Sudah jelas lagi bersuluh bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan diperlekehkan dan diputarbelitkan.Nasihat Najib ketika berucap pada majlis pecah tanah bangunan baru Utusan Melayu (M) Berhad baru-baru ini telah dijadikan modal untuk mensensasikan berita yang dimuatkan di dalam portal berita propembangkang.
Tiba-tiba sahaja, portal berita tersebut mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam nasihat Najib yang berkata: “Sikit-sikit bolehlah,” iaitu merujuk kepada kisah seorang pemimpin terkemuka yang berpoligami tanpa kebenaran.
Najib langsung tidak menyebut atau merujuk ‘seseorang itu’ sebagai Anwar Ibrahim tetapi itulah sikap sebenar portal berita propembangkang yang begitu gemar memutarbelitkan fakta.
Nasib baiklah, negara kita mengamalkan kebebasan akhbar sehinggakan segala fitnah dan fakta tidak betul yang disiarkan di dalam portal berita yang menjadi lidah pembangkang iaitu Malaysian Insider dan Malaysiakini itu terus dibiarkan berbuat apa sahaja yang mereka suka.
Jika di negara lain, sudah pasti editor portal berita tersebut telah ditahan dan disumbat ke dalam penjara. Tetapi ia tidak berlaku di negara kita kerana Malaysia begitu menghormati kebebasan akhbar. Utusan Malaysia
