Ulangtahun UMNO ke-62 hari ini (11hb Mei 2008) telah dibayangi dengan pelbagai isu yang menduga kemantapan, kekuatan dan kerelevanan parti itu sebagai benteng kaum Melayu. Isu-isunya sunguh jelas sehinggakan menimbulkan pelbagai persoalan di benak kita ini, · Kenapakah sudah ramai golongan yang begitu berani dan dimudahkan bersuara lantang untuk mempersoalkan hak-hak kaum Melayu dan kedaulatan raja-raja?
· Apakah parti UMNO sudah hilang karisma dan bisanya untuk mempengaruhi klimaks politik dan sosial di negara Malaysia ?
Dalam masa yang sama, parti UMNO sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional dirasakan sudah tidak dapat mengawal lagi perubahan dan persepsi ahli-ahli dari akar-umbi, khsusnya dan rakyat, secara amnya.
Malah, masih terdapat lagi pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang masih lagi di dalam alam penafian (denial) dan masih tidak mahu lagi menerima isyarat yang telah di hantar oleh ahli-ahli akar umbi dan rakyat.
Konsep ‘lama-lama sejuk la tu’ dan tidak bertindak serius di dalam menangani sebab-sebab yang mengakibatkan prestasi parti yang tidak memberangsangkan di dalam PRU-12 merupakan satu usaha yang tidak mungkin akan dapat memenangkan kembali hati rakyat.
Malah, kenyataan sesetengah pemimpin UMNO tertinggi yang sebenarnya tidak mencerminkan aspirasi akar umbi turut mengeruhkan perhubungan dan persepsi ahli-ahli dari akar umbi.
Begitu juga dengan pertemuan demi pertemuan di antara kepimpinan bahagian dan negeri dengan kepemimpinan UMNO pusat yang tidak diketahui gerak kerja dan kesimpulannya oleh ahli-ahli akar umbi, telah membenarkan anggapan ramai bahawa UMNO adalah parti elit.
Perhubungan 2 hala di antara pemimpin dan ahli-ahli yang sepatutnya wujud, tampak semakin tidak dipraktiskan lagi sungguh pun dunia hari ini mempunyai bermacam-macam kaedah interaksi dan informasi yang dapat memudahkan kewujudan perhubungan 2 hala itu.
Realitinya, reengineering di dalam parti UMNO mesti dilakukan. Ianya menjadi lebih penting apabila parti UMNO mahu terus dilihat relevan oleh generasi muda Melayu dan rakyat pasca-merdeka. Jika kita menuruti PRU-12 yang lepas, golongan ini mempunyai kuasa undi yang banyak dan mampu merubah bilangan undi parti UMNO dan BN.
Malangnya, konflik ‘pencarian parti tempat berteduh’ di pemikiran mereka tidak dilayani sehinggakan ramai di antara mereka yang bertambah keliru di dalam mencari jawapan kepada konflik itu. Yang paling drastik ialah ramai yang mengambil jalan mudah iaitu dengan mengubah terus pendirian politik mereka, tanpa mengambil inisiatif untuk memperbetulkan kekeliruan ini.
Generasi muda pastinya tidak akan dapat merasakan impaknya apabila 41 buah pertubuhan terbesar bangsa Melayu yang mewakili berbagai kepentingan, dapat dihimpunkan dan berjaya mengadakan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (Se Malaya) di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.
Bagi ibubapa kita yang berada di era tersebut, pastinya bahang dan impaknya amat terasa sehingga mampu mencetuskan metafora yang sangat membara dan menyentuh jiwa mereka.
Akan tetapi, ketiadaan metafora itu di zaman ini tidak semestinya merubah persepsi generasi muda terutamanya orang Melayu terhadap parti UMNO. Secara ilmiah, kesemua objektif utama kewujudan UMNO adalah aspirasi dan semangat UMNO yang sungguh menarik untuk kita fahami dan perjuangkan.
Secara amnya, aspirasi UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik Melayu lain. Kebanyakan parti politik yang lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut resmi lalang di mana pendiriannya terhoyong hayang mengikut rentak manusia dan politik di ketika itu!
Fakta-fakta di atas perlulah difahami secara serius dan mendalam oleh kita, generasi muda Melayu. Realitinya, kita boleh keliru, lebih-lebih lagi di zaman ICT dan dunia yang serba pantas hari ini. Terlalu banyak putar belit, khabar angin dan informasi politik yang mudah kita baca, dengar dan ucapkan, sehinggakan kita boleh terperangkap di antara realiti dan dongengan!
Oleh kerana itu, sebagai seorang Melayu yang berilmu, kita dituntut untuk mengkaji ‘wajah’ politik serta senario manusia dan kita mesti bijak membezakan di antara fakta dengan fitnah. Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri dan berlogik kepada segala persoalan politik bangsa Melayu hari ini.
Malah, beberapa isu dan kenyataan daripada pihak pembangkang dan juga parti di dalam BN, menuntut parti UMNO agar bersegera melakukan reengineering di dalam kepimpinan parti, hala tuju dan kaedah parti itu. Peribahasa ‘kalau terhantuk baru mengadah’ tidak patut terjadi di dalam mencari formula baru sempena ulang tahun UMNO ke-62.
Sejarah telah membuktikan bahawa kaum Melayu akan hanya terjaga dan tersentak apabila berlaku sesuatu isu negatif yang mengganggu-gugat kewujudan kita. Akan tetapi, penekanan dan kesedaran amat perlu sentiasa berada di tahap tertinggi supaya kita tidak komplesen dan lebih bertekad untuk bersatu padu.
Menurut Cook, Hunsaker & Coffey (1997) di dalam penerbitan bertajuk Management & Organizational Behaviour, mengatakan bahawa:-
1. Tahap tekanan yang optimal adalah perlu untuk meraih pencapaian yang terbaik.
2. Peningkatan tekanan ke tahap yang optimal ini, boleh menghasilkan pencapaian lebih baik melalui peningkatan rangsangan dan kosentrasi terhadap objektif tugasan yang sedang dijalankan.
3. Pada titik optimal ini, pihak yang dipertanggungjawabkan itu menjadi lebih reseptif terhadap informasi baru yang disalurkan kepada mereka.
4. Mereka juga akan akan mengalami tahap motivasi, daya upaya dan kepekaan yang mendorong kepada tahap pencapaian maksimum.
Ulang tahun UMNO ke-62 diharapkan menjadi titik permulaan kepada mewujudkan satu parti yang lebih segar, proaktif, menitikberatkan aspirasi ahli-ahli dari akar umbi dan keseriusan pemimpin-pemimpin UMNO untuk menwujudkan perhubungan 2 hala yang mantap dan berkesan dengan ahli-ahli UMNO yang berjumlah 3 juta orang.



