PUTRAJAYA -- 23 - 26hb Mei 2013

CLICK ! LAPORAN KONTROVERSI & SENSASI!

ARTIKEL TERKINI DR MIM

BLOG Dr MiM

Sunday, December 14, 2008

Menghadirkan UMNO dalam kehidupan seharian

Dr Novandri Hasan Basri

Di sini disertakan artikel penulis yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia, 8 tahun yang lepas. Penulis dapati banyak points di dalam artikel tersebut masih tidak dipraktikkan di dalam usaha untuk reengineering UMNO.

Di antara lain:-

Menghadirkan UMNO dalam kehidupan seharian

(Utusan Malaysia)


.....Malah, kita telah ketahui bahawa intipati perlembagaan yang menjadi teras kepada parti UMNO pula terpaksa diubahsuai untuk menampung segala kepincangan sikap sesetengah ahli-ahli UMNO ini.

Ia menunjukkan bahawa UMNO dan semangatnya yang terpaksa mengalah dan akur dengan kerenah ahli-ahlinya dan bukan sebaliknya.

Maka realitinya, pemfokusan UMNO sebenarnya ialah untuk menginsafi ahli-ahli yang selama ini menggunakan segala taktik kotor di dalam parti.

Dan perwakilan-perwakilan wajar membicarakan isu terpenting ini dengan lebih terperinci. Pemimpin-pemimpin tertinggi pula perlu proaktif dan telus di dalam mengenal pasti musuh di dalam selimut dan diadili oleh lembaga disiplin bebas.....

......Pembersihan di dalam UMNO perlu sebegini rupa supaya tidak ada sesiapa pun yang terlepas daripada tindakan undang-undang. Seperti kata Presiden UMNO, tidak ada siapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang.

Dalam masa yang sama, segala perbincangan di atas menyebabkan UMNO hari ini tampil sebagai parti yang sangat tertumpu kepada aspek politiking tanpa me-ngimbanginya dengan aspek-aspek lain di dalam kehidupan ini seperti aspek sosial.

Malah segala pindaan dan keributan yang berlaku sekarang boleh disalahtafsirkan oleh orang ramai dan digunakan sebagai umpan menagih sokongan oleh pihak pembangkang.

Memang benar kerajaan yang dipimpin oleh UMNO telah menyediakan pelbagai prasarana untuk rakyat Malaysia, tetapi saya rasa UMNO perlukan satu set penjelasan tugas (job description) yang berlainan daripada kerajaan.

Perlu ada satu garis pembeza yang nyata antara tanggungjawab dalam kerajaan ataupun syarikat dengan tanggungjawab sebagai pemimpin ataupun ahli-ahli UMNO. Saya rasa kekeliruan ini turut menyumbang kepada masalah di dalam UMNO hari ini. Ini kerana:-

a) Pemimpin-pemimpin UMNO mungkin menjalankan tugas di dalam kerajaan ataupun syarikat dengan baik tetapi mereka gagal untuk merapatkan diri dengan penduduk kawasan yang memilih mereka dengan alasan sibuk dengan tugas-tugas rasmi. Dengan itu, orang ramai akan terasa tersisih dan jauh hati dengan para pemimpin mereka.

b) Pemimpin disimbolkan sebagai orang yang sangat berkuasa, senang, dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk menyenangkan diri sendiri, keluarga dan saudara mara.

Persepsi ini dikuatkan lagi dengan penonjolan para pemimpin yang berkereta besar, berbaju mewah dan berumah besar. Malah pemimpin-pemimpin mampu untuk menyusuri jalan-jalan raya yang sibuk di negara ini tanpa terhenti-henti. Adalah naluri manusia untuk mengharapkan semua itu dan dalam masa yang sama naluri ini turut membawa budaya negatif ke dalam sesebuah komuniti, UMNO contohnya.

c) Pemimpin dipilih untuk mewakili ahli-ahli parti ataupun penduduk yang menyokong mereka. Tetapi, tanpa penjelasan tugas bertulis dan nyata, pemimpin-pemimpin tidak akan dapat membahagikan masa yang sama rata di antara tugas-tugas rasminya dengan kewajipannya untuk berada di dalam kelompok masyarakat yang memilih mereka, mengenal pasti dan bersama-sama menyelesaikan segala masalah, tanpa perlu melalui orang kanan mahupun sekretari.

d) Ahli-ahli UMNO pula tidak mempunyai satu garis panduan ataupun senarai semakan yang berkesan untuk menentukan pencapaian dan masa yang diluangkan oleh pemimpin-pemimpin tersebut bersama-sama mereka.

Apa yang kelihatan hari ini ialah masa yang digunakan untuk perjumpaan dengan ahli-ahli akar umbi dan penduduk setempat merupakan slot-slot yang sangat kecil di dalam diari pemimpin-pemimpin kecuali di hari perayaan atau pun semasa pilihan raya.

e) Perancangan, penentu dan pelaksanaan tampak seolah-olah berkisar di peringkat atasan sahaja tanpa penglibatan secara langsung oleh ahli-ahli UMNO biasa. Ini mungkin menyebabkan mereka tawar hati dan rasa tidak diperlukan.

