FACEBOOK DR MIM

Sunday, November 08, 2009

Nizar! Isteri dijadikan Pertaruhan Di dalam PAS.

Awang Selamat

Pengakuan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tentang wujudnya bai'ah atau sumpah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya ada wakil rakyat Pas berhenti atau keluar parti, agak menggemparkan.

Walaupun cakap-cakap mengenai perkara itu sudah kedengaran ketika isu lompat parti hangat diperkatakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, ia masih tinggal sebagai desas-desus kerana pemimpin Pas mengunci mulut.

Maka apabila Khalid membuat pengakuan itu, ia membongkarkan apa yang sudah membuak-buak tersimpan sebagai rahsia yang menanti pecah. Awang percaya pendedahan itu bukan sahaja mengejutkan orang ramai malah di kalangan para pemimpin dan ahli parti itu sendiri.

Pelbagai pihak termasuk ulama seperti Mufti Perak, Harussani Zakaria dan Profesor Dr. Mahmood Zuhdi serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah bai'ah tersebut yang bercanggah dengan amalan dan nilai Islam sebenar. Beberapa pemimpin pembangkang terutama DAP dan Kelab Penyokong Pas turut mempersoalkannya.

Asas bantahan semua pihak cukup jelas iaitu isteri dan perkahwinan yang dilihat mulia tidak sepatutnya menjadi bahan pertaruhan hanya kerana politik.

Persoalannya mengapa sampai ke tahap itu pemikiran pemimpin Pas yang mencampurkan urusan parti dan perkahwinan?

Mengapa wanita dijadikan mangsa kejahilan?

Kita bukan berada di zaman jahiliah. Sesungguhnya Awang tidak terkejut dengan bai'ah seperti itu kerana Pas untuk sekian lamanya sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan politik berbanding kepentingan Islam.


Ia jelas memperlihatkan budaya politik yang rendah pada parti itu selain kurang keyakinan dalam mengurus barisan wakil rakyatnya.

Awang percaya tiada parti politik dalam dunia termasuk yang menggunakan label Islam mengadakan bai'ah menceraikan isteri talak tiga (yang tidak boleh dirujuk semula kecuali Cina buta).


Rasanya juga tiada parti politik termasuk di negara mundur seperti di benua Afrika, yang wakil-wakil rakyatnya akan membenarkan diri terikat dengan sumpah seumpama itu yang tidak munasabah, bercanggah dengan semangat demokrasi, keadilan dan kebebasan jiwa yang merupakan prinsip Islam.

Pas perlu ada keyakinan, ia bukan Parti Ajaran Sesat sebagaimana Ayah Pin yang mengubahsuai agama untuk kepentingan dan keseronokan diri. (Mungkin Ayah Pin pun tidak tergamak adakan bai'ah itu).


Bagaimana jika kepimpinan Pas melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam, kezaliman, kejahilan dan segala macam eksploitasi serta kelemahan memudaratkan tetapi enggan membetulkannya, apakah wakil rakyat Pas akan terus bersubahat dan tidak berani bertindak keluar parti?

Menurut Khalid, bai'ah tersebut bagi mengelakkan pengkhianatan, tetapi mengapa isteri yang menjadi galang ganti?

Tidakkah ia bersifat ugutan yang melampau. Kalau begitu, mana-mana wanita yang berkahwin dan bakal berkahwin dengan aktivis politik Pas perlu berhati-hati dan bersedia dari sekarang kerana anda mungkin terjebak menjadi mangsa sumpah politik.

Jika keadaan ini dibiarkan, Awang tidak terkejut jika selepas ini, akan ada bai'ah lain seperti murtad seisi keluarga jika keluar parti.


Sekali lagi, ia membuktikan Pas mempergunakan agama demi kepentingan dan muslihat politik. Awang melihat ini sebagai ketaksuban berparti yang akan terus meletakkan Pas sebagai parti ekstrem.

Sebab itulah, Pas sukar memberikan impak dalam politik nasional. Parti itu juga selalu melepaskan kesempatan terbaik untuk mengamalkan kesederhanaan dalam pendekatannya sebagaimana amalan Nabi Muhammad SAW.

Belum terlewat untuk kembali ke pangkal jalan dengan membatalkan bai'ah tersebut. Persoalannya apakah Pas bersedia melakukannya sambil mengakui kesilapan?

ARTIKEL TERPANAS MINGGU INI.

.