerana kita harus menjamin pekerjaan kepada rakyat dan memastikan keluaran dalam negara terus meningkat. Apa yang perlu kita fahami untuk mempertahankan nilai ringgit bukan satu kerja yang mudah.

Ketika Tun Dr.Mahathir Mohamad dulu keadaan berbeza kerana ringgit ditetapkan pada kadar RM3.80 sen.

Mingguan : Maknanya mahu tidak mahu, rakyat harus menerima hakikat mengenai kenaikan harga minyak dan perlu mengubah cara hidup mereka?

DR. AMIR HUSSIN: Itu paling penting. Mereka harus menerima hakikat, apabila sudah berbuat demikian barulah mereka boleh membuka minda bagaimana mahu berjimat cermat.

Salah satu cara bukan dengan memotong belanja melalui pendapatan yang sedia ada.

Kita perlu berusaha untuk menambah pendapatan dengan menghala kepada pengeluaran barangan atau perkhidmatan yang boleh jual, itu pun satu penjimatan juga.

Kita selalu bercakap kalau ada RM1,000 macam mana hendak hidup dengan wang sebanyak itu sedangkan kos hidup sudah meningkat RM1,200. Kita tidak pernah pula cakap, ‘‘kalau pendapatan aku RM1,000, aku hendak tingkatkan kepada RM1,200.’’

Oleh itu,kita tidak harus memikirkan untuk memotong kos hidup sahaja, sebaliknya kita juga harus fikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan. Contohnya, kalau dulu buat satu kerja sekarang buat dua kerja.

Mingguan : Bagaimanapun dalam usaha untuk menambah pendapatan ini, kerajaan perlu mengawal beberapa perkara antaranya sewaan kedai. Kalau sewaan kedai terlalu mahal ia mewujudkan inflasi.

DR AMIR HUSSIN : Kenapakah kedai yang sepatutnya disewa pada harga RM1,000 tetapi disewa pada kadar RM2,000 sebulan? Apakah bayaran kepada bank meningkat kerana kenaikan harga minyak?

Jawapannya tidak, sebaliknya pemilik kedai mengambil kesempatan.

Apabila itu berlaku segala barang yang dijual di kedai yang disewa mahal itu akan naik harganya. Kerajaan juga harus pantau harga jualan oleh penjaja. Kita memang mahu penjaja untung tetapi janganlah berlipat ganda.

Contohnya, kalau makan di hotel, mi goreng harganya RM2.50 tetapi tak kanlah harga yang sama turut dikenakan kalau kita makan di warung-warung tepi jalan?

Oleh itu kerajaan sepatutnya bukan sekadar mengenakan syarat agar peniaga runcit mempamerkan harga sebaliknya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga perlu membuat kajian di peringkat penjaja-penjaja kecil.

Kementerian itu tidak seharusnya hanya tahu menangkap penjaja ingkar sahaja sebaliknya mereka perlu membuat kajian bagi menentukan kos seseorang penjaja.

Selain itu dalam soal berjimat juga, syarikat-syarikat terutamanya GLC harus memastikan setiap pekerjanya melakukan kerja setimpal dengan gaji mereka.

Sekarang ini terdapat ramai Ketua Pegawai Eksekutif GLC dibayar gaji berpuluh ribu ringgit dan pekerja mereka pula menerima bonus lapan bulan gaji.

Saya ada bukti mengenai perkara ini.

Ada beberapa syarikat GLC terlibat. Mereka dakwa mengalami kerugian tetapi bonus bayar lapan bulan sedangkan kakitangan kerajaan pun hanya menerima setengah bulan bonus.

Dalam kata lain, dalam menghadapi kenaikan harga minyak ini, kita mahu semua rakyat di negara ini ‘hidup’. Oleh itu kita harus sama-sama berkorban.

Mingguan : Bagaimana hendak menerap budaya sanggup berkorban dalam keadaan sekarang ini?

DR. AMIR HUSSIN: Kita harus ada sikap kenegaraan, nasionalisme dan identiti. Cuba kita kaji, dalam soal kenaikan harga minyak ini kenapa rakyat Singapura tidak mengeluh, malah mereka beranggapan apapun berlaku, ‘‘saya rakyat Singapura.’’.

Semangat inilah yang tidak ada di kalangan sebahagian rakyat negara ini. Jadi salah satu daripada tugas pembangkang ia mewujudkan sentimen tersebut. Kalau mereka membangkang dengan tujuan untuk menjahanamkan ekonomi Malaysia, itu salah.

Malah mereka perlu ingat kalau tersalah langkah mereka boleh didakwa menjadi petualang negara.

Jangan keterlaluan dalam isu minyak ini bagi mempengaruhi rakyat. Sepatutnya apa yang pembangkang perlu lakukan ialah fikir bersama-sama kerajaan dan rakyat bagaimana hendak selesaikan masalah kenaikan ini dalam jangka pendek dan panjang.

Janganlah melakukan perbuatan menghasut dengan menyuruh rakyat menentang kerajaan kerana kenaikan bahan bakar itu sedangkan ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Malaysia negara tropika, suria banyak, cuba jadikan ia tenaga. Daripada kita beri subsidi kereta lebih baik kita subsidikan penjanaan elektrik. Gunakan duit berbilion ringgit untuk meminta pihak universiti-universiti mencari alternatif tenaga.