Seperkara lagi, apa yang kelihatan hari ini ialah UMNO terlalu bergantung kepada aktiviti-aktiviti kerajaan untuk menonjolkan diri, tanpa sebenarnya menaikkan nama parti sebagai perintis di dalam mengusahakan sendiri pendekatan sosial parti. Terlalu sedikit kedengaran sesuatu usaha yang berlabelkan UMNO.

Malah segala aktiviti yang dijalankan oleh UMNO cawangan dan bahagian tidak mendapat publisiti meluas di kalangan orang Melayu sedangkan pihak-pihak yang bertanggungjawab boleh memanfaatkan media untuk menyebarkan segala bentuk aktiviti parti kepada orang Melayu.

Ini adalah kekurangan UMNO hari ini. Terlalu banyak politiking menyebabkan kita terlupa prioriti terpenting untuk orang Melayu itu sendiri.

Untuk membangkitkan kerelevanan UMNO di dalam orang Melayu, parti ini perlu wujud di dalam kitaran hidup seharian orang Melayu.

Pegangan orang Melayu kepada UMNO bukan dalam bentuk makro sahaja seperti biasiswa. Dasar-dasar kerajaan atau pun bantuan kewangan tetapi perlu juga dari segi holistik dan penumpuan berbentuk individualistik.

Birokrasi dan protokol-protokol rasmi perlu dikurangkan dan pemimpin-pemimpin harus mengalami suasana kehidupan ahli-ahli dan penyokong mereka dengan lebih serius dan ikhlas
..... (Utusan Malaysia)

Melayu Jangan Cepat Melenting

Hashim Suboh

(Utusan Malaysia)


Isu ketuanan Melayu yang dijaja oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu atau dijolok oleh pemimpin bukan Melayu tidak kira di kalangan pemimpin UMNO, kerabat pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) mahupun oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang telah mencetuskan perasaan muak dan menyampah yang amat sangat terhadap politik dan orang politik.

Rakyat yang rasional dan tidak pernah teruja mahupun tergugat oleh soal ketuanan Melayu semakin bertambah jelik dengan retorik politik perkauman yang cuba menjebak mereka dengan prejudis dan persengketaan di antara satu sama lain.

Fitrah dan tabii kemanusiaan selalunya cenderung untuk memberikan penghormatan kepada sesiapa sahaja yang cemerlang. Bangsa yang berilmu, maju, kuat dan menguasai ekonomi akan dihormati dan ditakuti.

Bangsa yang inovatif dan gigih mencipta, melahir dan membina tamadun akan menjadi bangsa rujukan dan dipandang tinggi manakala bangsa yang beradab, berdisiplin, bersih, rajin dan amanah akan sentiasa dimuliakan berbanding dengan bangsa yang dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran, kedaifan dan sifat-sifat pemalas.

Kerana itu, pemimpin Melayu yang hanya berbangga dan taksub dengan ketuanan Melayu tetapi enggan berusaha untuk menjadikan Melayu sebagai tuan dalam erti kata yang sebenar yakni yang menguasai, berjaya dan berada di hadapan dalam setiap aspek kehidupan berbanding dengan bangsa yang bukan tuan sesungguhnya adalah musuh terbesar kepada ketuanan Melayu yang hendak dipertahankan itu.

Dalam konteks perbincangan ini, adalah malang untuk pemimpin Melayu yang berbangga menjadi tuan dengan hanya bersandarkan sejarah dan Perlembagaan Persekutuan itu akhirnya terpaksa berhempas-pulas dan terpekik-terlolong meminta supaya mereka tetap dipanggil tuan tanpa mampu berbuat apa-apa untuk menterjemahkan makna ketuanan selain daripada membuat bantahan ataupun membuat kenyataan berapi-api di dalam akhbar.

Diasak oleh pelbagai cabaran dan tuntutan zaman yang berubah, bangsa Melayu sesungguhnya tidak boleh mengharapkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menghunuskan keris bagi mempertahankan ketuanan Melayu.

Orang Melayu juga tidak boleh terus mengharapkan pemimpin dan intelektual Melayu sekali lagi bersidang atau berkongres dan seterusnya menghasilkan puluhan resolusi untuk menegakkan ketuanan Melayu.

Sebaliknya orang Melayu harus berusaha sepenuh tenaga untuk menjadi tuan yang menguasai ekonomi dengan menerajui bank dan institusi-institusi kewangan; memimpin dan menguasai industri besar, kecil dan sederhana; mendominasi kegiatan peruncitan, perdagangan dan pemborongan; ke hadapan di bidang ilmu, sains dan teknologi di samping menjadi amat produktif di bidang pertanian, ternakan serta lain-lain bidang perekonomian.

Akhirnya tanpa perlu berperang atau terpaksa membuka kitab sejarah mahupun merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan dihormati sebagai tuan yang tidak lagi bergantung kepada belas ihsan dan subsidi daripada bangsa yang lain.

Orang Melayu sebenarnya tidak lagi boleh kekal seperti tebuan yang hanya garang apabila diganggu tetapi kembali leka mengulit sarangnya yang rapuh di zon selesa apabila keadaan kembali tenang..... (Klik di sini untuk bacaan seterusnya)

FB PRU-13

ARTIKEL MIM TOP MINGGU INI.

RECOMMENDED