Dr Novandri Hasan Basri
Pada 6hb September 2008 bersamaan 6hb Ramadhan 1429, Dato' Mukhriz Tun Mahathir telah menawarkan diri beliau untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Penulis sendiri berada di 'Teratak Maharizan', kediaman peribadi keluarga beliau di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah untuk mengikuti majlis tersebut.
Berani Berubah - itulah cogankata yang terpampang di belakang pentas. Maksudnya sangat jelas. Pemuda UMNO perlukan reengineering di dalam maksud dan perjuangan Pemuda UMNO.
Dato' Mukhriz telah menggariskan 4 manifesto yang akan diperjuangkan oleh beliau jika berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Dalam masa yang sama, Dato' Mukhriz juga mengatakan bahawa beliau tidak akan menjawat sebarang jawatan di dalam kerajaan pusat jika beliau menang.
Konsep tersebut mengingatkan penulis kepada era Dato' Harun Idris di mana beliau hanya menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia tanpa menjadi menteri penuh di dalam kerajaan pusat.
Dengan cara itu, Dato' Harun Idris dan Pemuda UMNO tidak terikat dengan sebarang 'aku janji' di dalam kerajaan pusat. Secara tidak langsung, Pemuda UMNO mampu bertindak sebagai pemerhati dan pengkritik yang amat berkesan kepada setiap gerak kerja kerajaan pada ketika itu.
Dato' Harun juga dapat memfokuskan usaha beliau untuk memperkuat dan memperkasakan Pemuda UMNO sehinggakan Pemuda UMNO era Dato' Harun begitu berpengaruh, kuat, disegani oleh kawan dan juga lawan UMNO. Malah pemuda Melayu ketika itu mahu diri mereka dikaitkan dengan Pemuda UMNO.
Mungkin ianya masih awal untuk dibandingkan tetapi penulis percaya bahawa setiap ahli Pemuda UMNO Malaysia sentiasa mengharap dan melihat Dato' Mukhriz sebagai satu alternatif kepimpinan baru di dalam menerajui Pemuda UMNO Malaysia yang amanah dan tidak korup.
Realitinya, ahli-ahli Pemuda UMNO dan kepimpinan Pemuda UMNO akan memilih beliau bukan kerana sogokan wang atau pun rasuah wang yang kotor dan hina tetapi kerana kredibiliti dan kemampuan beliau utuk menerajui Pemuda UMNO.
Penulis telah menemuramah Dato' Mukhriz di dalam artikel-artikel sebelum ini dan para pembaca sekalian boleh membaca dan menilai pendirian, visi dan harapan beliau.
Temuramah bersama Dato' Mukhriz :-(klik : - PART 1 , PART 2 , PART 3 , PART 4 , PART 5 )
Penulis sedang menantikan pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO lain yang mahu menawarkan diri untuk bertanding. Pastinya, mereka juga mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing tetapi yang penting sekali ialah Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru mestilah mampu untuk membawa Pemuda UMNO ke tahap yang lebih cemerlang, disegani dan bersih.