Kita ada kelapa sawit untuk menghasilkan biodiesel. Ketika ini diesel dijual RM2.58 sen seliter supaya apabila biodiesel dijual kepada rakyat nanti ia akan dijual lebih murah sedikit.

Kalau kita letak harga diesel murah contohnya RM1.43 sen siapa hendak buat penyelidikan biodiesel.

(Dr Novandri : Terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana telah menyiarkan temuramah ini.)

Abdullah, Najib Sepakat - Setuju Tentukan Masa Terbaik Untuk Peralihan Kuasa

Utusan Malaysia

KOTA BHARU 13 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegaskan, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah sepakat menentukan masa yang terbaik bagi peralihan kuasa.

“Saya dan Najib telah muafakat dan kita berdua telah sama-sama setuju bilakah masanya saya nak bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih dan menjadi Perdana Menteri.

“Tiada masalah antara kami berdua, jadi tidak payahlah sesiapa pun nak timbulkan perkara ini kerana antara yang hendak menyerah dan menerima sudah ada persetujuan,” kata Abdullah ketika berucap pada majlis makan tengah hari di sini bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan.

Hadir sama pada majlis itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Ini merupakan lawatan pertama Abdullah ke negeri ini selepas pilihan raya umum lalu untuk memberikan penjelasan kepada pemimpin dan rakyat mengenai senario politik semasa.

Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan bahawa Najib akan tetap menjadi Perdana Menteri bila tiba masanya nanti.

Isu peralihan kuasa itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya berikutan masih ada pihak yang sangsi terhadap hubungan antara beliau dan timbalannya.

Ia juga ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikan Abdullah pagi ini.

Mesyuarat tersebut berlangsung selama kira-kira dua jam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdulah menegaskan, semua pihak tidak wajar membuat spekulasi mengenai hubungan baiknya dengan Najib kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

“Yang penting semua pihak perlu melihat hubungan kami berdua adalah untuk menguatkan parti dan kerajaan serta program pembangunan yang telah dirancang selama ini,’’ ujar beliau.

Kelmarin, dalam satu syarahan umum di London, Najib percaya peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau amat menghargai sokongan dan mandat yang diberikan oleh rakyat kepadanya untuk terus memimpin parti dan negara. (Dr Novandri : ?)

“Saya amat menghargai sokongan terhadap saya. Kalau diberi sokongan kuat dan padu seperti ini, saya akan terus bekerja dengan lebih kuat untuk parti dan kerajaan,” katanya.

Abdullah memberitahu, walaupun sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini merosot tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bekerja lebih keras.

Beliau meminta ahli-ahli dan pemimpin UMNO menguatkan semangat mereka.

“Sebagai pejuang, jangan kita patah semangat demi untuk agama dan bangsa kita. Istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang.

“Pantang undur sebelum menyerah dan pejuang perlu berjuang. Kalau patah hati, tidak payah berjuang, biarlah tunggu mati sahaja,” katanya.

Perdana Menteri menambah, kerajaan yang memerintah sekarang perlu memikirkan sokongan majoriti rakyat yang menyokong BN.

“Majoriti rakyat mahukan kita terus berjuang. Dalam pilihan raya umum lalu kita tidak lemah dan kalah, cuma sokongan sedikit merosot,” katanya. (Dr Novandri : Sokongan sedikit merosot? Apakah BN kalah 5 negeri dan juga hilang 2/3 kerusi parlimen, maksudnya sokongan sedikit merosot?)

Abdullah berkata, adalah perkara lumrah bagi sesebuah kerajaan menghadapi masalah pasang surut sokongan dan masa ke masa.

Abdullah yakin UMNO akan pulih dan kuat kembali bagi memimpin negara dengan syarat semua pihak, termasuk pemimpin atasan dan pemimpin akar umbi parti itu, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan. (Dr Novandri : ? Demokrasi - Yang di atas mesti dengar cakap orang yang di bawah dan bukan sebaliknya.)

“Saya tahu selepas jatuhnya beberapa negeri (pada pilihan raya 8 Mac lalu) timbul suasana sedih, marah dan kecewa terhadap tahap kekuatan parti. (Dr Novandri : Tahu tapi tak buat apa-apa, tak sama dengan, tahu tapi lambat membuat sesuatu.)

“Keadaan menjadi agak kelam-kabut seolah-olah macam kita kalah walaupun sebenarnya kita menang,” katanya.

Sementara itu, pada majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat di sini, Abdullah melahirkan kenyataan yang senada dengan Najib yang sesekali tidak akan merosak dan menghancurkan UMNO dalam apa keadaan sekalipun.

“Saya sama seperti Najib yang ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein telah bersama-sama menubuhkan parti, saya pun sama apabila ayah dan datuk telah berjuang menubuhkan parti ini di sebelah Utara.

‘‘UMNO akan kembali bangkit semula dengan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.

(Dr Novandri : Secara teknikal merujuk kepada perlembangan UMNO, masa terbaik untuk peralihan kuasa tersebut adalah sebelum bulan OKTOBER 2008. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut di dalam artikel saya seterusnya.)

FB PRU-13

ARTIKEL MIM TOP MINGGU INI.