23 - 26hb Mei 2013

CLICK ! LAPORAN KONTROVERSI & SENSASI!

ARTIKEL TERKINI DR MIM

BLOG Dr MiM

Sunday, August 31, 2008

Pemikiran Bangsa Malaysia

Dr Novandri Hasan Basri

Di sertakan di bawah ini satu artikel tulisan penulis yang telah disiarkan di Utusan Malaysia mengenai Hari Kemerdekaan ;

PADA 31 Ogos 1957, bertempat di Stadium Merdeka, Tunku Abdul Rahman telah membacakan Perisytiharan Kemerdekaan. Antaranya Almarhum menyebut:

“... Maka dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Mengasihi, saya memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu…… akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kesetiaan rakyat.”

Sejak dari mulanya penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kita amat mementingkan aspek kebebasan, keadilan, kesejahteraan dan kesamarataan di antara rakyat.

Hari Kemerdekaan ke-51 ini adalah masa yang terbaik untuk kita merenung sejenak kepada aspek-aspek tersebut. Realitinya, ia hanya dapat berlaku jika atmosfera negara berada dalam stabil dan rakyatnya bersatu padu, aman dan tenteram.

Perpaduan nasional adalah satu budaya murni untuk mewujudkan nilai-nilai kemesraan dan hormat-menghormati sesama kaum. Kita ingin menghapuskan rasa kekok, buruk sangka, ekstremisme dan segala perkara negatif yang mampu membinasakan keharmonian sesama sendiri.

Usaha perpaduan nasional mesti dilakukan secara berterusan dan pragmatik agar tercapai dalam satu rangka masa yang praktikal dan rasional. Realitinya, perpaduan nasional adalah satu sikap positif yang perlu dipunyai oleh setiap bangsa Malaysia.

Perpaduan

Bagaimanapun, perancangan dan usaha untuk mewujudkan kefahaman yang tulen mengenai perpaduan nasional mesti melibatkan semua lapisan kaum.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersama-sama menjayakan usaha perpaduan nasional ini dengan lebih bersungguh-sungguh dan ikhlas, disertai dengan anjakan paradigma pemikiran dan pemahaman semua kaum mengenai semangat perpaduan itu sendiri.

Untuk merealisasikan anjakan paradigma pemikiran dan pemahaman mengenai semangat perpaduan ini, kita perlu berlandaskan kepada satu sumber yang sangat penting iaitu ilmu. Ilmu sangat berguna untuk mencelikkan mata dan minda.

Tanpa ilmu yang cukup, kita akan senang terpengaruh dan cepat hilang sabar. Lebih-lebih lagi di zaman siber hari ini di mana terdapat anasir-anasir jahat yang sengaja mengganggu domba kesejahteraan rakyat Malaysia. Realitinya, tanpa ilmu dan pegangan, kita boleh hilang pertimbangan dan tindak balas kita mungkin bersifat perkauman yang ekstrem. (klik di sini untuk bacaan seterusnya.....)

Perlu Tegas Tangani Pencabul Perlembagaan

Mingguan Malaysia

Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terus mempertikaikan peruntukan Fasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Bahasa Melayu dan Hak Keistimewaan Orang Melayu.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Abd. Aziz Bari berkata, kerajaan sepatutnya memandang serius perkara itu dan segera menghentikan gejala yang membimbangkan ini.

Katanya, perkara itu tidak harus diberi ruang untuk dipertikaikan lagi kerana ia merupakan kunci kepada kestabilan negara yang telah dipersetujui dengan penuh muafakat sebelum mencapai kemerdekaan.

Beliau berpendapat, antara faktor keberanian pelbagai pihak yang mempertikaikan undang-undang tersebut adalah kerana kurangnya penguatkuasaan kerajaan terhadap pelaksanaan matlamat dan semangat kedua-dua fasa berkenaan.

