
Tahun ini Pas yang menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat mula mengenali Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan Pas tidak banyak bercakap tentang dia, cuma Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang galak memberikan kenyataan mengenai Anwar.
“Anwar”, “PKR” dan “DAP” juga menjadi kata kunci kepada banyak persoalan rakyat mengenai panas sejuk politik sepanjang tahun ini. Kata kunci inilah yang paling banyak diperkatakan, dari warung mamak di kaki lima hingga ke Parlimen.
Dalam wawancara dengan bekas calon Timbalan Presiden PKR, Zaid Ibrahim, beliau yang menyertai PKR kerana terpikat dengan idealisme perjuangan keadilan dan demokrasi terpimpin kecewa apabila dihalang bertanding menentang calon pilihan Anwar, Azmin Ali.
Kata Zaid, “Kalau kita tidak mahu orang bertanding buatlah peraturan. Bila parti kata sesiapa boleh bertanding maka tidak ada sesiapa boleh mengungkit perkara itu. Sama ada layak jadi ketua atau tidak itu ahli yang menentukan. Kalau kita ada blok atau kumpulan dalam parti, ini yang menyebabkan pemilihan tidak sihat.
Halaman Wawancara juga bukan sahaja menyingkap denyut nadi politik dan keluh kesah rakyat malah menyusur jauh ke dalam persoalan kemudian membentangkan sebagai rujukan zaman. Sebelum 2008, hampir tidak ada rungutan orang Melayu yang dipinggirkan oleh kerajaan negeri.
Tetapi selepas 2008 hingga 2010, orang Melayu di Pulau Pinang misalnya telah menjadi mangsa “balas dendam” kerajaan DAP. Penyingkiran Melayu dari isu dilarang berniaga di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hingga usaha melenyapkan kampung-kampung Melayu - seterusnya.


