Asri Salleh dan Ahmad Suffian Mohd. Zahari
(Utusan Malaysia)Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan.
Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.
Tiada kamus yang mendefinisikan terma
'Ketuanan Melayu.' Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada
'dominasi bangsa Melayu' (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai
Malay Supremacy atau
Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil
'kontrak sosial.'Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.
Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.
Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu - dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.
Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:
1. Timbal Balas (Quid Pro Quo)
Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20.
Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.
Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.
Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui
konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22).
Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.
Aturan timbal balas atau
quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai
'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara.
Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
2. Artikel 153Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai
Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.
Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.
Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.....
(Klik di sini utk bacaan seterusnya)