"Sebenarnya keseluruhan Perlembagaan Persekutuan perlu diperkasakan dan bukannya hanya setakat Fasal 152, 153 sahaja kerana jika langkah konkrit tidak dilakukan, Perlembagaan kita akan jadi seperti perhiasan atau kosmetik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Merdeka Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152, 153 dengan tema Memperkasakan Perlembagaan Negara anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini hari ini.

Forum yang dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Mohamad Agus Yusof itu turut dihadiri oleh ahli panel lain iaitu Penasihat Undang-Undang Majlis Muafakat Melayu Malaysia, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman dan peguam, Zainur Zakaria.Majlis itu dirasmikan oleh Penaung MTRK, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan turut dihadiri Presiden MTRK, Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Sementara itu, Abd. Aziz mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu badan atau jawatankuasa khusus di peringkat Pusat dan negeri bagi memperincikan pelaksanaan Fasal 153 yang dilihatnya agak tersasar daripada maksud dan matlamat sebenar undang-undang itu.

"Saya difahamkan pada masa ini tiada badan khusus sama ada peringkat kementerian atau negeri yang melaksanakannya dan ini adalah antara punca berlakunya keciciran di kalangan Melayu sendiri dan wujudnya pihak tertentu yang mempertikaikan intipatinya," katanya.

Bekas Pengerusi Malaysia Airlines System (MAS) itu berkata, hak Bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu telah diiktiraf oleh British sebelum negara mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan dirangka lagi.

Malah, katanya, ia telah dipersetujui oleh semua pihak melalui kontrak sosial sebelum ini dan adalah tidak rasional apabila selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan ia diungkit dan dipersoalkan.

Dalam pada itu, Zainur menyelar pemimpin Melayu beragama Islam yang sanggup menggadai maruah bangsa dan agama demi mencapai cita- cita politik.

Katanya, pemimpin ini kononnya akan mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia baru yang mempunyai kesamarataan tetapi tidak dijelaskan ciri-cirinya yang sebenar.

"Adakah kita mahukan sebuah masyarakat seperti Singapura atau masyarakat mempunyai pelbagai bahasa rasmi, agama Islam diletakkan pada kedudukan sama dengan agama lain, adakah kita sanggup terima semua ini."

"Melayu bukannya tuntut hak lain cuma kita pertahankan hak sedia ada yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi apabila kita perjuangkan hak ini seolah- olah seperti kita pula yang bersalah," katanya

Rahsia Puasa

Dr Novandri Hasan Basri

Penulis ingin mengucapkan Selamat menunaikan ibadah puasa dan tarawikh di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga bulan ini mendatangkan keinsafan dan merapatkan lagi barisan ummah di antara kita semua.

Di sini penulis sertakan satu artikel yang sangat menarik untuk tatapan kita bersama.

DR Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita berasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

1. Menguatkan Jiwa.

Dalam hidup, kita mendapati ada manusia dikuasai hawa nafsu.Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, walaupun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya. Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia kalah, malapetaka besar akan berlaku.

Perkara ini kerana manusia yang kalah itu mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung kepada kesesatan.Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya bermaksud: "Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya." (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)

2. Mendidik Keinginan Ke Arah Kebaikan.

Puasa mendidik seseorang memiliki keinginan kepada kebaikan, walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara baik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Puasa itu sebagai benteng" (daripada serangan keburukan).

Dalam kaitan ini, puasa menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri, walaupun mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi.

3. Menyihatkan Badan.

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif terhadap kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan).

Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah SAW , malah dibuktikan doktor atau ahli perubatan.

4. Mengenal Nilai Kenikmatan Dan Bersyukur.

Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan Allah kepada manusia, tetapi ramai tidak mensyukurinya. Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh merenungi kenikmatan diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.


5. Mengingati Dan Merasakan Penderitaan Orang Lain.

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir.

Oleh itu, sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah).

Zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir. (Petikan Al-Azim.Com)

FB PRU-13

ARTIKEL MIM TOP MINGGU INI.